Bayi tidak berak adalah satu keadaan yang sangat merungsingkan ibu bapa. Apa tidaknya, takde angin takde ribut tiba-tiba bayi anda tak mahu membuang air besar. Entah mana silapnya. Lagi parah, anda tahu apakah akibatnya kalau bayi anda tak membuang air besar untuk tempoh banyak hari. Najis bayi anda akan mengeras lalu menyebabkan bayi anda mengalami sembelit.

Jika bayi anda terkena sembelit, pastinya keadaan akan menjadi semakin parah. Pastinya bayi anda akan mengalami kesakitan semasa mengeluarkan najis. Silap haribulan usus atau dubur bayi anda boleh terluka lalu menyebabkan ada darah pada najisnya.

Jika bayi anda tidak berak, jangan dibiarkan. Jom baca info tentang bayai tidak berak yang akan kami kongsikan di sini. Ketahui apakah sebabnya dan apa yang anda boleh lakukan untuk mengatasi keadaan ini.

Adakah bayi tidak membuang air besar sesuatu yang perlu dirisaukan?

Kami faham bahawa sebagai seorang ibu atau ayah, pastinya anda akan berasa risau jika tiba-tiba bayi anda tidak membuang air besar selama berhari-hari sedangkan selama ini bayi anda berak secara normal setiap hari, malah berkali-kali dalam sehari. Perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah periksa adakah perut bayi anda berada dalam keadaan keras atau pun lembut?

Tekan perut bayi anda dengan perlahan-lahan. Jika perut bayi anda lembut, tiada apa yang perlu dirisaukan. Perut bayi yang lembut bermakna tiada apa yang tidak kena dengan perutnya.

Bayi anda tidak mengalami kembung atau tiada najis yang terkumpul dalam perut bayi anda. Namun jika perut bayi anda keras dan bayi anda menangis apabila perutnya ditekan, itu adalah petanda bahawa ada yang tidak kena dengan perut bayi anda. Bawa bayi anda ke klinik dengan segera.

Pertama kedua yang anda boleh perhatikan ialah sama ada bayi anda kentut seperti biasa? Jika bayi anda tidak membuang air besar tapi kentut seperti biasa, itu bermakna semuanya ok dan berada dalam keadaan terkawal. Tiada apa yang perlu anda risaukan. Mungkin bayi anda tidak membuang air besar kerana tiada sisa kumuhan untuk dibuang. Bayi anda akan membuang air besar apabila badannya bersedia.

Perkara seterusnya yang boleh anda perhatikan ialah lihat sama ada bayi anda mahu menyusu seperti biasa. Kebiasaannya, jika bayi tidak mahu menyusu, itu adalah petanda bahawa bayi anda sedang sakit. Jika bayi anda tidak membuang air besar selama beberapa hari dan tiba-tiba tidak mahu menyusu, bawa bayi anda ke klinik dengan segera. Ada yang tidak kena dengan bayi anda.

Selain memerhatikan perkara-perkara di atas, anda juga boleh perhatikan sama ada bayi anda aktif seperti biasa atau kelihatan sedikit diam dan tidak memberikan respons apabila diagah atau diajak bersembang. Sekali lagi, bayi yang kelihatan kurang aktif atau lemah adalah petanda bahawa ada yang tidak kena dengan bayi anda. Boleh jadi bayi anda tidak mahu membuang air besar adalah salah satu tanda sesuatu yang buruk sedang berlaku kepada bayi anda. Segera bawa bayi anda berjumpa doktor.

Apakah punca bayi tidak membuang air besar?

bayi tidak berak
Sumber: Majalahpama

Jika bayi anda mempunyai semua keadaan yang kami nyatakan di atas, sila bawa bayi anda ke klinik dengan segera untuk mendapatkan pemeriksaan. Namun, jika semuanya nampak normal dan tiada apa yang mencurigakan, anda boleh menarik nafas lega. Kadangkala, bayi tidak membuang air besar bukannya kerana ada yang tidak kena pada dirinya, namun ia adalah normal. Di antara punca bayi tidak membuang air besar ialah:

Usus dan kantung najis bayi anda sudah semakin matang

Semasa baru dilahirkan ke dunia, anggota tubuh badan dan organ bayi anda adalah berada dalam keadaan yang tidak matang. Hari demi hari, kesemua anggota badan dan organ bayi anda akan menjadi semakin matang termasuk usus dan kantung najis.

Jika selama ini bayi anda membuang air besar sebanyak berkali-kali dalam sehari kerana ketidak matangan organ tersebut, kini apabila ia telah matang, bayi anda tidak akan membuang air besar dengan kerap lagi. Oleh itu, anda tak perlu risau jika bayi anda tidak membuang air besar sekerap dahulu.

Bayi anda membesar dan berkembang dengan pesat

Semasa bayi anda berusia sebulan dan ke atas, ini adalah fasa di mana bayi anda akan membesar dan berkembang dengan sangat pesat dan laju. Dalam fasa ini, usus dan sistem pencernaan bayi anda akan menyerap semua nutrien dari susu yang masuk ke dalam badan bayi anda.

Apabila nutrien diserap secara optimum, ini bermakna tak banyak sisa yang tertinggal lalu menyebabkan tiada apa yang perlu dibuang dalam bentuk najis dari badan bayi anda.

Apa yang mak ayah perlu buat jika bayi tidak membuang air besar selama banyak hari?

Anda boleh melakukan urutan untuk menggalakkan pergerakan usus bayi anda. Caranya ialah urut perut bayi anda secara perlahan-lahan dari arah atas ke bawah iaitu dari dada membawa ke pusat.

Anda juga boleh mengurut perut bayi anda dalam keadaan membulat atau pusingan. Anda boleh sapukan minyak panas terlebih dahulu supaya kulit bayi anda menjadi licin dan memudahkan proses urutan.

bayi tidak berak
Sumber: Pantangplus

Itulah dia info tentang bayi tidak berak yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda menyukai artikel ini, anda juga mungkin berminat untuk membaca perkongsian kami tentang ibu susu panduan susu ibu dan doa untuk bayi tidur lena

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.