Apa Yang Perlu Buat Jika Anak Suka MENGAMUK, MEMUKUL, MENGGIGIT?

Anak suka menjerit..

Anak suka mengamuk..

Anak suka memukul..

Anak suka menggigit…

Anak suka memanjat tidak kena tempat..

Memang boleh pening ibu bapa dan guru ya jika anak berterusan bertingkahlaku negatif seperti ini. Cabaran yang terbesar sering dihadapi oleh penjaga tidak kira di mana sahaja samada di rumah, taska, tadika, sekolah atau tempat-tempat awam.

Bagaimana cara kita membantu anak-anak ini? Memang kita sudah sedia maklum bahawa anak-anak ini sedang menjalani proses pembelajaran dalam hidup mereka. Masih tidak dapat membezakan apa yang betul apa yang salah. Belum tentu hari ini kita ibu bapa nasihat, esok dah terlekat dalam minda mereka. ?

Namun, setiap isu itu pasti ada jalan penyelesaiannya. Kaedah yang terbaik bagi menangani tingkahlaku negatif anak ialah melalui MODIFIKASI TINGKAHLAKU. Proses modifikasi tingkahlaku ini mungkin akan mengambil masa yang panjang. Mungkin seminggu, minggu sebulan, mungkin lebih panjang dari itu tempohnya.

Sabarlah wahai ibu bapa dan guru. Didiklah mereka dengan penuh kesabaran tentang tingkahlaku yang baik dan diterima dalam sistem sosial ini walau berapa lama pun tempohnya. Ingat!kanak-kanak ini masih dalam fasa pembelajaran.

Beri masa dan peluang mereka belajar dan berubah. Proses modifikasi dan pembelajaran ini panjang dan berterusan. Kita yang dewasa ini pun ambil masa untuk berubah, inikan pula anak kecil yang baru ingin mengenal dunia. Kuncinya  SABAR. ☺

Berdasarkan perkongsian pakar-pakar bidang pendidikan awal kanak-kanak dan tulisan jurnal berkaitan modifikasi tingkahlaku, terdapat 8 cara yang berkesan yang boleh dilakukan dalam menangani tingkahlaku negatif kanak-kanak:

1. Carta Tingkahlaku

Senaraikan tingkahlaku negatif yang ingin diubah seperti:

  • TIDAK menjerit apabila marah.
  • TIDAK mengamuk di tempat awam.
  • TIDAK memukul kawan di tadika.

Carta ini juga boleh digunakan untuk mengalakkan kanak-kanak bertingkahlaku positif seperti:

  • MENYUSUN kasut di rak kasut.
  • MENGEMAS mainan setelah selesai bermain.
  • MELETAKKAN pakaian kotor di dalam bakul.

Adalah lebih baik jika setiap senarai ini disertakan dengan gambar visual supaya memudahkan kanak-kanak yang masih tidak mahir membaca memahami carta tingkahlaku tersebut.

2. Peneguhan Positif

Peneguhan positif atau ‘reward‘ boleh diberikan apabila kanak-kanak berjaya melalui hari-hari mereka dengan tingkahlaku yang diinginkan seperti memperolehi sticker yang berwarna-warni untuk dilekatkan pada carta tingkahlakunya.

Sistem ganjaran ini adalah bagi memberi motivasi dan menggalakkan mereka untuk terus bertingkahlaku baik seperti yang diinginkan. Sesekali ‘reward‘ anak-anak dengan benda yang mereka suka seperti kereta HOTWHEELS apa salahnya ???. Pasti mereka ‘teruja’ dan gembira untuk bertingkahlaku positif bukan?.

3. Peneguhan Negatif

Selalunya, kita akan mulakan dengan peneguhan positif iaitu memberi ganjaran kepada anak-anak jika mereka bertingkahlaku positif. Namun, terdapat juga keadaan dimana kita perlukan peneguhan negatif  jika tingkahlaku negatif ini masih terus terjadi.

