Demam campak pada bayi adalah di antara mimpi ngeri yang paling buruk kepada ibu bapa. Bayangkan! Orang dewasa pun akan berasa sengsara bila terkena demam campak, ini kan pula jika bayi yang terkena. Jika bayi anda disahkan oleh doktor dijangkiti demam campak, jangan resah. Jom baca info tentang bayi demam campak serta cara untuk menghilangkannya dengan berkesan dan selamat yang anda boleh amalkan. Insya Allah membantu.

Apa itu demam campak?

Demam campak adalah sejenis penyakit yang berlaku disebabkan oleh berlakunya jangkitan sejenis virus yang dipanggil paramyxovirus. Bayi anda akan terkena demam campak apabila virus ini masuk ke dalam badan bayi anda disebabkan oleh jangkitan daripada individu lain yang mempunyai virus ini.

Virus paramyxovirus merebak melalui udara. Ini bermakna seseorang yang mempunyai virus ini boleh menjangkiti orang di sekelilingnya setiap kali dia batuk atau bersin. Virus tadi akan melekat pada permukaan atau kekal di udara dan kekal aktif selama dua jam. Bayi anda akan dijangkiti apabila menyentuh virus yang aktif di udara, di permukaan, atau manusia yang mempunyai virus tersebut.

Apakah tanda bayi anda dijangkiti demam campak?

bayi demam campak
Sumber: Lelakisihat

Sebaik sahaja dijangkiti demam campak, biasanya bayi akan menunjukkan tanda-tanda yang berikut:

  • Demam dengan suhu yang tinggi
  • Selsema yang teruk
  • Batuk
  • Mata menjadi merah
  • Tidak bermaya dan lemah
  • Kurang selera makan
  • Beberapa hari kemudian bayi anda akan mula mengalami bintik-bintik di dalam mulut yang dipanggil Koplik terutamanya pada membran mukus. Bintik-bintik ini berwarna putih dan kelihatan seperti garam atau pasir.
  • Beberapa hari kemudian ruam campak akan mula muncul pada muka dan leher bayi anda dan akan merebak sehingga belakang badan dan kemudian timbul pada tangan dan kaki.
  • Pada mulanya ruam campak akan kelihatan seperti bintik-bintik merah rata yang lama-kelamaan akan menjadi benjolan. Ketika ruam campak mula muncul, bayi anda akan mengalami demam yang kuat.
  • Bayi anda akan berasa gatal disebabkan oleh ruam campak.
  • Bayi anda mungkin akan mengalami mual dan muntah
  • Bayi anda mungkin akan mengalami cirit-birit
  • Bayi anda juga mungkin akan mengalami sakit tekak dan batuk
  • Ruam campak biasanya akan berlanjutan hingga lima hari. Selepas lima hari ia akan mula berkurang dan bertukar menjadi warna coklat. Apabila ruam pudar,bayi anda akan mengalami kulit kering dan bersisik.

Apa yang anda perlu buat sekiranya bayi disahkan mengalami demam campak?

Apabila anda melihat tanda-tanda demam campak pada bayi anda, perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah bawa bayi anda ke klinik dengan segera untuk mendapatkan pemeriksaan. Di klinik doktor akan memeriksa bayi anda dan akan menentukan sama ada bayi anda benar-benar dijangkiti demam campak atau sebaliknya.

Jika bayi anda disahkan mengidap demam campak, doktor akan melaporkan kes bayi anda ke klinik kesihatan yang berdekatan kerana demam campak adalah di antara jangkitan yang dikawal di Malaysia. Setiap kes demam campak akan direkod bagi memastikan tiada jangkitan secara bersar-besaran yang menular di negara kita.

Sebaik sahaja doktor mengesahkan bahawa bayi anda dijangkiti demam campak, anda perlu mengasingkan bayi anda daripada orang lain bagi mengelakkan berlaku jangkitan kepada orang lain. Pengasingan ini dinamakan kuarantin. Jangan sesekali hantar bayi anda ke taska atau rumah pengasuh. Jadilah ibu bapa yang bertanggung jawab.

Pantau suhu badan bayi anda dan pastikan demamnya tidak terlalu tinggi. Demam tinggi dengan suhu melebihi 40 darjah celcius boleh menyebabkan berlakunya komplikasi yang tidak diingini seperti sawan dan kerosakan pada otak. Berikan ubat demam dan lap badan bayi anda dengan kain basah untuk menurunkan suhunya. Anda juga boleh mandikan bayi dengan air rendaman lemon yang sangat membantu untuk menghilangkan demam.

bayi demam campak
Sumber: Freemalaysiatoday

Pastikan bayi anda mendapat rehat dan tidur yang mencukupi. Pastikan juga bayi anda menyusu dan minum air dengan secukupnya. Pada masa ini bayi anda akan kurang menyusu dan makan kerana kurang selesa dan kesakitan dalam mulut akibat ruam. Anda perlu sentiasa memberikan susu dan makanan kepada bayi dan pastikan bayi anda minum walau pun sedikit bagu mengelakkan dehidrasi.

Ruam campak boleh menyebabkan bayi anda berasa gatal dan menggaru. Jika bayi anda mula menggaru, ia akan menyebabkan ruam semakin berleluasa ke seluruh badan. Malah menggaru akan menyebabkan ruam menjadi semakin teruk akibat luka dan meninggalkan parut yang teruk. Anda boleh mengurangkan kegatalan pada ruam dengan mengalas tempat tidur bayi anda dengan daun semambu.

Malah anda juga boleh mandikan bayi anda dengan air daun semambu. Selain daun semambu, anda juga boleh sapukan Calamine lotion bagi mengurangkan kegatalan. Berpeluh juga akan menyebabkan bayi anda semakin gatal dan dinaiki banyak ruam. Oleh itu pastikan suhu bilik tidak terlalu panas dan elakkan daripada memakaikan pakaian tebal kepada bayi anda. Lagi elok kalau anda biarkan bayi tidak berbaju. Cukup sekadar memakai seluar.

Satu lagi petua orang lama untuk menghilangkan demam campak dengan cepat ialah dengan cara minum air kelapa muda. Jika bayi ana berumur 6 bulan ke atas, bolehlah anda berikan sedikit air kelapa muda kepada bayi anda.

Itulah dia info tentang bayi demam campak yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda menyukai artikel ini, anda juga mungkin berminat untuk membaca perkongsian kami tentang punca bayi menangis malam masalah tidur bayi dan doa pelembut hati

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.