Pelbagai cara yang menarik boleh dilakukan untuk mengajar anak-anak kecil akan asas matematik dan sains. Hanya dengan menggunakan bahan-bahan yang ada disekeliling kita, proses pembelajaran buat anak kecil pasti menyeronokkan.

Mari kita lihat 12 cara kreatif untuk belajar bersama anak-anak.

1. MENGENAL NILAI ANGKA

Cara terbaik untuk mengajar asas matematik kepada anak-anak ialah dengan memperkenalkan nilai sesuatu angka itu terlebih dahulu berbanding memperkenalkan simbol-simbol angka seperti 1, 2, 3 dan seterusnya.

Perkara ini akan memudahkan proses mengira bagi anak-anak pada masa akan datang terutamatanya apabila melibatkan operasi tambah dan tolak.

2. MENGENAL SIMBOL ANGKA

Seterusnya, proses mengenal simbol akan menjadi lebih mudah buat si anak kecil. Variasikan proses pembelajaran dengan menggunakan pelbagai kaedah yang kreatif seperti menggunakan pelekat seperti ini. Sudah pasti anak akan leka bermain sambil belajar :)

3. MENGENAL BENTUK

Dengan hanya menggunakan kotak terpakai, tebukkan bentuk-bentuk yang diinginkan. Kita boleh menjadikan proses pembelajaran ini seperti permainan “suai dan padai” yang membolehkan anak-anak menyesuaikan bentuk yang betul pada lubang yang disediakan. Kaedah ini juga mampu menguji daya kognitif mereka dan merangsang sensori visual anak.

4. MEMBINA POLA

Menurut Dr. Mahani Razali dalam buku beliau “Rancangan Pengajaran Harian” untuk prasekolah, salah satu kemahiran yang boleh didedahkan kepada kanak-kanak ialah dengan mengajar mereka untuk membina pola tertentu. Pelbagai jenis pola boleh dibina seperti:

  • pola warna
  • pola huruf
  • pola abjad
  • pola corak

Aktiviti ini dapat meningkatkan kreativiti kanak-kanak untuk menghasilkan pola-pola tertentu berdasarkan tema yang diberikan.

5. OPERASI TAMBAH DAN TOLAK

Dengan hanya menggunakan bahan-bahan disekeliling kita, proses untuk mengajar konsep asas dalam operasi tambah dan tolak itu boleh dilakukan dengan mudah.

Sambil bawa anak-anak bersiar-siar, kutip batu, ranting, daun dan sebagainya dan ajak anak mengira bersama-sama. Kaedah ini pasti mudah buat anak-anak untuk memahami konsep asas matematik ini.

 

6. MENGENAL SAIZ & UKURAN

Ibu bapa juga boleh menggunakan cara yang sama seperti di atas dengan memperkenalkan konsep-konsep yang dalam matematik seperti :

  • pendek dan panjang
  • kecil dan besar
  • rendah dan tinggi

 

7. KONSEP NILAI WANG

Beri peluang kepada anak-anak untuk terlibat dalam urus niaga yang sering kita lakukan seharian seperti di kedai, pasar atau restoran. Kenalkan mereka dengan asas nilai wang dan wang baki.

Secara tidak langsung, kita juga boleh terapkan adab jual beli dalam Islam seperti akad jual beli dan ucapan terima kasih sesudah selesai urusniaga.

8. KONSEP SUHU

Seperti yang kita tahu, sensori-sensori anak perlu dirangsang sejak bayi lagi untuk mengaktifkan otak mereka. Antara asas sains yang boleh diperkenalkan kepada anak kecil adalah konsep suhu sejuk dan panas.

Letakkan beberapa ketulan ais dan air yang sedikit panas ke dalam satu bekas. Biarkan anak menyentuh kedua-dua bahan tersebut sambil ibu bapa menyebut mana yang sejuk dan mana yang panas.

Kaedah ini secara tidak langsung dapat merangsang sensori tactile  atau daya sentuh mereka.

9. KONSEP TENGGELAM DAN TIMBUL

Konsep yang mudah untuk diperkenalkan kepada anak-anak. Letakkan beberapa objek yang berlainan ketumpatan di dalam satu bekas yang berisi air seperti sudu, lego dan sebagainya.

Ajak anak untuk melihat setiap perbezaan yang berlaku apabila objek-objek tersebut diletakkan di dalam air. Sambil belajar, anak pasti teruja bermain air. Tiada kanak-kanak yang tidak suka bermain air kan? ;)

10. DAYA GRAVITI

“Mama, kenapa air hujan turun bawah?”. Haaaaa…ini adalah antara soalan-soalan yang sering ditanya oleh anak-anak. Betulkan? Reka satu projek water wall yang dapat membantu kita menerangkan konsep ini dengan cara mudah, ringkas dan pastinya menyeronokkan.

Lihat sahaja anak ini, sangat teruja bermainkan? Bermain yang penuh dengan input-input yang boleh dipelajari oleh mereka.

11. KITARAN HIDUPAN

Pengalaman sebenar lebih mengujakan untuk anak-anak belajar tentang alam sekeliling berbanding hanya belajar dari informasi yang terdapat di dalam buku. Pelbagai kitaran hidupan boleh dilihat dan dipelajari seperti kitaran hidup rama-rama.

Anak-anak pasti seronok melihat ulat ini akan bertukar fasa demi fasa sebelum menjadi rama-rama yang cantik.

 

12. CAMPURAN BAHAN KIMIA

Kita juga boleh jalankan pelbagai eksperimen yang mudah bersama anak-anak. Sediakan botol-botol dengan belon yang berwarna-warni. Seterusnya, campurkan dua bahan kimia iaitu cuka dan natrium bikarbonat.

Anak-anak akan dapat melihat hasil tindak balas antara dua bahan ini apabila belon-belon tersebut mula mengembang. Saya pasti eksperimen yang ringkas seperti ini pasti mengujakan anak!

 

Seronokkan? Bukan anak sahaja seronok, ibu bapa juga pasti teruja untuk bereksperimen bersama-sama anak. Tidak perlu buku, guna sahaja bahan-bahan yang sudah sedia ada disekeliling kita.

Cipta permainan yang kreatif dan jadikan proses pembelajaran itu satu yang menyeronokkan buat anak. Sudah pasti mereka akan bersemangat untuk belajar setiap hari. Selamat mencuba!

Penulis: Faz

Merupakan graduan Psikologi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan sekarang memilih untuk menjadi surirumahtangga sepenuh masa demi keluarga. Seorang ibu yang sangat mempunyai minat yang mendalam dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak dan kekeluargaan. Diharapkan dapat berkongsi ilmu seluas-luasnya dengan masyarakat melalui setiap penulisan yang ditulis. Klik sini untuk Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.