Anak kerap demam?

Demam biasanya berpunca daripada jangkitan kuman tetapi faktor lain yang menyebabkan radang pada tisu badan juga boleh menyebabkan demam. Demam tidak semestinya berbahaya, ia merupakan tindak balas fisiologi yang penting.

Ia juga adalah salah satu perisai badan untuk melawan penyakit. Kenaikan suhu badan dapat membasmi  kuman. Bagaimanapun, tahap demam tidak dijadikan penanda aras keseriusan penyakit. Sebagai contoh, demam rendah pada bayi boleh disebabkan jangkitan yang serius. Manakala pada kanak-kanak yang lebih besar, jangkitan selesema biasa boleh menyebabkan demam yang tinggi.

anak kerap demam

Sumber: Raising children

Adakah demam yang berulang sesuatu yang normal? Demam yang berulang tanpa gejala pelik adalah normal. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan anak kerap demam  iaitu:

  • Usia – tahap immuniti kanak-kanak yang lebih kecil lebih rendah
  • Nutrisi – kanak-kanak kekurangan zat atau berat badan lebih mudah dijangkiti
  • Penyakit kronik – kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik contohnya penyakit jantung, buah pinggang, saraf, immunodeficiency, Thalassemia dan banyak lagi hingga mudah dijangkiti kuman.
  • Faktor persekitaran – keadaan sesak seperti di pusat jagaan, kebersihan tempat tinggal dan kemudahan infrastruktur seperti bekalan air bersih

Apa yang ibu perlu buat kalau anak kerap demam?

1. Pastikan anak minum air kosong secukupnya

Sewaktu demam, anak perlu minum air kosong secukupnya untuk mengelakkan dehidrasi. Kekurangan air boleh menyebabkan imuniti anak menjadi rendah lalu mudah demam.

2.  Berikan anak makanan sunnah

Makanan sunnah seperti madu, kurma, habbatussauda, dan kismis sememangnya membantu meningkatkan imuniti anak.

3. Berikan anak makanan tambahan atau supplement

Selain makanan sunnah, supplement atau makanan tambahan juga membantu menaikkan imuniti anak supaya tidak kerap demam. Anda boleh berikan minyak ikan yang kaya dengan omega 3 atau pun vitamin c.

4. Elakkan makanan segera dan makanan ringan

Semua makanan ini amat kurang nilai nutrisi dan mengandungi kandungan garam, gula, pengawet, bahan perasa, serta pewarna tiruan yang tinggi. Makanan segera dan makanan ringan merendahkan imuniti anak dan menyebabkan anak kerap demam.

5. Elakkan bersesak di tempat awam

Apabila anda membawa anak ke tempat sesak, anak akan terdedah kepada pelbagai bakteria dan virus  yang berlegar-legar di ruang udara. Kuman dan virus boleh menyelinap masuk ke dalam tubuh anak kecil dengan lebih mudah kerana sistem pertahanan mereka yang belum matang.

Semasa memilih pusat asuhan atau taska, pastikan nisbah antara penjaga dan kanak-kanak seimbang. Jika makan di luar, pilihlah tempat yang bersih dan makanan yang diselia rapi.

6. Jauhkan anak daripada asap rokok

Merokok bukan sahaja menjejaskan kesihatan perokok, tetapi ia juga merbahaya kepada orang di sekeliling mereka. Ini kerana asap rokok mampu membunuh dan merosakkan sel-sel yang penting dalam tubuh terutamanya anak kecil.

anak kerap demam

Sumber: Dailymail

7. Banyakkan aktitivi riadah di luar

Anak kecil zaman kini lebih banyak meluangkan masa di dalam rumah. Oleh itu, kebanyakannya cenderung menjadi kurang aktif kerana kurang melakukan aktiviti fizikal. Hidupkan amalan bersenam dan ajaklah anak-anak beriadah di luar dengan kerap. Aktiviti seperti ini bukan saja menyihatkan, tetapi ia turut menambah bilangan natural killer cell, sekaligus meningkatkan imuniti tubuh.

8. Pastikan anak tidur awal

Waktu tidur memainkan peranan penting dalam kesihatan seseorang, termasuklah anak kecil. Kajian menunjukkan bahawa kekurangan tidur boleh mengurangkan penghasilan natural killer cell, iaitu senjata pertahanan tubuh yang berfungsi menyerang mikrob dan sel kanser. Ini akan membuatkan kanak-kanak lebih mudah terkena jangkitan.

9. Berikan anak bawang putih

Salah satu cara yang boleh kita lakukan untuk meningkatkan imuniti anak adalah dengan menambahkan bawang putih dalam menu harian mereka. Bawang putih mengandungi bahan anti-virus dan anti-bakteria yang membantu menstimulasikan sel pertahanan dan menambah penghasilan antibodi. Ia juga memiliki sejenis kompaun sulfur yang bersifat anti-oksidan.

10. Pastikan anak makan sayur dan buah

Pastikan anak-anak mendapat sumber sayuran dan buah-buahan yang terdiri daripada pelbagai warna kerana setiapnya mengandungi nutrisi yang berbeza. Kalau anak susah makan sayuran dan buah, kita janganlah berputus asa untuk mencuba menu-menu baru dalam hidangan harian mereka.

Selain dimakan dalam bentuk segar, buah-buahan juga boleh diolah dalam bentuk lain seperti jus, aiskrim, smoothie, dan sebagainya untuk menarik minat mereka. Namun, jangan masukkan gula.

anak kerap demam

Sumber: Heart

11. Teruskan penyusuan

Bagi anak yang masih menyusu, penyusuan badan adalah antara cara yang terbaik untuk meningkatkan imuniti dalam tubuh mereka. Ini kerana susu badan mengandungi antibodi dan sel darah putih  iaitu 2 bahan utama yang meningkatkan sistem pertahanan badan dan melawan sebarang jangkitan.

12. Perhatikan gejala lain semasa demam

Demam yang berulang-ulang tetapi tidak disertai dengan gejala yang bahaya  mungkin disebabkan oleh jangkitan virus biasa. Namun jika terdapat gejala lain seperti:

  • susut berat badan
  • Lesu luar biasa
  • Pucat
  • Jangkitan berulang yang serius contohnya jangkitan paru-paru yang kerap serta bisul yang teruk dan kerap

Siasatan lanjutan untuk mengesan penyakit seperti leukaemia atau immunodeficiency akan dilakukan.

13. Mengutamakan kebersihan

Ajarkan anak menutup mulut ketika bersin, batuk, dan buang hingus yang dihembuskan pada tisu atau sapu tangan khas. Tabiat ini melindungi anak daripada menyebarkan kuman ke serata tempat.

Bagi anak kecil pula, perhatikan mereka dengan lebih kerap sekiranya mereka sedang tumbuh gigi dan suka mengeluarkan air liur. Pastikan wajah mereka selalu dilap. Kebersihan gusi dan gigi juga penting.

anak kerap demam

Sumber: Livingwell

Itulah dia info tentang anak kerap demam yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga pasti akan sukakan perkongsian kami tentang tips demam panas dan Influenza A H1N1.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.