Alahan ibu mengandung atau dalam bahasa inggerisnya morning sickness adalah di antara perkara yang paling digeruni oleh wanita yang mengandung, selain sakit bersalin itu sendiri. Nama sahaja morning sickness namun tak bermakna ia hanya berlaku pada waktu pagi. Alahan ibu mengandung boleh berlaku 24 jam sehari dan bagi yang mengalami alahan yang teruk, ia boleh menjadi mimpi ngeri yang sangat menyiksakan.

Apakah punca alahan ibu mengandung berlaku?

Pastinya anda tertanya-tanya, apakah punca sebenar alahan mengandung? Kenapa ada wanita yang mengalaminya dan ada yang langsung tidak mengalami alahan sepanjang mengandung. Yang lagi menghairankan, kenapa ada sesetengah wanita mengalami alahan yang teruk manakala ada yang cuma mengalami alahan yang sedikit. Untuk pengetahuan anda, alahan semasa mengandung berlaku disebabkan oleh:

  • Semasa mengandung, deria bau seorang wanita menjadi sangat sensitif kepada bau lalu menyebabkan dia menjadi sensitif kepada bau yang kuat.
  • Alahan semasa mengandung juga merupakan salah satu daripada cara tubuh badan anda bertindak balas terhadap hormon kehamilan (Hcg) yang naik tinggi secara mendadak semasa trimester pertama. 
  • Selain itu, alaha ibu mengandung juga berlaku disebabkan oleh rasa tidak selesa pada bahagian perut di awal fasa mengandung.

Adakah ibu yang mengalami alahan semasa mengandung bermaksud kandungannya berada dalam keadaan yang bahaya?

Mungkin ada yang risau kandungan akan terjejas disebabkan oleh alahan yang dialami sepanjang kehamilan. Persoalan yang selalu diutarakan ialah adakah alahan semasa mengandung boleh menjejaskan kandungan? Untuk pengetahuan anda, dari segi perubatan, para doktor berpendapat bahawa:

  • Ibu mengandung yang mengalami alahan semasa mengandung mempunyai risiko keguguran yang lebih rendah berbanding ibu yang langsung tidak mengalami alahan.
  • Seperti yang kami nyatakan di atas, salah satu punca alahan semasa mengandung ialah disebabkan oleh paras hormon kehamilan hCG yang naik mendadak semasa trimester pertama kehamilan. Para doktor berpendapat bahawa alahan yang berlaku disebabkan kenaikan paras hormon tersebut menunjukkan bahawa badan kita kuat.
  • Para doktor juga berpendapat bahawa alahan yang berlaku adalah salah satu daripada cara tubuh badan kita menjaga ibu & bayi dari bahan yang boleh menjejaskan kandungan.

Bagaimanakah cara untuk mengatasi alahan ibu mengandung?

Pastinya anda ingin tahu bagaimanakah cara untuk mengatasi alahan ibu mengandung yang dijamin berkesan agar dapat membantu mengatasi sengsara yang anda alami. Anda boleh mengambil ubat tahan muntah dari klinik, namun selain itu anda boleh mencuba tips yang berikut:

Pastikan perut anda tidak kosong.

Salah satu daripada punca anda mengalami loya dan muntah-muntah adalah disebabkan oleh perut yang kosong. Apabila anda mengalami alahan, anda akan muntah dengan kerap dan tidak mempunyai selera untuk makan. Dua keadaan ini akan menyebabkan perut anda kosong dan akan menyebabkan alahan anda menjadi semakin teruk.

Oleh itu, pastikan perut anda tidak kosong. Anda boleh mengatasi masalah ini dengan cara mengunyah makanan seperti kismis, kekacang, biskut kering, dan sebagainya sedikit demi sedikit agar perut anda tidak kosong lalu masuk angin. Namun pastikan anda elakkan daripada mengunyah jajan atau makanan ringan yang kurang berkhasiat.

alahan ibu mengandung
Sumber: Drpawluk

Elakkan menghidu bau yang kuat dan memeningkan

Alahan ibu mengandung juga berlaku disebabkan oleh deria bau yang semakin sensitif disebabkan oleh perubahan hormon yang berlaku dalam tubuh badan anda. Oleh itu, sebagai langkah untuk mengatasi alahan yang berlaku, sebaiknya anda elakkan daripada menghidu bau yang kuat dan boleh menyebabkan anda berasa pening.

Kebanyakan wanita tidak tahan dengan bau bawang dan bau masakan, oleh itu buat sementara waktu elakkan daripada memasak atau berada di dalam dapur semasa ada ahli keluarga sedang memasak. Elakkan juga bau pewangi badan, pewangi kereta, dan sebagainya jika ia akan menyebabkan alahan anda semakin teruk.

Elakkan makanan pedas dan berempah

Makanan yang pedas dan berempah akan menyebabkan asid yang berada dalam perut anda menjadi aktif disebabkan oleh keadaan perut yang selalu kosong. Asid yang aktif dalam keadaan perut kosong akan menyebabkan anda mengalami asid refluks atau pedih ulu hati. Jika anda terkena dua penyakit ini, ia akan menambahkan kesengsaraan yang anda alami. Oleh itu, jalan terbaik ialah dengan cara mencegah daripada ianya berlaku dengan cara mengelakkan makanan pedas dan berempah.

Elakkan makanan berasid dan masam

Makanan yang berasid dan masam seperti jeruk sememangnya menjadi pilihan ibu mengandung yang mengalami alahan untuk mengurangkan loya dan mabuk yang dialami. Namun tahukah anda bahawa mengambil makanan berasid dalam keadaan perut kosong akan menyebabkan perut menjadi pedih dan anda mengalami gastrik. Oleh itu elakkan makan makanan masam dan berasid dalam keadaan perut kosong.

alahan ibu mengandung
Sumber: Unimap

Makan pisang

Pisang kaya dengan pelbagai khasiat yang baik untuk ibu mengandung dan apa yang paling penting pisang adalah sumber tenaga yang baik. Semasa alahan biasanya anda menjadi kurang bertenaga dan lemah akibat tidak selera untuk makan dan selalu muntah. Pisang akan membantu anda bertenaga semula dan tidak lemah. Selain itu pisang juga membantu anda untuk kenyang dengan lebih cepat dan untuk tempoh masa yang lama.

Itulah dia info tentang alahan ibu mengandung yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat untuk anda. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga pasti sukakan perkongsian kami tentang senarai barang bayi doa mudah bersalin dan set bersalin terbaik

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.