Fasa bayi merangkak amat ditunggu-tunggu oleh para ibu bapa, pastinya semua tak sabar melihat bayi merangkak dan bermain! Namun, dukacitanya jika bayi yang sudah berumur hampir setahun masih tidak dapat merangkak. Sehinggakan ada ibu bapa yang risau kerana bayi lain yang sebayanya boleh merangkak dengan normal, sedangkan dia tidak.

Jangan risau! Sebenarnya bukanlah usia bulan itu menjadi ukuran semata-mata. Anda tidak boleh membanding-bandingkan kebolehan anak anda dengan anak orang lain kerana setiap bayi mempunyai kebolehan yang berbeza berdasarkan tubuh badan mereka. Bukan itu sahaja, terdapat beberapa punca kenapa bayi lambat merangkak dan cara atasinya.

bayi merangkak
Imej via [himedik]

Jom lihat punca bayi lambat merangkak terlebih dahulu.

#1 Bayi Tidak Selesa – Pakaian Dan Keadaan

Bayi takkan selesa untuk duduk pada posisi apapun terutamanya merangkak jika pakaian dan keadaan pada masa itu adalah tidak sesuai. Pakaian yang sesuai untuk bayi melakukan aktiviti seperti merangkak dan bermain adalah baju yang tidak terlalu panas dan seluar.

Keadaan tempat yang selesa haruslah mempunyai ruang untuk bayi bergerak dan dalam keadaan yang bersih. Jangan letakkan barang-barang yang tajam, licin dan bahaya di sekeliling bayi. Berikan mereka ruang untuk bernafas dan bergerak.

#2 Berat Badan Bayi

Berat badan bayi mempengaruhi kebolehan dan kemampuan bayi seperti merangkak, meniarap, berjalan dan lain-lain lagi. Begitulah kajian dari Journal of Peadiatrics yang telah diterbitkan. Anda harus memantau berat badan bayi dengan cara memastikan tinggi, usia dan beratnya adalah normal. Itu akan dicatatkan di buku kesihatan bayi.

#3 Bayi Lahir Pramatang

Bayi yang lahir secara pramatang sebenarnya telah kekurangan berat badan sejak lahir lagi. Disebabkan itu, mereka perlu dipantau supaya mendapat zat yang secukupnya memandangkan mereka lahir awal dari tarikh sebenar kelahiran.

Sememangnya anda perlu tambahkan masa yang banyak untuk mereka mula belajar merangkak, meniarap dan sebagainya. Tidak mengapa jika bayi masih kecil, waktunya akan tiba juga nanti untuk mereka mula merangkak.

#4 Bayi Selesa Posisi Lain

Punca bayi lambat merangkak juga adalah kerana dia lebih selesa dengan posisi lain. Sebagai contoh, mereka mungkin lebih selesa dan biasa berguling dan mengengsot. Ia tetap bagus kerana mereka sudah membuat pergerakan berbanding bayi yang tidak langsung bergerak-gerak ke sana sini. Pergerakan sekarang akan membantu bayi merangkak pada masa yang akan datang.

bayi merangkak
Imej via [wap]

#5 Kurang Masa Meniarap

Walaupun baru beberapa bulan, bayi seharusnya perlukan masa untuk meniarap. Meniarap dapat menguatkan tubuh badan bayi terutamanya bahagian tangan dan badan. Anda boleh biarkan bayi meniarap selama 15 hingga 30 saat sebagai latihan.

#6 Tidak Kerap Bergerak

Apabila ibu bapa selalu dukung bayi, pastinya bayi sering mengikut pergerakan yang terjadi kepadanya. Sepatutnya, anda perlu membiarkan dia selesa bergerak sendiri kerana tidak kerap bergerak adalah punca bayi lambat merangkak. Lama kelamaan apabila bayi kerap bergerak, dia akan mudah meniarap.

Jika dilihat punca bayi lambat merangkak, sebenarnya ada caranya untuk merangsang bayi cepat merangkak. Anda juga perlu mainkan peranan yang besar dalam membantu mereka merangkak. Buatlah beberapa jenis rangsangan untuk menarik minat dan kesungguhan mereka merangkak.

Cara Merangsang Bayi Cepat Merangkak

Terdapat beberapa cara untuk merangsang bayi merangkak dengan cepat dan mudah. Bayi akan mula merangkak dan terus merangkak setelah mendapat beberapa rangsangan ini. Minda akan menguasai tindakan dan perbuatan mereka. Ketahui dan ikuti beberapa perkara ini, pasti bayi anda tidak sukar untuk mula merangkak lagi.

bayi merangkak
Imej via [johnsonsbaby]

#1 Biar Bayi Meniarap Sentiasa

Setiap kali bayi kebosanan dan tidak berbuat apa-apa, anda boleh tiarapkan bayi dengan posisi meniarap. Biarlah dia berusaha sendiri dan berlatih meniarap setiap hari supaya dia dapat dirangsang dari situ. Dia akan belajar mengangkat perut, bahu, kepala dan lain-lain lagi. Akhirnya akan cuba untuk merangkak pula.

#2 Rangsangan Tempat Dan Ruang

Rangsanglah bayi merangkak dengan adanya ruang dan tempat yang menarik. Berikan bayi ruang yang luar untuk dia explore dan bergerak. Ruang yang selesa adalah ransangan untuk bayi merangkak.

#3 Letakkan Mainan Sebagai Rangsangan

Mainan atau diri anda sendiri boleh dijadikan sebagai titik rangsangan untuk menarik perhatian bayi merangkak kepada anda. Untuk permulaan, letakkan mainan yang warnanya terserlah di hadapan bayi. Pasti bayi terangsang untuk mendapatkannya.

bayi merangkak
Imej via [mommiesdaily]

#4 Bermain Mainan Bayi

Mainlah mainan bayi di hadapan anda, bayi pasti gembira dan turut serta ingin bermainnya. Apabila kerap bermain, bayi pasti akan banyak bergerak dan akhirnya bayi merangkak. Itulah yang kita inginkan!

#5 Merangkak Bersama Bayi

Apa kata anda juga turut merangkak bersama bayi? Setidaknya, anda merangkak di hadapan bayi selalu, pasti bayi merangkak setelah asyik melihat anda merangkak. Ia amat mudah kerana ia akan merangsang mental bayi untuk turut merangkak.

#6 Beri Pujian Kepada Bayi

Ketika bayi sudah mula bergerak, meniarap atau merangkak, berilah pujian kepada mereka. Bayi merangkak dengan berterusan sekiranya mendapat rangsangan seperti dipuji atau disukai oleh anda. Itulah yang menyebabkan bayi mengulangi perbuatannya dan bertambah mahir melakukannya.

bayi merangkak
Imej via [alodokter]

Cubalah satu persatu cara merangsang bayi merangkak yang mudah dan berkesan ini. Pasti ia tidak mengecewakan anda. Jom baca juga Punca bayi merangkak, Kebaikan bayi merangkak, Tahnik bayi dan Petua dan doa bayi tidur lena.

Rujukan:

  1. theasianparent
  2. majalahpama
  3. siraplimau

Penulis: zulrina

Avatar

Penulis yang bekerjaya di rumah. Meminati dunia perniagaan, travel dan makanan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.