Pernah tak anda berasa pedih ulu hati, perut kembung, sakit kepala, kepala seperti melayang-layang, kerap muntah, nafas terasa pendek dan tekak seperti tersangkut makanan? Kalau anda ada kebanyakan simptom yang dinyatakan ni, kemungkinan anda menghidap angin medu.

Tanpa kita sedari, makanan harian kita yang pedas, berasid, berlemak dan berangin memberi kesan tak baik kepada tubuh badan. Semua makanan di Malaysia memang sedap-sedap belaka dan kita menikmatinya tanpa rasa bersalah.

Namun, tahukah anda makanan-makanan ni boleh mengakibatkan angin medu? Penulisan artikel ni akan mengupas tentang punca dan petua mengatasi masalah ni. Bagi mereka yang menghidapi masalah angin medu, diharapkan artikel ni dapat membantu anda.

Apa Itu Angin Medu?

Angin medu atau nama sebenarnya Gastroesophageal Reflux Disease (GERD) yang juga dikenali sebagai asid refluks merupakan gangguan penyakit pencernaan yang kronik.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), penyakit ni berlaku apabila asid dalam perut mengalir semula ke dalam saluran esofagus iaitu laluan antara mulut dan perut.

Seperti yang kita sedia maklum, saluran makanan manusia bermula dari mulut, kemudiannya masuk ke dalam saluran esofagus dan seterusnya masuk dalam perut. Apabila makanan sudah berada dalam perut, jus gastrik yang berfungsi untuk mencerna makanan akan dirembeskan.

Jus gastrik ni juga berfungsi untuk membunuh kuman dalam perut. Jika anda mengalami angin medu, asid yang terhasil akan mengalami refluks (naik semula) ke saluran esofagus.

Itulah sebabnya pesakit akan mengalami pedih ulu hati dan juga sakit dada. Bagi kes-kes yang lebih teruk, asid akan naik hingga ke bahagian tekak. Ini mengakibatkan rasa hendak muntah, nafas terasa pendek dan sebagainya.

Punca Berlakunya Angin Medu

Secara normalnya, apabila makanan sampai di bahagian perut, otot sfinkter (di bawah esofagus) akan mengecut. Pengecutan ni berlaku supaya makanan dalam perut tak masuk ke dalam esofagus semula.

Berbeza pula dengan orang yang menghidap angin medu, otot sfinkter mereka mengalami masalah untuk kecut sepenuhnya. Ini menyebabkan makanan di dalam perut naik ke atas semula dan menyebabkan keradangan esofagus disebabkan oleh asid.

Terdapat beberapa sebab berlakunya masalah ni, antaranya:

  • Makan dalam kuantiti yang terlalu banyak.
  • Berat badan berlebihan.
  • Emosi tak stabil atau stres.
  • Faktor pemakanan seperti pedas, masam, berasid dan berlemak.
  • Hiatal Hernia (sebahagian daripada perut memasuki bahagian atas diafragma).
  • Merokok

Simptom Angin Medu

Berikut ialah gejala umum yang sering dihadapi apabila terkena angin medu. Antaranya ialah:

  • Pedih dan terasa terbakar di bahagian ulu hati.
  • Sakit dada seperti serangan jantung.
  • Terasa susah hendak menelan makanan.
  • Perut terasa kenyang walaupun belum makan.
  • Kerap sendawa.
  • Batuk terutamanya pada waktu malam.
  • Tekak terasa masam.
  • Selepas makan sering muntah.
  • Sakit kepala.
  • Kepala terasa melayang.
  • Mudah terkena anxiety.
  • Sakit tekak yang mengakibatkan suara serak.

Petua Mengatasi Angin Medu

Setiap penyakit pasti ada ubatnya. Yang paling penting, kita berusaha mengubatinya dan anggap ia sebagai ujian. Menurut pakar perubatan, angin medu boleh baik dengan sendirinya tanpa rawatan khusus.

Namun, jika simptom berlarutan dan semakin kronik, anda perlu membuat rawatan untuk mengubatinya. Antara rawatan yang boleh dibuat ialah:

Mengubah gaya hidup

  • Jika anda mengalami masalah berat badan berlebihan, cuba capai BMI yang ideal.
  • Kurangkan makanan yang pedas, berlemak, berminyak dan berasid seperti sambal, jeruk dan pisang goreng.
  • Kurangkan minuman berkarbonat dan berasid seperti teh dan kopi.
  • Jauhi alkohol dan rokok.
  • Makan dalam kuantiti yang sedikit namun berkhasiat.
  • Jangan terus baring selepas makan. Tunggu sekurang-kurangnya tiga jam.
  • Gunakan bantal yang tinggi ketika berbaring atau tidur.

