Kalau dulu-dulu ada satu kisah tentang seorang anak derhaka yang bernama Si Tanggang atau di Indonesia digelar Malim Kundang. Malah jika anda ke Indonesia anda boleh melawat batu yang berbentuk manusia dan kapal pecah yang boleh dikaitkan dengan kisah balasan anak derhaka bernama Malim Kundang.

Di dalam islam, kedua ibu bapa diletakkan pada kedudukan yang sangat mulia di mana anak-anak wajib mentaati dan menghormati mereka sehingga ke hujung nyawa. Itulah sebabnya kita biasa dengar orang kata anak derhaka biasanya akan mendapat balasan di dunia. Tak perlu tunggu tunggu balasan di neraka.

Apakah maksud anak derhaka?

Tahukah anda bahawa derhaka kepada kedua ibu bapa adalah termasuk dalam empat dosa besar iaitu berada setaraf dengan tiga dosa besar yang lain iaitu:

  • Menyekutukan Allah
  • Membunuh manusia
  • Menjadi saksi palsu

Anak derhaka ialah anak yang tidak menghormati ibu bapanya dan tidak mahu berbakti kepada mereka terutamanya apabila mereka sudah tua. Kenapa kita selalu mendengar orang kata dosa derhaka kepada ibu bapa akan dibalas secara cash di dunia? Yang sebenarnya ia adalah berdasarkan hadith yang berikut:

“Dua (kejahatan) yang akan dibalas Allah di dunia ini adalah zina dan derhaka kepada dua ibu bapa.” ( Hadith riwayat Tabrani )

Jadi, apakah balasan bagi anak yang derhaka kepada kedua ibu bapanya?

Haram baginya untuk masuk syurga

Ini adalah balasan yang paling ditakuti oleh semua manusia yang bergama islam. Syurga adalah idaman semua dan neraka adalah balasan yang paling ditakuti kerana azabnya tidak dapat dibayangkan oleh akal fikiran manusia. Balasan untuk anak derhaka ialah diharamkan baginya untuk masuk syurga. Ia adalah berlandaskan hadith berikut:

“Ada tiga jenis orang yang diharamkan Allah masuk syurga, iaitu pemabuk berat, penderhaka terhadap kedua orang tua, dan juga seorang dayus (merelakan kejahatan berlaku di dalam keluargannya, merelakan isteri dan anak perempuannya berkelakuan serong)”. (Hadith riwayat Nasa’i dan Ahmad)

Dimurkai oleh Allah

Keredhaan Allah adalah idaman setiap muslim. Ini kerana sekiranya hidup kita dimurkai oleh Allah, kita tidak akan mendapat hidup yang berkat dan berbahagia di dunia dan akhirat. Salah satu balasan untuk anak derhaka ialah dimurkai oleh Allah. Ia adalah berdasarkan hadith berikut:

“Keredhaan Allah tergantung keredhaan orang tua, dan murka Allah pun tergantung pada murka kedua orang tua”. (Hadith riwayat al-Hakim)

balasan anak derhaka
Sumber: Kifarahmedia

Tidak diterima oleh Allah amal ibadah dan Solatnya

Takutkah anda kalau kami katakan bahawa Allah menolak setiap amal ibadah dan solat yang dilakukan oleh seorang anak yang derhaka kepada kedua ibu bapanya? Ianya adalah berdasarkan hadith yang berikut;

“Allah tidak akan menerima Ibadahnya, solatnya orang  yang dibenci kedua orang tuanya yang tidak menganiaya kepadannya”. (Hadith Riwayat Abu al-Hasan bin Makruf)

“Ada tiga hal yang menyebabkan terhapusnya seluruh amal, iaitu syirik kepada Allah, durhaka kepada orang tua dan seorang alim yg dipermainkan oleh orang dungu & jahil”. (Hadith Riwayat Thabrani).

Tidak termasuk dalam golongan umat Nabi Muhammad SAW

Nabi Muhammad tidak mengaku mereka yang menderhaka kepada ibu bapa sebagai umatnya. Menurut Ad-Dailamy, Rasulullah bersabda bahawa:

“Tidak termasuk dari golongan kami orang-orang yang diperluas rezekinya oleh Allah lalu ia tidak memberi nafkah kepada keluargannya”. (Hadith Riwayat Ad-Dailamy)

Termasuk dalam golongan mereka yang kafir

Golongan kafir ialah mereka yang menolak agama Allah dan menyembah tuhan selain Allah. Dari sudut pandangan islam, mereka yang menderhaka kepada ibu bapa adalah termasuk dalam golongan manusia yang kafir. Ia adalah berdasarkan hadith yang berikut:

“Jangan membenci kedua orang tuamu. Barang siapa Orang yang mengabaikan kedua orang tua, maka dia kafir”. (H.R. Muslim).

Mendapat balasan di dunia

Sekali lagi, dosa merderhaka kepada kedua ibu bapa akan dibalas secara cash di dunia. Al-Hakim dan Al-Ashbahani, dari Abu Bakrah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda:

“Setiap dosa akan diakhirkan oleh Allah SWT sekehendak-Nya sampai hari kiamat, kecuali dosa besar yang mendurhakai kedua orang tua. Sesungguhnya Allah SWT akan menyegerakan (balasan) kepada pelakunya didalam hidupnya sebelum mati”.

Tidak mendapat keampunan dari Allah

Dari Aisyah r.a, Rasulullah saw bersabda:

“Dikatakan kepada orang yang durhaka kepada kedua orang tua, berbuatlah sekehendakmu, sesungguhnya Aku tidak akan mengampuni. Dan dikatakan kepada orang yang berbakti kepada orang tua, bahawa berbuatlah sekehendakmu, sesungguhnya Aku mengampunimu.” (Hadith Riwayat Abu Nu’aim).

Tidak mencium bau syurga

“Sesungguhnya bau syurga itu boleh dicium dari jarak perjalanan seribu tahun, dan demi Allah tidak akan mendapatinya barang siapa yang derhaka kepada orang tuanya”. (Hadith Riwayat Thabrani)

Terputus rezekinya

“Apabila seseorang tidak meninggalkan doa bagi kedua orang tuanya, maka akan terputus rezekinya”. (Hadith Riwayat Ad-Dailamy)

balasan anak derhaka
Sumber: Kompas

Termasuk dalam golongan mereka yang kerugian besar

Sabda Rasulullah SAW:

“sungguh kecewa dan hina, sungguh kecewa dan hina, sungguh kecewa dan hina orang yang mendapati orang tuanya atau salah satunya sampai tua, lantas ia tidak dapat masuk surga”. (H.R. Muslim).

Itulah dia info tentang balasan anak derhaka yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan artikel ini anda juga mungkin berminat untuk membaca perkongsian kami tentang masalah adab anak zaman moden, tips mendapatkan anak solehah, dan tanggung jawab seorang anak kepada ibu bapanya.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.