Tangisan bayi adalah di antara perkara yang paling merisaukan dan menyusahkan hati ibu bapa. Sebaik sahaja bayi anda menangis, pastinya anda akan memujuk bayi anda sambil memeriksa apakah punca bayi anda menangis. Jika bayi anda terlalu kerap menangis, pastinya anda tertanya-tanya jika ada yang tidak kena dengan bayi anda.

Tangisan adalah satu-satunya cara untuk bayi berkomunikasi dengan anda memandangkan mereka masih belum boleh bercakap. Istimewa untuk ibu bapa prihatin seperti anda, kali ini kami ingin kongsikan sebab bayi kerap menangis sebagai panduan anda.

Inginkan perhatian

bayi kerap nangis
Imej via Bidadari

Tahukah anda bahawa bayi adalah makhluk ciptaan Allah yang sangat dahagakan kasih sayang. Bayi dilahirkan dengan naluri untuk disayangi dan ingin dibelai selalu. Oleh itu, mungkin anda perasan bahawa jika anda terlalu sibuk dengan urusan lain dan kurang memberikan perhatian kepada bayi anda, bayi anda akan mula menangis untuk menarik perhatian anda.

Malah, jika anda meninggalkan bayi anda untuk tempoh yang lama, katakan untuk pergi bekerja, setelah anda pulang ke rumah dah berjumpa semula bayi anda, bayi anda akan asyik menangis ingin dipeluk dan dibelai dengan penuh kasih sayang oleh anda.

Kebosanan

Punca bayi kerap menangis yang seterusnya ialah disebabkan oleh kebosanan. Walau pun dia hanya seorang bayi, ketahuilah bahawa bayi juga pandai untuk berasa bosan.

Pada zaman moden ini ramai ibu bapa yang memberikan gadget kepada bayi dengan harapan agar bayi anda duduk diam dan anda boleh menyelesaikan urusan lain. Namun jika diperhatikan, lama-kelamaan bayi anda akan mula bosan dan menagis inginkan perhatian dari anda.

Begitu juga jika anda tinggal kan bayi anda untuk bermain dengan mainan kegemarannya untuk tempoh yang lama. Akhirnya dia akan berasa bosan lalu menangis inginkan perhatian dari anda.

Kepenatan

Selain kebosanan, kepenatan juga adalah punca bayi anda kerap menangis. Sekiranya anda membawa bayi anda membeli-belah dalam masa yang terlalu lama, akhirnya bayi anda akan mula meragam dan menangis untuk memberitahu anda bahawa dia sudah kepenatan diletakkan di dalam stroller atau digendong.

Begitu juga jika anda membawa bayi anda dalam perjalanan yang lama. Bayi anda akan mula menangis akibat kepenatan diletakkan di dalam carseat atau dipangku untuk masa yang lama. Bayi anda ingin berbaring di atas tilam yang rata atau dipeluk untuk meluruskan pinggangnya.

Suasana persekitaran

Persekitaran juga boleh menyebabkan bayi anda kerap menangis. Suasana yang terlalu bising, suasana yang terlalu gelap atau terang, malah cuaca yang terlalu sejuk atau panas juga akan menyebabkan bayi anda menangis. Bayi anda memerlukan suasana yang selesa agar dia berasa selamat. Oleh itu, sentiasa pastikan bayi anda berasa selesa agar dia tidak meragam dan mengganggu urusan anda.

Tempat baru

Tempat baru akan menyebabkan bayi anda bersa tidak selesa lalu menangis untuk menceritakan ketidak selesaan yang dialami. Sebagai contoh, jika anda menghantar bayi ke taska atau pengasuh baru, bayi anda akan menangis dengan kerap untuk beberapa hari yang pertama memandangkan dia masih belum biasa dengan tempat baru.

Malah, jika anda membawa bayi anda pulang ke kampung atau bercuti, bayi anda mungkin akan menangis untuk beberapa jam yang pertama memandangkan dia belum biasa dengan tempat baru tersebut. Namun, jika bayi anda berterusan menangis dan tidak berjaya dipujuk, mungkin ada sebab lain yang menjadi punca bayi anda kerap menangis.

Kesakitan

Kerap menangis adalah cara untuk bayi memberitahu anda bahawa dia berada dalam kesakitan. Jika bayi anda tiba-tiba menangis dengan kerap dengan suara yang keras tanpa henti, ia mungkin petanda bahawa ada yang tidak kena dengan bayi anda. Periksa seluruh tubuh badannya untuk mengesan jika anda yang tidak kena.

Di antara masalah kesihatan dan kesihatan yang biasa dialami oleh bayi ialah:

  • Demam
  • Batuk
  • Selsema
  • Sembelit
  • Ruam lampin
punca bayi kerap menangis
Sumber: Developmentalscience

Kembung

Bayi yang mengalami masalah kembung atau kolik akan kerap menangis tak kira siang atau malam, namun tangisannya akan semakin teruk menjelang malam sehingga ke awal pagi. Bayi yang kekembungan akan menangis dengan kerap kerana perutnya sentiasa berasa sakit, pedih, dan tidak selesa.

Jika bayi anda kerap menangis disebabkan oleh masalah kembung, ini adalah apa yang boleh anda lakukan:

  • Sapukan minyak panas ke perut, belakang, keting, dan tapak kaki bayi.
  • Pakaikan topi ke kepala bayi setiap kali kelua rumah.
  • Pakaikan stokin kaki kepada bayi anda menjelang maghrib.
  • Pastikan bayi anda sentiasa berbarut.
  • Elakkan penggunaan kipas meja, kipas siling adalah lebih baik kerana anginnya tersebar ke seluruh bilik. Bukannya fokus kepada tubuh badan bayi anda sahaja.
  • Tuam perut bayi anda dengan biji lada hitam yang dibungkus dalam kain. Panaskan lada hitam tadi, tungku ke bahagian perut dan lebihkan perhatian kepada pusatnya. Anda juga boleh tungku tapak kaki bayi anda yang dikatakan tempat di mana angin akan masuk ke dalam badan bayi anda.

Itulah dia info tentang sebab bayi kerap menangis yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang muntah susu , urutan bayi dan ujian personaliti anak

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.