Rawatan Ubat-Ubatan

  • Proton-pump inhibitor

Ia berguna untuk menyekat pengeluaran asid hidroklorik di dalam perut. Contoh ubatnya ialah omeprazole, esomeprazole dan pantoprazole.

  • Antacids

Ubat yang bersifat alkali ni dapat meneutralkan asid yang berlebihan dalam perut. Contoh ubatnya ialah hydroxide dan magnesium trisilicate.

  • H-receptor antagonist

Ubat jenis ni dapat mengurangkan rembesan jus gastrik ke dalam perut. Jadi, penghasilan asid hidroklorik yang menyebabkan keradangan esofagus dapat dikurangkan. Contoh ubatnya ialah ranitidine dan cimetidine.

Pembedahan

Pembedahan hanya akan dilakukan jika pengambilan ubat-ubatan tak berkesan. Malah, perubahan gaya hidup tak membawa apa-apa perubahan pada pengurangan gejala angin medu.

Pembedahan yang sering dilakukan dikenali sebagai ‘Fundiplication’. Pembedahan ni maksudnya perut di bahagian atas (fundus) akan dijahit mengelilingi bahagian bawah esofagus. Tujuannya supaya otot sfinkter menjadi kuat.

Diet Yang Disyorkan Untuk Penghidap Angin Medu

Melalui laman Facebook ‘Bagaimana Saya Sembuh Dari Gerd Dan Anxiety’, bekas-bekas pesakit GERD yang telah sihat dengan menjaga pemakanan telah berkongsi tips yang boleh diamalkan oleh semua.

Minuman Yang Dibolehkan

  • Jus epal, jus avocado, jus lobak, jus pegaga, jus durian belanda, jus kurma, air suam, air madu, susu kambing dan air zam-zam.
  • Semua jus yang disenaraikan di atas mestilah daripada buah-buahan segar dan tak boleh dicampurkan dengan gula.

Kekacang

  • Badam sahaja.

Kanji

  • Nasi, roti putih, bihun dan kuey tiow.

Sayur-Sayuran

  • Pak choy, sawi, kailan dan lobak merah.

Daging

  • Pada peringkat permulaan – ikan, ayam dan burung.
  • Jika simptom kurang – daging lembu, kambing, rusa dan sebagainya (perlu dikunyah hingga lumat).

Buah-Buahan

  • Kurma, epal, pear dan kebanyakan buah-buahan import. Elakkan buah-buahan tempatan terutamanya yang berasid dan masam seperti nanas, langsat, limau dan dukung.

Makanan Dan Minuman Tambahan

  • Madu, wheatgrass, air zam-zam, multivitamin, probiotik dan prebiotik, aloe vera, minyak zaitun, kismis, air garam buluh dan habbatus sauda.

Amalan Yang Boleh Dilakukan

  • Minum segelas air suam selepas bangun tidur.
  • Jangan biarkan perut kosong. Makan sedikit untuk alas perut.
  • Buatlah senaman untuk kurangkan berat badan di samping jangan pemakanan.
  • Cara memasak yang terbaik ialah secara kukus, panggang, rebus dan sup. Elakkan makanan bergoreng.
  • Sentiasa positif dalam hidup dan elakkan stres.

Kesimpulannya, kita perlu menjaga kesihatan dengan sebaik-baiknya. Jangan makan tanpa fikir kesannya pada tubuh badan. Mungkin sekarang kita sihat, tapi sebulan atau setahun lagi tak ada sesiapa tahu keadaan kesihatan kita.

Diharapkan perkongsian artikel ni tentang punca dan rawatan penyakit angin medu ini dapat memberikan anda sedikit ilmu yang bermanfaat. Jangan lupakan kongsikan artikel ni dengan ahli keluarga dan sahabat handai. Jemput juga baca tentang penyebab rabun beruban dan punca biji kolestrol

Rujukan

  1. https://thediagnosa.com/asid-refluks-gerd-punca-simptom-rawatan/
  2. https://www.facebook.com/gerdsurvivor/?ref=search&__tn__=%2Cd%2CP-R&eid=ARDFOGstTPKfp2FR2bCplAQRt9jhQ4mSe57_z3-gqTZ3-2ie9VYMGKfuQ8IHRoFdZ1rBoslyTF8PouLV

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.