Zaman sekarang, penggunaan bekas plastik dalam kehidupan kita dianggap sebagai sesuatu yang penting. Terdapat pelbagai jenis bekas plastik yang mempunyai fungsi untuk mengisi makanan dan minuman. Ada yang dalam bentuk bekas makanan, balang dan botol.

Kebanyakan mak-mak suka menggunakan bekas plastik ni kerana harganya murah, senang dibersihkan dan boleh dibuang jika pecah. Malah, ada yang mempunyai label yang menunjukkan bekas tersebut boleh dipanaskan dalam ketuhar gelombang mikro.

Itulah sebabnya bekas plastik menjadi pilihan wanita sebagai bekal anak ke sekolah, digunakan dalam perniagaan atau untuk mengisi lauk-pauk ketika kenduri-kendara. Anda pun tentu biasa menggunakannya. Betul tak?

Namun begitu, kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tentang bahaya penggunaan plastik dah mula memberi kesedaran kepada rakyat. Walaupun masih ramai yang menggunakannya, namun penggunaan sesetengah bekas plastik seperti polisterin telah dihentikan.

Justeru, dalam artikel ni, penulis akan berkongsi tentang bahaya bekas plastik  dan cara menggunakan bekas plastik dengan selamat. Sebelum tu, penulis akan membincangkan sedikit info tentang plastik.

Apa Itu Plastik?

Plastik terdiri daripada polimer yang panjang. Setiap polimer tu dibina daripada unit-unit kecil yang dikenali sebagai monomer. Gabungan kesemua monomer yang berlainan akan menghasilkan polimer yang berbeza dari segi sifat dan ciri-cirinya.

Jenis-Jenis Plastik

Terdapat beberapa jenis plastik yang digunakan sebagai bekas makanan dan minuman sama ada secara panas atau sejuk. Antaranya ialah:

Polietelina berketumpatan tinggi (HDPE)

  • Sifat: Kuat, kedap udara, tak mudah rosak, tahan kelembapan dan tahan haba hingga 90 darjah celsius.
  • Kegunaan: Merupakan bungkusan plastik untuk mengisi minuman panas dan sejuk, sup dan lauk-pauk. Malahan, plastik ni juga digunakan untuk membungkus ketupat segera.

Polipropelina (PP)

  • Sifat: Serba guna, kuat, kalis air, tak mudah rosak dan mudah berubah bentuk ikut bentuk makanan.
  • Kegunaan: Sesuai untuk kegunaan dalam ketuhar gelombang mikro. Digunakan juga untuk cawan dan pinggan pakai buang.

Polisterina (PS)

  • Sifat: Serba guna, mudah mencair, plastik telus cahaya yang tak jernih dan tahan haba sehingga 85 darjah celsius.
  • Kegunaan: Cawan dan pinggan pakai buang. Bekas mengisi burger dan bekas yogurt.

Plastik Lain – Polikarbonat, Nilon dan Gentian Kaca (OTHER)

  • Sifat: Bergantung pada polimer dan gabungan polimer untuk menghasilkan plastik tersebut.
  • Kegunaan: Botol minuman daripada polikarbonat. Pinggan mangkuk daripada plastik melamina.

Bahaya Penggunaan Bekas Plastik kepada Manusia

Setiap bekas plastik telah dicipta khusus untuk kegunaan tertentu mengikut kesesuaiannya. Namun, jika disalahgunakan pastinya akan ada risiko kepada kesihatan.

Misalnya anda memanaskan atau meletakkan makanan yang mempunyai kepanasan melebihi had yang dibolehkan akan berlaku migrasi bahan kimia. Suhu yang terlalu tinggi menyebabkan kadar migrasi bahan kimia ke dalam makanan menjadi semakin tinggi.

Malahan, makanan yang dibiarkan terlalu lama di dalam bekas plastik dan makanan yang tinggi asid akan meningkatkan risiko ni. Selain itu, apabila makanan berlemak tinggi disimpan dalam bekas plastik kadar migrasi bahan kimia ke dalam makanan juga tinggi.

