Sebagai manusia biasa, kita pasti tidak akan terlepas dalam membuat kesilapan. Itu lumrah. Namun, penting bagi kita untuk bersikap lebih terbuka dan memperbaiki apa jua kelemahan kita supaya menjadi orang yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Sama seperti mendidik anak-anak. Adakalanya fahaman atau cara kita silap tanpa disedari sehinggalah ada yang menegurnya. Jangan cepat melenting. Berlapang dada dan tapis dahulu teguran yang kita terima.

Jika ia teguran yang membina, ambilnya sebagai panduan. Jika ia teguran yang sekadar mengkritik, ucaplah terima kasih pada si “penegur” dan tong sampahkan sahaja kata-katanya. Terlalu memikirkan kritikan orang bukan sahaja memudaratkan diri sendiri, malah memuaskan hati si pengkritik pula.

Walau apa pun, semua ibu bapa pasti mahu yang terbaik untuk anak-anak. Di sini saya senaraikan 5 kesilapan yang biasa dilakukan ibu bapa semasa mendidik anak.

 

anak tak dengar kata

Imej: babyology website

Nota editor bidadari.my: Anda digalakkan untuk berkongsi artikel ini pada orang lain untuk sama-sama mendapat manfaat darinya. Namun, admin sangat berharap supaya SEBARANG PERKONGSIAN DISERTAKAN SEKALI LINK ASAL ARTIKEL. Hormatilah usaha dan masa penulis asal.

 

#1. Cepat Marah dan Tidak Sabar Semasa Mendisiplinkan Anak

Antara kesilapan ibu bapa semasa mendisiplinkan anak adalah cepat marah dan tidak sabar apabila menegur mereka. Peranan ibu bapa adalah mendidik, bukan melepaskan geram pada mereka.

Kita tidak mahu anak takut melakukan sesuatu kerana takutkan ibu atau bapanya marah. Dikhuatiri apabila dia berada di tempat yang ibu bapa tiada, contohnya di sekolah atau taska, dia akan mengambil peluang untuk melakukannya. Sebaliknya, kita mahu anak belajar dan tahu, apa yang dia lakukan adalah perkara yang salah. Barulah hasil didikan kita berkesan.

Selain itu, apabila kita tidak mampu mengawal marah kita, dikhuatiri kita  akan mengambil peluang untuk menghukum dengan berlebihan – adakalanya sehingga ke tahan mendera anak tersebut.

Ingat, menghukum anak adalah bertujuan untuk mendidik. Jangan berikan alasan untuk memukul anak sehingga lebam dan berbirat badannya atau mengeluarkan kata-kata yang kesat kononnya untuk mendidik.

Terbaik, kawal diri kita mendisiplinkan anak dalam keadaan bertenang.

Nabi bersabda: “Sesiapa menahan kemarahan pada hal dia mampu melauhkannya, maka Allah kelak akan memanggilnya di hadapan makhluk-makhluk hingga Allah memperkenankan kepadanya untuk memilih bidadari yang dikehendakinya.” (HR Abu Daud, At Tirmidzi, Ibnu Majah)

 

anak tak dengar kata

Imej: Nikki.B2010

 

#2. Suka Membanding Anak

 Membandingkan anak dengan orang lain, sama ada anak orang lain atau dengan adik-beradiknya adalah kesilapan yang tidak patut dilakukan ibu bapa.

 

“Kakak dulu cepat je dah siap kerja sekolah. Kenapa adik susah sangat nak siapkan kalau mak tak suruh?”

 

Membanding anak bukannya boleh membuatkannya berubah menjadi lebih baik. Ia lebih membuatkan si anak geram dengan anda dan adik beradiknya yang lain.

Daripada membanding, lebih elok sekiranya anda memuji dan memberi ganjaran pada anak tersebut apabila dia melakukan seperti yang diharapkan. Dengan cara ini, dia akan lebih terdorong untuk berbuat begitu dimasa hadapan.

 

#3. Tidak Menunjukkan Contoh Yang Baik

Jangan lupa, anak selalu memerhati apa yang kita lakukan. Mereka akan menjadikan kita sebagai contoh mereka. Apa yang kita lakukan lebih mudah untuk mereka ikuti berbanding apa yang kita suruh.

Sekiranya ibu bapa sendiri tidak menjaga solat mereka, takkan anak tersebut mahu menunaikan solat?

Sekiranya ibu bapa sering menengking sesama sendiri, takkan anak tersebut mahu menjaga kata apabila bersama rakan-rakan?

Jika mahukan anak makan makanan yang sihat, adakah mereka akan patuh pada kita sekiranya mereka melihat kita memakan maggid an makanan segera tanpa rasa bersalah?

Benar, tiada ibu bapa yang sempurna. Tetapi apa yang penting, ubah sikap kita dahulu sebelum mahu mengubah anak-anak kita.

 

#4. Tidak Menghormati Anak

Sebagai orang Islam, pastinya kita sudah dididik sejak kecil bahawa anak-anak wajib taat pada ibu bapanya. Allah SWT juga telah menegaskan dalam Quran untuk sentiasa berbuat baik pada ibu bapa kita. Begitu juga  dengan Nabi kita.

Namun begitu, bukan anak-anak sahaja yang patut patuh dan berbuat baik pada ibu bapanya. Ibu bapa juga mesti berbuat baik dan menghormati anak-anaknya.

Apabila berkomunikasi dengan anak-anak atau cuba mendisiplinkan mereka, ibu bapa harus selalu bersikap lemah lembut dan baik pada mereka. Manusia akan lebih mudah mendengar kata dan berlembut hati dengan orang yang mempunyai hubungan yang positif dengan mereka. Begitu juga anak-anak.

Cuba bercakap dengan anak dalam nada yang tenang dan lemah lembut – lebih-lebih lagi dihadapan orang ramai. Menengking dan memarahi anak-anak dihadapan orang lain akan memalukannya dan menjatuhkan maruahnya sekaligus membuatkannya sukar untuk mendengar kata.

 

Anak Tidak Dengar Kata

Imej: GrazerX

 

#5. Terlalu Berharap Kesempurnaan

Jangan terlalu berharapkan kesempurnaan. Kita harus sentiasa ingat, tiada manusia yang sempurna – termasuk diri kita. Orang dewasa juga ada kalanya berasa malas, tidak bermaya, tiada mood melakukan sesuatu ataupun penat untuk sepanjang hari tersebut. Adakalanya juga, tiba-tiba terasa ceria, bersemangat, rajin untuk membuat macam-macam dan mudah tersenyum sepanjang hari.

Begitu juga anak-anak! Mereka juga mempunyai pasang surut emosi. Adakalanya rajin dan mudah mendengar kata. Namun adakalanya sedikit nakal dan mahukan perhatian lebih berbanding hari biasa.

Kita harus ingat, kita juga mahukan Allah SWT sentiasa sabar dan memaafkan kita setiap kali kita membuat kesilapan. Apa salahnya kita melakukan perkara yang sama pada anak-anak.

Penulis: Ummu Hatim

Ummu Hatim adalah salah seorang penulis tetap di Bidadari.My. Penulisannya banyak mengenai keibubapaan dan tips kesihatan. Menulis untuk mendidik diri sendiri disamping berkongsi ilmu pembacaan yang ada.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.