Jika anda perhati pada bahagian buku agama di kedai-kedai buku, anda akan nampak ada buku-buku kecil yang berjudul zikir al-Ma’thurat. Apakah itu al-Ma’thurat?Dan apakah kelbihan al-mathurat?

Al-Ma’thurat berasal daripada perkataan Arab iaitu ma’thur, yang bermaksud diambil daripada Al-Qur’an dan hadis. Kalau zikir ma’thur maknanya, zikir daripada al-Qur’an & hadis. Manakala, zikir al-Ma’thurat pula adalah himpunan zikir dan wirid yang ma’thur dari Nabi Muhammad saw.

Almathurat

Imej via bukalapak

Ia dikumpul dan disusun oleh al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna berdasarkan dalil-dalil yang sahih dan berdasarkan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah saw.

 

Siapakah al-Imam as-Syahid Hasan al-Banna?

Hasan al-Banna adalah seorang reformis sosial dan ahli politik Mesir yang mengasaskan Ikhwanul Muslimin.  Beliau sudah menghafal al-Quran pada usianyan 12 tahun. Beliau menyertai kumpulan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-Akhlaqi di sekolah. Beliau rajin menghadiri majlis-majlis zikir pimpinan al-Ikhwan al-Hasafiyyah.

Gerakan Ikhwanul Muslimin berjaya ditubuhkan oleh beliau ketika usianya 23 tahun, di bandar Islamailiyyah pada Mac 1928. Hasil kegigihan beliau, gerakan dakwah Islamiyah mendapat sambutan di Mesir dan di setiap pelusuk negara-negara Islam.

Pada tahun 12 Februari 1949 beliau meninggal dunia setelah ditembak mati oleh seorang pembunuh upahan arahan sulit kerajaan Mesir ketika itu.

Hasan al banna

Imej via kisahikmah

Hasan al-Banna selaku pendakwah dan pengasas gerakan Jemaah Islam telah mengambil inisiatif untuk mengumpulkan wirid dan zikir yang diamalkan oleh Nabi Muhammad saw sebagai salah satu usaha untuk istiqamah berzikir setiap hari. Bacaan al-Ma’thurat dibaca 2 kali sehari, iaitu pada sebelah pagi (kebiasannnya dibaca selepas Solat Subuh) dan sebelah petang (kebiasaannya dibaca selepas Solat Asar). Al-Ma’thurat juga terdapat 2 jenis iaitu al-Ma’thurat al-Kubra (bacaannya panjang. Sesuai dibaca jika ada masa yang lapang) dan al-Ma’thurat Sughra (bacaannya pendek, sesuai dibaca jika kesuntukan masa).

Zikir kepada Allah swt adalah amalan ibadah yang banyak kelebihannya. Seperti mana firman Allah swt dalam Surah ar-Ra’d ayat 28,

الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا وَتَطْمِئِنُّ قُلُوْبُهُمْ بِذِكْرِ اللهِ، أَلاَ بِذِكْرِ اللهِ تَطْمِئِنُّ الْقُلُوْبُ

Maksudnya, “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah (zikir). Ingatlah, dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.”

Begitu juga dalam hadis Qudsi yang berbunyi,

إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُوْلُ: أَنَا مَعَ عَبْدِيْ مَا ذَكَرَنِيْ وَتَحَرَّكَتْ بِيْ شَفَتَاهُ

Maksudnya, “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla berfirman: “Aku bersama hamba-Ku selagi dia mengingat-Ku dan kedua bibirnya bergerak-gerak menyebut-Ku.” (HR. Ahmad dan Ibnu Majah)

 

Kelebihan Amalan Berzikir

Amalan ibadah zikir banyak kelebihannya. Ia bukan sekadar membuatkan sentiasa ingat kepada Allah swt Maha Pencipta, tetapi juga dapat memberi ketenangan serta kebaikan lain, antaranya:

1) Menghalau Syaitan

Sebagai anak Adam, kita tidak terlepas daripada hasutan Syaitan. Tatkala seorang manusia berzikir, zikir yang dibacanya dapat menjadi pendinding diri daripada gangguan Syaitan.

2) Allah Ingat Kepadanya

Zikir bukan sahaja membuatkan kita ingat kepada Allah, tetapi juga sebaliknya. Sebagai hamba yang lemah, pastinya kita sangat berharap agar Allah swt juga ingat kepada kita.

Allah berfirman yang bermaksud, “Maka ingatlah kepadaKu, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu ingkar kepadaKu.” (Al-Baqarah: 152)

Begitu juga dalam sebuah hadis Qudsi, “Aku Bersama HambaKu Yang MengingatiKu.” (Sahih al-Bukhari)

3) Memupuk Rasa Syukur & Cinta Kepada Allah swt

syukur

Imej via aswajamuda

Zikir menjadi asas rasa syukur kita kepada Allah swt. Semakin banyak kita berzikir bermaksud semakin banyak kesyukuran kita kepada Allah. Semakin banyak kita berzikir, semakin dekat Allah mengisi hati kita. Zikir menjadi kunci kita kepada pintu cintaNya.