Buat pengetahuan para pembaca, terdapat beberapa jenis bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan plastik. Penggunaan bahan-bahan ni meningkatkan pelbagai jenis risiko kesihatan. Antaranya ialah:

  1. Bisphenol A
  • Kegunaan: Merupakan bahan asas pembuatan polikarbonat. Juga digunakan untuk buat penebat di bawah penutup tin dan botol.
  • Risiko: Telah terbukti memberi kesan kepada sistem hormon haiwan bagi kajian makmal. Walaupun belum ada bukti saintifik kesannya kepada manusia, namun kanak-kanak dan bayi digalakkan untuk meminimumkan penggunaan.
  1. Sterin
  • Kegunaan: Digunakan untuk pembuatan polisterina.
  • Risiko: Walaupun kajian mendapati kuantiti migrasi bahan kimia bagi sterin sangat rendah, namun terdapat kemungkinan penyebab penyakit leukemia dan limfoma.
  1. Phthalates
  • Kegunaan: Bahan tambah untuk meningkatkan ciri-ciri fleksibiliti plastik. Dieythylhexyl phthalate ialah bahan yang paling kerap digunakan untuk membuat barangan kegunaan rumah dan kosmetik.
  • Risiko: Boleh memberi kesan kepada sistem pembiakan manusia.

Tips Penggunaan Bekas Plastik dengan Cara yang Selamat

Kita sering menggunakan bekas plastik dalam kehidupan harian. Agar sukar untuk menggantikan penggunaan plastik dengan bahan lain seperti aluminium atau besi tahan karat mahupun kayu.

Oleh itu, sebagai pengguna yang bijak, kita boleh meminimumkan risiko dengan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya. Antaranya ialah:

a. Minuman yang hendak dimasukkan ke dalam bungkusan atau cawan plastik perlulah dibiarkan suam dulu. Jangan sesekali menuang minuman panas melebihi suhu 85 darjah celsius ke dalam cawan polisterina.

b. Jangan terus masukkan makanan yang masih panas dan baru dimasak ke dalam bekas. Sejukkan sebentar, barulah dibungkus.

c. Kebanyakan bekas plastik yang digunakan dalam pasaran untuk mengisi marjerin, yogurt dan aiskrim tak boleh digunakan untuk memanaskan makanan. Bekas plastik tersebut tiada ketahanan untuk haba dalam ketuhar gelombang mikro.

d. Jangan beli botol susu bayi jenis Bisphenol A. Pastikan anda membeli botol susu jenis polipropelina, silikon atau kaca yang tiada risiko kepada bayi.

e. Kurangkan membeli makanan bungkus di kedai. Jika tak nak terus makan di sana, bawa bekas plastik dari rumah yang lebih selamat. Minuman juga boleh diisi ke dalam botol kepunyaan kita.

f. Jika boleh, minta peniaga bungkuskan makanan yang tak berkuah seperti mi goreng atau nasi goreng ke dalam bungkusan kertas.

g. Jangan sesekali minum air dalam botol yang ditinggalkan di dalam kereta walaupun air tersebut masih elok dan belum dibuka.

h. Ketika memasak makanan, gunakan peralatan yang diperbuat daripada besi tahan karat atau yang diperbuat daripada kayu.

i. Jika membeli pemanas air elektrik, pastikan terdapat lapisan besi di dalamnya. Kebanyakan pemanas air di pasaran menggunakan plastik sepenuhnya.

Setakat ni saja perkongsian penulis tentang bahaya bekas plastik dan tips penggunaan dengan cara yang selamat. Jangan lupa kongsikan info ni kepada orang tersayang. Moga ia memberi kesedaran kepada orang ramai agar tak salah guna bekas plastik.

Jemput juga baca bahaya krim timbang kilo dan bahaya menggunakan minyak masak berulang kali

Rujukan

http://www.myhealth.gov.my/membungkus-makanan-panas-dalam-plastik-selamat-atau-tidak/

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.