Menjaga bayi bukanlah sesuatu yang mudah. Segala aspek perlu anda perhatikan setiap masa seperti suhu tubuh badan bayi, keaktifan bayi, kekerapan bayi menyusu, berapa kali bayi membuang air besar dalam sehari, malah berapa kerap bayi sendawa dan kentut juga akan diperhatikan dengan teliti oleh ibu bapa atau penjaganya.

Jika bayi anda jarang bab atau sendawa dan pada masa yang sama sering kentut, pastinya anda risau. Mana kan tidak, penat anda tepuk dan gosok belakang bayi anda namun tidak juga sendawa.

Nak kata takde angin yang nak dikeluarkan dari perut, kenapa si comel banyak kentut pula? Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan info tentang bayi jarang bab dan sering kentut sebagai panduan anda.

Apakah kepentingan sendawa dan kentut bagi seorang bayi?

Pastinya anda tertanya-tanya apakah kepentingan sendawa dan kentut kepada bayi? Kenapa kita sebagai ibu bapa berusah-payah untuk mendensawakan bayi setiap kali selepas bayi menyusu? Kenapa kita perlu risau jika bayi terlalu banyak kentut atau tidak kentut seperti biasa? Semuanya berkaitan dengan angin yang berada di dalam perut bayi anda.

Semasa bayi menyusu, akan ada angin yang akan masuk ke dalam perut bayi. Jika tidak dikeluarkan melalui sendawa atau kentut, angin tersebut akan kekal di dalam perut bayi lalu menyebabkan bayi anda mengalami kembung perut yang sangat menyakitkan dan akan menyebabkan bayi anda meragam dengan teruk terutamanya pada waktu malam sehingga awal pagi. Oleh itu, adalah sangat penting untuk bayi anda sendawa dan kentut dengan normal.

Dalam masa yang sama, sendawa atau bab juga membantu untuk mengelakkan bayi anda daripada mengalami muntah susu atau tersedak susu terutamanya semasa tidur yang boleh menyebabkan perkara yang buruk termasuk kematian.

Jika bayi jarang bab dan sering kentut, apakah maksudnya?

Dalam kebanyakan kes, jika seseorang bayi didapati kurang sendawa dan dalam masa yang sama kentut dengan banyak, besar kemungkinan bayi tersebut mengalami masalah perut kembung. Perkara pertama yang akan dilakukan ialah memeriksa perut bayi tersebut.

Tekan dengan perlahan untuk melihat sama ada perutnya keras atau lembut seperti biasa. Jika perutnya keras itu bermakna memang benar bayi anda mengalami kembung perut lalu menyebabkan si comel kurang sendawa namun kentut dengan banyak untuk membuang angin dari perutnya.

Jika perut bayi anda lembut seperti biasa, bayi anda tidak mengalami masalah perut kembung namun mungkin tidak sendawa disebabkan oleh teknik urutan untuk menyendawakan bayi yang digunakan adalah kurang berkesan atau tidak dilakukan dengan cukup lama.

Kemungkinan juga bayi anda tidak sendawa disebabkan oleh tiada angin yang masuk ke dalam perut bayi semasa menyusu. Keadaan ini biasanya berlaku kepada bayi yang menyusu badan. Bayi yang menyusu menggunakan botol akan menelan angin lebih banyak daripada bayi yang menyusu badan.

Apakah tanda bayi anda mengalami kembung perut selain kurang bab dan sering kentut?

Imej via Bidadari

Selain perut yang keras apabila disentuh dan meragam terutamanya pada waktu malam sehingga awal pagi, terdapat beberapa lagi tanda seseorang bayi mengalami kembung perut. Di antara tanda yang sering ditunjukkan ialah seperti berikut:

  • Biasanya bayi yang mengalami masalah kembung perut akan kelihatan tidak tenang selepas. Si comel akan kelihatan resah dan tidak selesa serta mahu sentiasa didukung. Bayi akan menangis apabila diletakkan di bawah. Keadaan akan menjadi semakin teruk pada waktu malam sehingga awal pagi.
  • Bayi yang mengalami masalah kembung perut akan menangis sambil menjerit-jerit menjerit-jerit. Sebagai ibu bapa atau penjaga anda boleh mengenali bahawa ianya bukanlah jenis tangisan yang biasa apabila bayi anda lapar atau membuang air besar. Bayi juga akan menarik kakinya ke arah perut sambil menangis. Muka bayi anda juga akan kelihatan kemerah-merahan.
  • Selain itu, bayi yang mengalami kembung perut akan menangis tanpa henti selama berjam-jam lamanya. Tak kira apa cara anda lakukan untuk menidurkan si comel atau untuk memujuknya, dia akan terus menangis.
  • Bayi yang mengalami masalah kembung perut akan berhenti menangis dan tertidur sendiri apabila dia sudah terlalu penat akibat menangis dengan terlalu lama. Ia akan berulang setiap malam sehingga bayi anda besar.

Apakah cara untuk menghilangkan kembung bayi?

Jika bayi anda jarang bab dan selalu kentut disebabkan oleh kembung, berikut adalah beberapa tips yang boleh anda amalkan untuk menghilangkan masalah perut kembung yang bayi anda alami:

  • Pastikan bayi anda sendawa setiap kali selepas menyusu bagi mengeluarkan angin yang masuk ke dalam perut semasa menyusu.
  • Sapukan minyak panas ke perut, belakang, tapak kaki, keting, dan peha bayi.
  • Pakaikan bayi anda stokin terutamanya pada waktu malam atau semasa cuaca sejuk.
  • Tutup kepala bayi anda dengan topi agar angin tidak masuk ke badannya melalui ubun-ubun.

Apakah tips untuk menggalakkan bayi anda bab?

Jika bayi anda jarang sendawa atau bab, berikut adalah beberapa tips yang boleh anda lakukan untuk mengelakkan bayi anda daripada kembung dan tersedak susu. Di antara tips yang terbukti berkesan untuk membantu bayi sendawa adalah seperti berikut:

  • Elakkan daripada membaringkan bayi sebaik sahaja selepas menyusu. Sebaliknya terus sendawakan bayi anda.
  • Letakkan bayi dalam keadaan yang menegak semasa menyendawakannya. Tukar posisi jika bayi anda tidak sendawa setelah ditepuk dan digosok selama lima minit.
  • Fokuskan untuk menepuk dan menggosok pada bahagian belakang kiri badan bayi anda.

Itulah dia info tentang bayi jarang bab dan sering kentut yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang penyakit pneumonia dan bayi demam campak

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.