Sebagai ibu bapa, kesihatan dan keselamatan anak anda adalah yang paling utama. Pastinya anda akan berasa susah hati jika secara tiba-tiba anak anda kelihatan kurang aktif dan lemah, tidak seperti biasa. Bak kata orang, biarlah rumah kita berterabur tunggang-langgang seperti tongkang pecah diselerakkan oleh anak, asalkan anak sihat.

Salah satu daripada keadaan yang paling merisaukan ibu bapa ialah apabila anak muntah tapi tak demam. Pastinya anda tertanya-tanya apa sebenarnya sakit yang dialami oleh anak anda? Apa puncanya? Apa yang anda perlu buat dengan segera? Istimewa untuk ibu bapa prihatin seperti anda, jom kami kongsikan info tentang anak muntah tapi tak demam.

anak muntah tapi tak demam
Sumber: Doctorzara

Adakah muntah satu penyakit?

Perkara pertama yang ana perlu tahu ialah muntah bukanlah satu penyakit. Namun ia adalah salah satu daripada isyarat yang diberikan oleh tubuh badan bagi menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, muntah adalah satu cara tubuh badan membuang atau menyingkirkan isi kandungan perut melalui mulut.

Apabila anak anda muntah, cuba perhatikan muntah anak anda termasuk dalam kategori yang mana satu, sama ada:

  • Refluks. Muntah jenis ini biasanya berlaku apabila susu yang diminum oleh anak anda terkeluar semula dari perut secara perlahan-lahan disebabkan oleh injap yang memisahkan perut dengan saluran esofagus terbuka secara tidak sengaja. Muntah jenis ini biasanya berlaku semasa anak anda masih bayi dan ianya adalah tidak membahayakan kesihatan bayi anda.
  • Possetting. Bahasa melayunya ialah jeluak iaitu keadaan dimana bayi anda terjeluak susu melalui mulut sejurus selepas menyusu denga terlalu banyak. Ini juga adalah keadaan biasa di kalangan bayi dan tidak membahayakan kesihatan bayi anda.
  • Projectile vomiting atau muntah yang memancut. Muntah jenis ini berlaku apabila isi kandungan perut bayi anda terkeluar secara memancut dan mengejut melalui mulut. Malah kuantiti yang dimuntahkan selalunya banyak. Muntah jenis ini adalah petanda bahawa ada yang tidak kena dengan anak anda.

Adakah anak muntah tapi tak demam satu keadaan yang merbahaya?

Secara amnya, bagi seorang kanak-kanak, muntah bukanlah sesuatu yang boleh membahayakan kesihatan dan akan pulih dengan sendirinya melainkan jika anak anda muntah-muntah disebabkan oleh penyakit serius.

Oleh itu, jika anda anak tiba-tiba muntah, adalah sangat penting untuk anda membawa anak ke klinik untuk pemeriksaan dengan segera bagi memastikan tiada penyakit serius yang menyebabkan anak anda muntah.

Apakah punca anak muntah tapi tak demam?

Terdapat banyak perkara yang boleh menjadi punca kenapa anak anda muntah tapi badannya tidak demam. Di antara punca yang selalu dikenal-pasti semasa pemeriksaan di klinik ialah:

  • Jangkitan virus ‘stomach flu’. Ianya biasa berlaku kepada anak kecil yang duduk di taska dan tadika di mana ada ramai anak kecil yang berkumpul dan menyebabkan mereka mudah untuk dijangkiti virus ini. Jika anak anda muntah tapi tak demam disebabkan oleh jangkitan virus stomach flu, adalah dinasihatkan agar anda mencutikan anak daripada taska atau tadika bagi mengelakkan masalah jangkitan yang lebih teruk.
  • Keracunan makanan. Anak anda juga mungkin muntah akibat keracunan makanan. Biasanya, muntah akibat keracunan makanan akan disertai oleh sakit perut, cirit-birit, dan sakit kepala. Jika anak anda sudah pandai bercakap, tanya anak anda jika dia mengalami sakit yang lain ini.
  • Mabuk perjalanan. Seperti orang dewasa, anak kecil juga boleh mengalami mabuk perjalanan semasa berjalan jauh dengan menaiki kereta, kapal terbang, mahu pun bot atau feri. Jika anak anda muntah dan pening semasa perjalanan, anda boleh berikan anak anda ubat muntah sebelum perjalanan jauh pada masa hadapan. Sebaiknya, elakkan juga daripada memberikan minuman ringan atau air berkarbonat dan gula-gula kepada anak anda semasa perjalanan bagi mengelakkan anak anda daripada muntah. Jika boleh, dudukkan anak anda di kerusi depan sebelah pemandu supaya anak anda dapat melihat depan dan mengurangkan mabuk perjalanan.
  • Terlebih makan. Satu lagi punca anak muntah tapi tak demam yang ibu bapa selalu tak perasan ialah anak anda muntah bukan kerana sakit, tapi kerana terlebih makan atau menyusu. Apabila perut anak anda terlalu sendat dan penuh dengan makanan, anak anda akan termuntah agar perut kembali selesa.

Selain punca-punca yang kami senaraikan di atas, terdapat juga keadaan di mana anak anda muntah tapi tak demam disebabkan oleh masalah kesihatan yang lebih serius dan boleh menjejaskan nyawa jika tidak dirawat dengan segera. Di antara penyakit serius yang boleh menjadi punca anak anda muntah tapi tak demam ialah;

  • Jangkitan pada selaput otak atau otak yang juga dikenali sebagai meningitis atau ensefalitis.
  • Kecederaan otak akibat hentakan atau hantukan yang kuat.
  • Ketumbuhan dalam otak, sama ada kanser atau tumor.
  • Usus anak anda tersumbat atau tersekat.
  • Jangkitan pada saluran kencing anak anda.
  • Ketoacidosis diabetik iaitu diabetis di kalangan kanak-kanak.
  • Kegagalan hati. Muntah tanpa demam adalah salah satu daripada simptom kegagalan hati di kalangan kanak-kanak.
  • Kegagalan buah pinggang.
  • Penyakit metabolik.
  • Radang apendiks.
  • Radang pankreas.

Itulah dia info tentang anak muntah tapi tak demam yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat ibu bapa prihatin yang membaca. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga mungkin berminat untuk membaca perkongsian kami tentang cara hilangkan kahak bayi , cara sendawakan bayi, dan cara banyakkan susu badan.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.