Antara contoh peneguhan negatif ialah:

  • Time out – pengecualian sosial iaitu pengasingan sementara kanak-kanak dari persekitaran di mana tingkahlaku negatif tersebut berlaku.
  • Tidak membenarkan mereka untuk menonton cerita kartun kegemaran.
Time out

Imej via pbs.org

4. Maklumat Visual

Kerap tunjukkan gambar atau video yang berkaitan dengan modifikasi tingkahlaku ini . Jika anak suka memukul kawan, tunjukkan gambar tangan dan tanda ❌. Tampalkan di tempat yang sering dilihat oleh mereka.

Tunjukkan juga gambar yang positif seperti gambar bersalaman dengan kawan-kawan dan tandakan ✔. Jika setiap hari dilihat, sudah pasti satu hari nanti  ‘terlekat’ juga dalam memori mereka.

5. Tanda Sokongan

Kerap puji, peluk dan cium anak untuk terus bertingkahlaku positif. Tanda sokongan ini juga dikategorikan sebagai peneguhan positif setelah mereka berjaya bertingkahlaku seperti yang diinginkan.

6. Kata-Kata Positif

Mulakan hari-hari mereka dengan kata-kata positif seperti:

  • SAYA BUDAK BAIK.
  • SAYA ANAK SOLEH.
  • SAYA SAYANG KAWAN.

Rakamkan kata-kata positif ini di dalam minda mereka supaya dapat membantu mereka untuk terus berfikiran dan bertingkahlaku positif.

Aktiviti ‘grounding‘ di awal pagi juga baik untuk dilakukan supaya emosi anak lebih tenang dan positif. Manakala, aktiviti fizikal seperti bersenam atau berbasikal juga sangat bagus supaya ‘tenaga’ kanak-kanak yang aktif ini dapat disalurkan pada perkara yang baik bukannya kepada perkara yang tidak sepatutnya seperti memukul kawan, berlari sana sini ketika sesi pembelajaran dijalankan.

7. Kerap Beri Nasihat Dan Peringatan

Seperti yang saya katakan di atas, proses modifikasi tingkahlaku ini bukannya mudah. Belum tentu hari ini kita nasihat, esok anak dah faham ?.  Kita perlu kerap beri nasihat dan peringatan kepada mereka. Contohnya,

  • Tangan ini untuk apa Danial?. Tangan untuk makan, menulis, bukan pukul kawan.
  • Danial nak kereta mainan baru tak? Kalau nak, main sama-sama dengan kawan bukan bergaduh.

8. Konsisten Dan Doa

Proses modifikasi ini perlu dilakukan dengan konsisten sehingga tingkahlaku negatif tersebut dapat diubah. Perkara yang paling penting ialah DOA. Jangan pernah putus asa dalam berdoa supaya anak-anak kita sentiasa memiliki adab, akhlak dan tingkahlaku yang baik. Sesungguhnya,  hanya Allah swt yang memegang hati setiap hambaNya termasuklah hati anak-anak kita.

Anak-anak ini amanah. Didiklah mereka dengan penuh kesabaran. Mungkin ada salah dan dosa kita menberi kesan kepada akhlak anak-anak dan diuji kesabaran ibu bapa dalam membesarkan mereka. Maka, mohon ampun dan taubatlah kepada Ilahi. Moga kita semuanya dikurniakan zuriat dan keturunan yang soleh dan solehah.

Sumber:

  1. Puan Ilyani Munsarikh di laman facebook beliau.
  2. Fatin Nurnaqibah Alyaa Mohd Noor, Mohd Hanafi Mohd Yasin  (2016) Modifikasi Tingkahlaku Murid Menggunakan Time Out dan Kata Pujian. Universiti Malaya
Faz

Merupakan graduan Psikologi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan sekarang memilih untuk menjadi surirumahtangga sepenuh masa demi keluarga. Seorang ibu yang sangat mempunyai minat yang mendalam dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak dan kekeluargaan. Diharapkan dapat berkongsi ilmu seluas-luasnya dengan masyarakat melalui setiap penulisan yang ditulis. Klik sini untuk Facebook beliau.

Pendapat Anda?

comments

Add Comment

error: Content is protected !!