Sepertimana yang kita ketahui, tahap perkembangan kanak-kanak adalah berbeza antara satu sama lain. Sekiranya anak menunjukkan kelewatan perkembangan di mana ianya tidak selari dengan ‘milestone’  perkembangan asas kanak-kanak, mereka perlu dirujuk kepada pakar.

Salah satu kelewatan perkembangan kanak-kanak yang seharusnya diberi perhatian serius adalah berkaitan dengan kemahiran komunikasi mereka iaitu kelewatan pertuturan (speech delay).

Foto Kredit : parenting.com

REALITINYA, IA BUKAN SEKADAR ‘SPEECH DELAY’

Ramai ibu bapa yang bertanya tentang anak mereka yang ‘speech delay’  dan bagaimanakah ‘team’  terapis kami boleh membantu anak-anak ini.

Terdapat juga ibu bapa yang menekankan bahawa anak mereka ‘HANYA SPEECH DELAY’.

Tahukah anda, lebih kurang 9 daripada 10 kes yang datang ke pusat terapi kami atas sebab ‘speech delay’  juga mempunyai kelewatan dalam ‘milestone’  perkembangan yang lain?

Berikut merupakan dua situasi mengapa saya katakan kelewatan pertuturan ini bukan hanya sekadar ‘speech delay’, malah turut melibatkan beberapa lagi isu lain.

1. ANAK TURUT MEMPUNYAI KELEWATAN SENSORI – MOTOR

Terdapat ibu bapa yang apabila kami (saya dan team) jelaskan kepada mereka bahawa anak ‘speech delay’nya juga mempunyai kelewatan sensori-motor, mereka akan memberikan jawapan-jawapan seumpama ini :-

  • “Tapi, dia lasak saja. Suka lari sana, lari sini.”
  • “Boleh, puan. Otot dia ok saja. Dia suka panjat-panjat meja.”
  • “Taklah. Saya rasa dia hanya tak boleh cakap saja. Masalah lain macam sensori ke, motor ke, takde. Boleh je dia buat semua.”

Namun, ibu bapa yang sama juga akan termenung dan mula kerunsingan apabila kami bertanyakan tentang kemahiran sensori-motor anak mereka dengan lebih terperinci :-

  • “Kalau dia lari-lari, dia selalu terlanggar barang tak?”
  • “Semasa di taman permainan, dia lari lasak ke sana sini sahaja, atau dia akan cuba setiap permainan yang ada tanpa rasa takut?”
  • “Kalau bawa anak berjalan-jalan ke pusat membeli-belah, susah tak puan mahu kawal anak puan? Dia faham atau tidak tentang bahaya jika dia tidak pimpin tangan puan semasa berjalan?”
  • “Anak puan sudah boleh fokus dan bermain pelbagai jenis permainan di rumah dengan cara yang berbeza-beza?”

Di sini, kita dapat lihat bahawa anak tersebut sebenarnya bukan sekadar mempunyai isu ‘speech delay’  sahaja, tetapi juga turut mempunyai isu dari segi sensori-motornya.

Foto Kredit : happyheartschildcare.com.au

2. ANAK BERMASALAH DI SEKOLAH

Terdapat juga ibu bapa yang datang apabila anak sudah masuk ke USIA PRA-SEKOLAH dengan senarai masalah berikut :-

  • Anak tidak mahu duduk diam.
  • Emosi anak kelihatan sangat sukar dijangka dan sangat sukar ‘relaks’.
  • Perkembangan anak tidak sama dengan rakan sebaya yang lain sehingga guru-guru mengadu yang anak sukar dikawal di dalam kelas.

Ada ibu bapa yang kerunsingan, anak ‘speech delay’nya sudah bergraduasi dengan terapi pertuturan dan sudah banyak perkataan dikeluarkan, tetapi mengapa anak masih ketinggalan di sekolah? Apakah lagi perkara yang tidak dipenuhi atau tidak mencukupi?

Kelewatan bertutur sering berkait rapat dengan kelewatan kemahiran sosial-komunikasi. Kanak-kanak yang lewat bertutur akan mempunyai banyak permasalahan sekunder (kesan daripada satu-satu kondisi) yang berkemungkinan akan mengganggu kefungsiannya yang lain :-

  • ‘Esteem’  diri yang rendah.
  • Kesukaran berkomunikasi dengan orang yang bukan ahli keluarga.
  • Kesukaran bersosial dalam kelompok atau kumpulan yang lebih ramai.
  • Keresahan (anxiety) kerana perlu berdikari di sekolah.

Foto Kredit : revistaime.com

INTERVENSI UNTUK MEMBANTU ANAK ‘SPEECH DELAY’

Intervensi berbentuk individual akan meninggalkan kesan yang berbeza dengan intervensi berbentuk kumpulan kecil.

Intervensi yang mencabar keupayaan sensori-motor dan berbentuk banyak pergerakan akan meninggalkan kesan yang berbeza dengan intervensi yang hanya duduk fokus di meja selama 45 minit.

Oleh itu, kita perlu memahami keperluan anak.

Jika satu terapis sudah ‘discharge’  anak anda sebelum ini, mungkin ada isu lain yang perlu dilihat oleh terapis lain.

Boleh jadi juga, 2 bulan lepas terapis sudah ‘discharge’  anak anda, tetapi tiba-tiba bulan ini anak menunjukkan perilaku yang merunsingkan atau regresif dalam perkembangannya. Hubungi semula terapis anak anda untuk penilaian semula dan berbincang tentang kerunsingan anda ini.

Foto Kredit : centerforalexandriaschildren.org

BANTU ANAK, CARI JALAN PENYELESAIAN

Sebagai ibu ayah, apa jua isu yang membelenggu diri kita tentang anak-anak, segera berusaha cari jalan penyelesaian untuk membantu mereka. Usah bertangguh kerana ia mungkin boleh menyebabkan isu tersebut bertambah kritikal.

Semoga dengan penerangan tentang isu ‘speech delay’  ini, ia membantu kita semua sebagai ibu ayah untuk melakukan yang terbaik untuk anak-anak tercinta.

Penulis: Siti 'Aisyah Rozalli

Merupa seorang Occupational Therapist. Bertanggungjawab melakukan penilaian perkembangan bagi mengenal pasti jika anak anda ada kelewatan dalam kefungsian hariannya. Rajin berkongsi tentang perkembangan awal kanak-kanak. Boleh dihubungi Facebooknya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.