Sering gelisah, cepat marah, suka memberontak, kurang sabar dan susah untuk tidur merupakan antara tingkah laku utama kesan daripada perisa tambahan pada makanan.

Tidak ramai ibu bapa sedar bahawa bahan kimia pada makanan boleh memberi banyak kesan pada tingkah laku anak mereka seperti bergaduh dengan adik beradik, lambat bercakap, resah, bimbang, tekanan perasaan atau kesukaran untuk menumpukan perhatian pada sesuatu.

Anak-anak yang tidak banyak terdedah pada perisa tambahan ini secara umumnya lebih tenang, gembira dan mudah mendengar kata.

Kajian juga mendapati anak seawal usia tiga tahun mudah mengamuk dan menghadapi pelbagai lagi masalah tingkah laku yang sukar dikawal ibu bapa apabila mereka kerap meminum jus yang penuh dengan pewarna dan bahan pengawet.

 

Pengawet Penyebab Tantrum

Kredit gambar: Michelle Brown

Nota editor bidadari.my: Anda digalakkan untuk berkongsi artikel ini pada orang lain untuk sama-sama mendapat manfaat darinya. Namun, admin sangat berharap supaya SEBARANG PERKONGSIAN DISERTAKAN SEKALI LINK ASAL ARTIKEL. Hormatilah usaha dan masa penulis asal.

 

Bahan Pengawet Manakah Yang Patut Kanak-Kanak Elakkan

Di Malaysia, kita belum lagi terdedah dengan budaya membelek label untuk menyemak kandungan bahan makanan setiap kali sebelum membeli sesuatu makanan. Membelek label bukan sahaja bertujuan untuk menyemak sama ada suatu makanan tersebut adalah halal atau tidak.

Kita sepatutnya menyemak dan mengetahui apa sebenarnya yang kita makan selama ini. Paling elok, pilih sahaja untuk makan dirumah. Anda pasti yakin dengan apa yang anda sajikan pada keluarga dan diri sendiri.

Walaupun terdapat banyak bahan pengawet dalam pasaran, ada bahan pengawet yang memberi kesan yang lebih buruk berbanding bahan pengawet lain. Di sini saya senaraikan 11 bahan pengawet utama yang patut dielakkan oleh setiap kanak-kanak.

 

#1. MSG (E621)

MSG dikatakan boleh menyebab anak migraine, sakit kepala, sakit dada dan kerap berpeluh. Bahan ini mudah didapati dalam makanan ringan, makanan segera dan makan berproses yang sering menjadi kegemaran anak-anak.

 

#2. Kafein

Kafein merupakan bahan peransang yang bertindak pada otak dan sistem saraf. Kafein biasa dikaitkan dengan teh, nescafe dan kopi – minuman yang patut dielakkan oleh anak-anak.

Namun begitu, ada kalanya anda boleh menjumpai bahan ini di dalam minuman bergas, minuman  bertenaga atau sesetengah coklat. Semak dahulu kandungannya sebelum anda memilih membelinya untuk anak-anak.

 

#3. Pewarna Kuning, Tartrazine (E102)

Pewarna kuning E102 merupakan pewarna sistetik yang diperbuat daripada pewarna aromatik dari petroleum. Ia dikatakan boleh menyebabkan masalah alergik pada kanak-kanak terutamanya yang menghidap asma dan intoleransi pada aspirin.

Bahan pengawet ini juga menurunkan kadar zink di dalam darah dan air liur yang seterusnya mengakibatkan kemerosotan kepada tingkah laku kanak-kanak terutamanya. Zink penting untuk metabolisme badan kita, membantu sistem kekebalan tubuh dan pencegahan kepada jangkitan patogen (bakteria dan virus) di dalam tubuh badan kita.

Pewarna ini bukan sahaja dijumpai dalam makanan yang berwarna kuning. Adakalanya, ia dicampur dengan pewarna biru (E133) untuk menghasilkan warna hijau. Jadi, semak dahulu label sebelum membeli.

Antara makanan yang mengandungi pewarna ini adalah sos mustard, keropok, gula-gula kapas, gula-gula, minuman bertenaga, minuman berkarbonat, tepung kustard, jeli, jem, ais krim, makanan bijirin dan sarung ubatan kapsul.

 

Pengawet Penyebab Tantrum

Imej: Jessica Schaer

 

#4. Pewarna Kuning, Sunset Yellow FCF (E110)

Pewarna kuning E110 juga merupakan pewarna sintetik yang diperbuat daripada tar arang batu (petroleum). Namun, ia sering digunakan dalam makanan yang memerlukan suhu yang tinggi untuk dibuat. Antaranya adalah jeli oren, jeli merah, jem oren, swiss roll dan keropok.

Pewarna ini boleh menyebabkan kanak-kanak menjadi hiperaktif, masalah kulit, muntah-muntah dan cirit. Ia diharamkan di Norway.

 

#5. Pewarna Biru, Brilliant Blue FCF (E133)

Pewarna sintetik daripada tar arang batu (petroleum) ini sering dijumpai digunakan bersama pewarna merah E102. Pewarna ini telah diharamkan di Austria, Belgium, Denmark, France, German, Greece, Italy, Norway, Spain, Sweeden dan Switzerland kerana menyebabkan alergik pada mereka yang mempunyai masalah asma atau semput.

Pewarna ini boleh dijumpai dalam makanan bertin, ais krim, gula-gula, minuman berperisa, gula-gula getah dan juga ubat kumur.

