Tahukah anda bahawa penyakit batuk kering atau TB bukan sahaja boleh terkena kepada orang dewasa malah kanak-kanak dan bayi juga mempunyai risiko untuk mendapat jangkitan penyakit yang merbahaya ini. Seperti namanya, kanak-kanak yang terkena penyakit batuk kering akan batuk tanpa kahak dengan teruk untuk tempoh yang lama.

Jika anak anda batuk untuk tempoh yang lama dan dalam masa yang sama batuknya kedengaran kering tanpa kahak, mungkin ianya adalah batuk kering dan bukannya batuk yang biasa.

Jom baca info lengkap tentang batuk kering kanak-kanak termasuk tanda, punca, dan rawatan terbaik untuknya.

batuk kering kanak-kanak
Sumber: Momjunction

Apakah yang dimaksudkan dengan batuk kering?

Penyakit batuk kering atau dalam bahasa perubatannya tuberkulosis juga lebih dikenali dengan nama pendek penyakit TB. Batuk kering berlaku kepada seseorang kanak-kanak akibat jangkitan sejenis mikroorganisma yang dikenali sebagai Mycobacterium Tuberculosis. Apabia seseorang dijangkiti penyakit batuk kering, ianya akan menyebabkan batuk-batuk yang berpanjangan dan dalam masa yang sama akan menjejaskan:

  • Paru-paru
  • Nodus limfa
  • Larynx atau kotak suara
  • Tulang
  • Usus
  • Buah pinggang

Bagaimana batuk kering boleh merebak?

Batuk kering merebak dari seorang inidivdu kepada individu yang lain melalui rembesan air liur ke udara. Apabila seseorang yang mengidap batuk kering batuk atau bersin, rembesan air yang keluar dari mulut dan hidungnya akan masuk ke ruang udara dan kekal di situ. Apabila datang seorang yang sihat dan menghidu rembesan titisan air yang mengandungi kuman tadi, kuman akan masuk ke dalam paru-paru dan mula bertambah sehingga menyebabkan dia juga dijangkiti batuk kering.

Batuk kering yang tidak dirawat akan menjadi serius di mana kuman batuk kering akan masuk ke dalam saluran darah lalu menjangkiti organ lain dalam tubuh badan. Organ yang dijangkiti kuman batuk kering akan terjejas dan rosak lalu boleh menyebabkan kematian akibat kegagalan organ dalaman.

Dalam kes terpencil, kuman batuk kering boleh masuk ke saluran darah dan merebak ke organ lain dalam badan.

Apakah tanda seorang kanak-kanak dijangkiti batuk kering?

Sekiranya seorang kanak-kanak dijangkiti penyakit batuk kering, kebiasaannya tubuh badan kanak-kanak tersebut akan mengeluarkan beberapa simptom seperti:

  • Batuk yang berpanjangan, boleh mengambil masa sehingga 3 minggu.
  • Demam
  • Menggigil seperti kesejukan
  • Berpeluh terutamanya pada waktu malam
  • Kehilangan berat badan tanpa sebab yang dapat dikesan
  • Banyak kahak
  • Batuk berdarah
  • Mengadu sakit dada
  • Mengalami sesak nafas
  • Hilang selera makan

Oleh itu, sekiranya anak anda batuk tanpa henti untuk dalam tempoh yang lama, sebaiknya bawa anak anda ke klinik atau hospital dalam kadar yang segera untuk mendapatkan pemeriksaan bagi memastikan anak anda tidak terkena batuk kering.

batuk kering kanak-kanak
Sumber: Momjunction

Apakah rawatan yang akan diberikan kepada kanak-kanak yang dijangkiti batuk kering?

Sebaik sahaja seorang kanak-kanak disahkan mengidap batuk kering, perkara pertama yang akan dilakukan ialah mengasingkan kanak-kanak tersebut daripada orang lain bagi mengelakkan penyakit tersebut berjangkit kepada orang lain dan merebak lalu menjadi wabak. Kanak-kanak tadi akan melalui proses kuarantin. Dia akan dikuarantin sehingga betul-betul sihat dan bebas daripada penyakit batuk kering.

Dalam masa yang sama, ubat-ubatan yang sesuai juga akan diberikan dengan tujuan untuk:

  • Membunuh kuman batuk kering yang ada dalam badan supaya penyakit batuk kering hilang dan tidak menjadi semakin serius.
  • Pemantauan akan dibuat bagi memastikan kuman batuk kering tidak masuk ke dalam saluran darah lalu menjangkiti organ dalaman dalam tubuh badan terutamanya paru-paru.
  • Sekiranya organ dalam telah dijangkiti ratawan untuk mengurangkan kerosakan kepada organ akan dilakukan bagi mengelakkan organ yang terjejas rosak lalu menyebabkan kematian.

Batuk kanak-kanak merbahaya yang lain selain batuk kering

Sekiranya pemeriksaan mendapati bahawa anak anda tidak mengidap batuk kering namun masih batuk tanpa henti untuk tempoh yang lama, kemungkinan besar anak anda mengidap jenis batuk lain yang sangat merbahaya kepada kanak-kanak. Di antara jenis batuk yang biasa menjangkiti seorang kanak-kanak ialah:

Pneumonia atau paru-paru berair

Pneumonia atau paru-paru berair adalah jangkitan pada paru-paru yang sangat merbahaya terutama sekali jika ianya berlaku kepada seorang bayi atau kanak-kanak.

Oleh itu, jika anak anda mengalami batuk dan selsema untuk tempoh yang lama tanpa menunjukkan tanda untuk sembuh, anda perlu membawa anak anda ke klinik atau hospital dengan segera untuk memastikan anak anda tidak terkena pneumonia. Jika anak anda disahkan terkena pneumonia, rawatan dengan kadar segera boleh menyelamatkan nyawa.

Batuk Croup

Batuk croup adalah sejenis batuk yang berlaku disebabkan oleh jangkitan virus. Biasanya ia akan menjangkiti tekak dan kotak suara akibat selsema. Jika anak anda dijangkiti batuk croup, anda boleh mengenal pasti penyakit ini melalui bunyinya.

Kanak-kanak yang mengalami batuk croup akan batuk dan mengeluarkan bunyi yang kedengaran seperti seekor anjing sedang menyalak. Anak anda juga akan kelihatan sesak nafas setiap kali batuk.

Bronkiolitis

Bronkiolitis berlaku kerana radang pada bronkiol yang merupakan saluran pernafasan yang paling kecil dalam paru-paru. Ia biasanya berlaku pada bayi semasa musim sejuk atau musim hujan. Ini kerana bornkiol bayi yang masih belum matang mudah terjejas disebabkan oleh cuaca yang sejuk. Di antara tanda seseorang kanak-kanak dijangkiti oleh Bronkiolitis ialah:

  • Batuk kedengaran parau
  • Batuk berbunyi seperti bunyi bersiul
  • Anak kelihatan sesak nafas dan sentiasa menarik nafas dengan cepat

Itulah dia info tentang batuk kering kanak-kanak yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan artikel ini anda juga mungkin berminat untuk membaca perkongsian kami tentang anak hiperaktif penyakit pneumonia dan anak lambat bercakap

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.