4) Membersihkan Hati

Seperti kata Ibn Taymiyyah, “Perlunya zikir kepada hati sama seperti air diperlukan oleh seekor ikan.” Maka, zikir ini juga sering dikatakan sebagai makanan kepada hati dan jiwa.

5) Mendapat Kebaikan Di Dunia Dan Akirat

Zikir kepada Allah ada fadilatnya yang tersendiri. Sebagai contoh, Saidatina Fatimah ra mengadu kepada Rasulullah kerana keletihan melakukan tugasan hariannya. Rasulullah menasihatkan Fatimah ra agar berzikir ‘Subhanallah’, ‘Alhamdulillah’, dan ‘Allahu Akhbar’. Bagi kita yang mengamalkan amalan zikir kepada Allah swt, pastinya Allah akan mengganjari pahala kerana kita sentiasa mengingatinya.

 

Kelebihan Bacaan Al-Ma’thurat

Antara kelebihan membaca Al-Ma’thurat ialah;

1) Dimulai dengan ucapan Taa’wuz iaitu ‘Aku bermohon perlindungan Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dari gangguan syaitan yang direjam’. Selaku hamba yang lemah, kita sentiasa mengharap agar Allah sentiasa melindungi kita daripada gangguan Syaitan.

2) Bacaan Al-Fatihah di dalam Al-Ma’thurat merupakan bacaan yang agung. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud, “Demi Allah yang nyawaku di tangan Nya, belum ada surah yang diturunkan di dalam Taurat, Injil, Zabur atau Furqan yang menandinginya. Dialah Al-Sab’ul Mathani dan Quran yang agung yang diturunkan kepadaku.” (HR at-Tirmizi dan an-Nasai)

3) Membaca surah al-Baqarah dalam zikir Ma’thurat juga memperolehi pahala yang besar. Sabda Rasulullah saw bermaksud, “Janganlah menjadikan rumah kamu seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari daripada rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah”. (HR Muslim)

zikir

Imej via islamveihsan

4) Membaca ayat Kursi juga akan menghindarkan diri dari gangguan syaitan. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Apabila kamu masuk ke tempat tidurmu, maka bacalah ayat Kursi ‘Allahu La Ilaha Illa Huwal Hayyul Qayyum’, sehingga habis ayat ini. Maka sesungguhnya, akan sentiasa ada penjaga dari Allah untuk kamu, dan syaitan tidak akan dapat mendekati kamu sehingga pagi” (HR Bukhari)

5) Di samping itu, doa-doa yang dimuatkan dalam al-Ma’thurat itu merupakan doa dari Nabi saw yang sewajarnya kita turut amalkan dalam kehidupan kita pada hari ini. Antaranya,

  • Doa dijauhkan daripada sifat malas, kedekut dan dibelenggu hutang

Maka Baginda saw bersabda, Ucapkanlah pada tiba waktu pada pagi dan petang bacaan ini:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya, “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.” (HR Abu Daud)

  • Doa agar dijauhkan daripada kemudharatan

Dari Aban Bin Osman, bahawa Nabi saw bersabda: “Sesiapa membaca,

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya, “Dengan nama Allah, dengan nama-nya tidak akan berbahaya sesuatu yang ada di bumi dan di langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”, sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa musibah hingga malam hari, dan sesiapa membacanya di waktu malam maka tidak akan ditimpa musibah hingga pagi hari, dengan izin Allah.” (HR Ahmad)

6) Al-Ma’thurat juga mengandungi bacaan selawat ke atas Rasulullah saw. Amalan selawat juga banyak kelebihannya. Dari Ibn Mas’ud ra, bahawa Nabi saw bersabda, maksudnya, “Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari qiyamat ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku.” (HR at-Tirmizi)

 

Kesimpulan

Baca Al-Ma'thurat

Imej via iluvislam

Walaupun ada yang berpendapat terdapat beberapa wirid dalam bacaan al-Ma’thurat yang bersifat lemah serta terputus pada sanadnya, namun terdapat sebahagian ulama’ yang membenarkan untuk beramal dengannya.

Di samping itu juga, para sahabat ra tidak akan mengatakan sesuatu melainkan mereka mendengarnya daripada Nabi saw sendiri. Untuk itu, Nabi saw bersabda,

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ

Maksudnya, “Maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khulafa’ al-Rasyidin yang diberi petunjuk (hidayah)”. (Riwayat al-Hakim)

Akhirnya, semoga Allah swt memberi kita taufiq dan hidayah dalam beramal serta menerima segala amalan yang kita lakukan. Amin.

 

Artikel Menarik Lain

Bagaimana dengan artikel berkenaan Al-Ma’thurat yang dikongsikan? Anda dapat manfaat?

Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel lain untuk anda baca iaitu:

 

Rujukan:

  1. Ustaz Shauqi
  2. Taiping Mali
  3. Wikipedia

 

 

Penulis: Aniuna

Avatar

Seorang yang ingin memanfaatkan teknologi digital untuk berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.