 

#6. Pewarna Merah, Carmine (E120)

Pewarna merah ini diperbuat daripada serangga yang dihancurkan. Pewarna ini merupakan pewarna yang sering digunakan untuk memberi warna merah pekat pada makanan. Ia boleh dijumpai dalam produk tenusu berasas strawberi, gula-gula, gelatin, jus buahan, kordial, ais krim, yogurt dan syampu.

Pewarna ini diketahui boleh menyebabkan alergik dan asma pada sesetengah kanak-kanak. Ia juga boleh menjadi penyebab anak-anak menjadi hiperaktif.

 

#7. Pewarna Merah, Allura Red AC (E129) & Amaranth (E123)

Pewarna E129 dikaitkan dengan hiperkativiti pada kanak-kanak, manakala pewarna E123 boleh mengjadi penyebab masalah hati dan kanser. Penggunaan pewarna ini telah diharamkan di Amerika Syarikat dan Norway manakala di Itali dan France, pengunaannya dihadkan.

Antara jenis makanan yang mengandungi pewarna ini adalah gula-gula kapas, tepung kek segera, jeli, coklat dan gula-gula getah.

 

#8. Sulfat atau Sulfur Dioksida (E220)

Bahan pengawet ini juga diperbuat daripada tar arang batu (petroleum). Bahan ini biasanya dijumpai dalam jus buahan, kordial, minuman ringan, cuka, buahan kering dan makanan berasaskan kentang. Bahan ini digunakan untuk mengawet makanan supaya membolehkan makanan tersebut tahan lama.

E220 diketahui boleh memburukkan lagi serangan asma dan sukar dihadapan oleh sesiapa yang mempunyai masalah buah pinggang. Ia juga boleh memusnahkan vitamin B1 dan vitamin E dalam badan. Disebabkan itu, bahan ini dilarang untuk diambil oleh kanak-kanak.

 

#9. Sodium Benzoate (E211)

Sodium Benzoate merupakan antara pilihan utama pengawet dalam minuman kotak dan tin termasuk minuman kesihatan. Selain dari minuman ringan, bahan ini juga digunakan dalam makanan berjeruk sebagai bahan pengawet kerana asid benzoate tidak larut di dalam air. Bayangkan impak yang bakal diberikan sekiranya ia berada dalam tubuh anda!

Menurut Dr Hafiz Sulaiman; pengamal perubatan holistik, functional dan anti-ageing regenerative medicine, pastikan minuman kita yang mengandungi sodium benzoate tidak juga mengandungi:

1) Vitamin C: Sodium benzoate akan bereaksi dengan vitamin C membebaskan BENZENE yang diiktiraf sebagai CARCINOGENIC (menyebabkan kanser).

2) Pewarna tiruan: Reaksi pewarna tiruan dan sodium benzoate mungkin menyebabkan kanak-kanak menjadi hiperaktif. Apatah lagi ditambah dengan gula HFCS dan/atau kafein, kesan yang diberikan adalah lebih buruk.

 

pengawet penyebab tantrum

Kredit gambar: Tim schreier

#10. Nitrat

Bahan ini digunakan dalam produk berasaskan daging supaya produk tersebut tahan lama seperti hotdog atau daging burger. Ia membantu mengekalkan warna produk tersebut dan menghalang bakteria membiak.

Makanan jenis ini tidak seharusnya menjadi makanan harian anak-anak kita. Bahan pengawet ini sering dikaitkan dengan masalah kulit, ruam, membengkak dan anaphylaxis (masalah alergik yang boleh membawa maut).

 

#11. Garam

Garam merupakan antara bahan masakan yang wajib untuk menjadi penyedap makanan. Namun awas, jangan berlebihan!

Masalah darah tinggi bukan sahaja boleh dihidapi oleh orang dewasa. Kanak-kanak pun tidak terkecuali. Oleh itu, kanak-kanak terutamanya yang berusia dibawah 7 tahun harus dipantau supaya tidak mengambil sodium secara berlebihan.

 

Kesimpulan

Terlalu banyak produk di pasaran kini mengandungi bahan-bahan ini. Antara masalah yang dihadapi oleh pengguna-pengguna di Malaysia adalah tidak semua produk menulis kandungan bahan-bahan dengan terperinci.

Kebanyakannya tertulis “mengandungi pewarna dan bahan pengawet yang dibenarkan”. Sudah tentu semua bahan-bahan yang disenaraikan di atas adalah dibenarkan.

Oleh itu, untuk memastikan kita dan keluarga mendapat zat yang terbaik tanpa bahan-bahan yang menjejaskan kesihatan, pilihlah untuk makan di rumah.

Tiada siapa boleh nafikan, makanan yang disediakan di rumah adalah yang terbaik. Air tangan ibu adalah yang terbaik untuk mengeratkan kasih sayang sesama ahli keluarga. Selain itu, si ibu boleh mengawal sendiri pengambilan makanan anak-anaknya.

Tidak perlu bimbang menyemak apa kandungan bahan makanan tersebut. Kesihatan dapat dikawal, kebersihan pun terjamin.

Penulis: Ummu Hatim

Ummu Hatim

Ummu Hatim adalah salah seorang penulis tetap di Bidadari.My. Penulisannya banyak mengenai keibubapaan dan tips kesihatan. Menulis untuk mendidik diri sendiri disamping berkongsi ilmu pembacaan yang ada.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.