Anak kecil saya sedang cuba untuk berdiri. Dia sedang sedaya upaya untuk mendirikan dirinya. Anak kecil saya terus bergelut untuk memautkan dirinya pada kerusi yang ada. Dia mencuba beberapa kali. Kesemuannya hampir-hampir sahaja.


Kanak-kanak berdiri

Jenis pujian mencorak peribadi anak-anak [ Andrew West ]


 

Dia merungut dan mencuba beberapa kali. Akhirnya dia berjaya. Apabila dia berjaya berdiri, saya melontarkan pujian mudah kepadanya.

“Tahniah adik! Adik berjaya melakukannya! Ibu tahu ianya adalah susah, tetapi adik tetap cuba. Ibu bangga dengana adik.”

Ya, di sinilah saya memainkan peranan saya. Saya memujinya kerana itu adalah penting. Tetapi awas! Saya tidak mengatakan, ” Adik pandai”. Ketahuilah bahawa penyataan ini sangat bahaya untuk anak-anak. Mengapa? Terus membaca.

Seorang penyelidik daripada Universiti Stanford, iaitu bernama Carol Dweck telah membuktikan sesuatu. Banyak kajian tentang motivasi dan ketekunan telah dilakukan oleh beliau sejak tahun 1960-an lagi. Secara umumnya, kajian beliau mendapati bahawa kanak-kanak boleh dibahagikan kepada dua kategori utama:

  1. Kanak-kanak yang mempunyai minda tetap, iaitu mereka yang percaya bahawa kejayaan mereka adalah hasil daripada bakat semula jadi atau kepandaian sedia ada

  2. Mereka yang mempunyai minda pertumbuhan, iaitu mereka yang percaya kejayaan mereka adalah hasil daripada kerja keras.

Minda Tetap: ‘Jika anda terpaksa bekerja keras, ini bermaksud anda tidak mempunyai keupayaan.’

Kanak-kanak yang hadir dengan pemikiran tetap percaya bahawa setiap orang dilahirkan dengan sesuatu keupayaan. Lantas ini menyebabkan menerima sahaja penyataan bahawa “Jika anda perlu bekerja keras, ini bermaksud anda tidak berupaya. Jika anda mempunyai kebolehan, perkara ini sebenarnya mudah sahaja.”

Kesannya apabila mereka gagal, kanak-kanak ini akan berasa terperangkap. Mereka mula berfikir bahawa mereka tidak boleh menjadi seperti orang lain yang mampu melakukan sesuatu perkara dengan baik. Mereka akan cuba mengelak cabaran. Mereka takut mereka tidak kelihatan pintar.

Minda Pertumbuhan: ‘Semakin banyak anda mencabar diri, semakin bijak diri anda.’

Kanak-kanak dengan minda pertumbuhan percaya bahawa kecerdasan dan kebolehan boleh dipupuk. Mereka percaya semakin banyak masa diambil untuk belajaran, maka semakin bijak diri mereka.

Kanak-kanak ini memahami konsep bahawa walaupun mereka adalah genius, mereka tetap perlu bekerja keras. Apabila mereka mengalami kegagalan, mereka percaya bahawa mereka boleh meningkatkannya semula dengan menyalurkan lebih banyak masa dan usaha.

Mereka lebih menghargai proses pembelajaran berbanding percaya pada kepintaran sedia ada. Mereka menjadi tabah apabila melalui tugas sukar.

Perkara apa yang mewujudkan kepercayaan ini dalam anak-anak kita? Ianya adalah bergantung kepada jenis pujian daripada kita kepada mereka – walaupun umur setahun.

Dalam satu kajian yang telah dilakukan, Dweck telah mengumpulkan sekumpulan pelajar sekolah rendah. Mereka ini telah dibahagikan secara rawak kepada dua kumpulan. Mereka telah diberi beberapa persoalan yang berkaitan IQ.

Dweck kemudiannya memuji kumpulan pertama berdasarkan kepintaran mereka:

“Wow, itu skor yang benar-benar baik. Anda memang bijak tentang hal ini.”

Beliau memuji kumpulan kedua atas usaha mereka:

“Wow, itu skor yang benar-benar baik. Anda mesti telah berusaha dengan bersungguh-sungguh.”

Dweck terus menguji kanak-kanak tersebut, termasuklah membentangkan mereka dengan pilihan di antara tugas yang sukar atau mudah.

Kanak-kanak yang dipuji kerana usaha cenderung untuk mengambil tugas yang mencabar, kerana tahu mereka boleh belajar melaluinya. Mereka lebih cenderung untuk terus bermotivasi untuk belajar dan mengekalkan keyakinan sedia ada walaupun setiap masalahan semakin mencabar.

Kanak-kanak yang dipuji kerana kepintaran pula cenderung untuk meminta tugas yang lebih mudah. Hal ini kerana mereka mengetahui terdapatnya peluang kejayaan yang lebih tinggi berdasarkan pilihan itu. Mereka juga mula kehilangan keyakinan diri apabila permasalahan semakin sukar.

Kajian tentang ini bukan berhenti setakat itu sahaja. Dweck dan rakannya telah membawa lebih jauh dengan melihat persekitaran di rumah. Setiap empat bulan selama dua tahun, para penyelidik Universiti Chicago dan Stanford ini akan melawat 53 keluarga untuk penelitian tentang rutin yang dibuat. Dalam kajian ini kanak-kanak yang berumur 14 bulan telah terlibat.

Penyelidik telah melihat dari sudut aspek jenis pujian yang telah diberikan oleh ibu bapa terhadap anak mereka. Perkara ini terus berlangsung selama 5 tahun. Apabila kanak-kanak dalam kajian ini berusia 7 hingga 8 tahun, sikap mereka terhadap cabaran dan pembelajaran dilihat.

Tahu apa yang ditemui? Ya, keputusannya sama seperti kajian kumpulan terdahulu. Kanak-kanak yang mempunyai minda pertumbuhan cenderung untuk lebih berminat dengan cabaran. Kanak-kanak mana yang mempunyai minda pertumbuhan? Kanak-kanak yang sering dipuji berdasarkan usaha.

Kini anda sudahpun tahu tentang hal ini. Pujian yang dilontarkan mampu membentuk peribadi seorang kanak-kanak.

 

Bolehkah Kita Membaiki Kanak-kanak Berfikiran Tetap? Adakah Sudah Terlambat?

Kanak-kanak genius

Belum terlambat membentuk peribadi anak [oddmenout]
]


 

Jangan risau pembaca sekalian. Saya juga begitu dahulu. Berasa takut dan tertanya adalah saya punca kegagalan anak saya? Menurut Dweck, belum terlambat untuk mengubah minda dan peribadi seorang kanak-kanak. Mulalah daripada sekarang untuk memberi pujian yang betul. Tanamkan diri mereka bahawa mereka sebenarnya mempunyai otak yang hebat. Otak ini perlu digerakkan dan cara untuk menggerakkannya adalah dengan proses pembelajaran.

Kongsi artikel ini jika anda merasakan ianya penting. Ayuh membina generasi yang mempunyai minda pertumbuhan.

Penulis: Tasneem Haneem

Tasneem Haneem

Tasneem Haneem merupakan penulis di Bidadari.My. Minat dengan tulisan kekeluargaan.

    Tinggalkan Komen!


    Langgan Info Kami

    Berkaitan


    .