Nak Lakukan Aktiviti Bersama Anak Setiap Hari? Ini 7 Tips Praktikal Buat Para Ibu

Dalam kesibukan kita menguruskan pelbagai perkara dalam kehidupan seharian, pastikan kita turut meluangkan masa yang berkualiti melakukan aktiviti bersama anak-anak.

Kita boleh melakukan pelbagai perkara bersama mereka sama ada bermain, membaca buku, melakukan aktiviti kraf mudah atau mungkin berbual bersama mereka. Dengan cara ini, kita dapat lebih mengenali anak dan mereka akan lebih dekat dengan kita.

Walau bagaimanapun, kadang-kala disebabkan kepenatan atau tiada ‘mood’, kita mungkin sering terlepas pandang untuk memperuntukkan masa berkualiti untuk beraktiviti bersama anak.

Bagaimana cara untuk kita beraktiviti bersama dengan anak setiap hari atau sekurang-kurangnya hampir setiap hari? Apakah tips yang dapat menjadi pencetus kepada perkara ini?

Ikuti perkongsian Puan Nurkhomsiah Bakrim melalui laman Facebook peribadinya tentang 7 tips melakukan aktiviti dengan anak setiap hari.

Foto Kredit : hautehijab.com

TIPS 1 : ‘MINDSET’ DAN NIAT

  • Seorang ibu perlu mempunyai ‘mindset’ dan niat yang tepat kenapa mahu buat aktiviti dengan anak.
  • Sentiasa setkan minda dengan ‘mindset’ bahawa ibu sebagai pendidik pertama anak-anak dan rumah adalah sekolah pertama bagi mereka.
  • Setiap amal itu bermula dengan niat. Lakukan sesuatu perkara itu kerana Allah. Tetapkan dan sentiasa ‘renew’ niat kita ini agar anak dilihat sebagai amanah, bukan beban sebagaimana yang disebut di dalam Al-Quran :

“Allah mewasiatkan ke atas kamu tentang anak-anak kamu.” 

(Surah An-Nisa’: 11)

  • Sepanjang 6 tahun pertama anak, didikan anak adalah berasaskan didikan agama dan akhlak yang bertujuan untuk ‘mind programming’ dan pembentukan jiwa mereka.
  • Didik anak dengan cara beraktiviti yang kreatif dan menyeronokkan untuk mengajar mereka menjadi BAIK sebelum menjadi CERDIK.
  • Tulis dan tampal niat ini di tempat yang mudah dilihat jika perlu.

TIPS 2 : BERDOA KEPADA ALLAH

  • Sentiasa berdoa kepada Allah kerana segala perkara hanya akan terjadi dengan izin Allah. Yakinlah dengan dahsyatnya doa seorang ibu.
  • Proses didikan ini bukan tugas sehari dua sahaja, tetapi memerlukan kita untuk istiqamah, memberikan komitmen yang tinggi dalam jangka masa panjang disertai dengan keikhlasan.
  • Berdoa agar kita memperoleh rezeki daripada Allah untuk menjadi ibu yang ‘passionate’ dalam pendidikan “tarbiyyatul aulad” serta dikurniakan anak yang mempunyai ‘intrinsic motivation’ untuk menuntut ilmu dan senang dididik.
  • Berdoa dan berusahalah tanpa putus asa kerana Allah menilai usaha kita, bukan pada hasil semata-mata.
  • Tiada ibu yang sempurna di dunia ini. Hanya Allah, Tuhan yang Maha Sempurna. Oleh itu, mohon pertolongan daripada Allah Yang Maha Memberi Jalan lagi Maha Memudahkan agar tanggungjawab kita dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Foto Kredit : islamidia.com

TIPS 3 : SUSUN JADUAL PERIBADI

  • Wujudkan jadual peribadi harian. Bagi ibu bekerjaya, dicadangkan untuk menyediakan 2 jadual berbeza untuk ‘weekdays’ dan ‘weekend’.
  • Walaupun jadual ini mungkin tidak dapat dipatuhi 100 peratus, tetapi kewujudan jadual ini dapat membantu para ibu untuk terus termotivasi menyelitkan waktu eksklusif untuk didikan anak-anak.
  • Pilihan waktu untuk meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak adalah berdasarkan kesesuaian rutin individu.
  • Waktu antara Maghrib dan Isyak adalah waktu yang paling tenang untuk mencipta ‘bonding time’ berkualiti bersama anak.
  • ‘Be realistic’. Usah terlalu ‘rigid’ dalam menyusun atau mematuhi jadual kerana yang pastinya, aktiviti tidak dapat dilakukan apabila si ibu atau anak tidak sihat atau terdapat sebarang kekangan lain yang menghalang.

TIPS 4 : SUSUN PRIORITI

  • Susunan prioriti seorang wanita yang sudah berkahwin ialah menjadi hamba Allah, isteri dan ibu yang terbaik. Seiring dengan maksud hadith ini :

“… Setiap wanita adalah penjaga di rumah suaminya dan bertanggungjawab kepada orang di bawah jagaannya.”

(Direkodkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim)

  • As a saying goes, “Nobody is too busy. It’s just a matter of priority”.
  • Jika sibuk dijadikan alasan untuk tidak meluangkan masa bersama anak-anak setiap hari, duduk sebentar dan muhasabah diri – apakah sebenarnya yang kita sibukkan?
  • Awas kerana ‘scroll’ media sosial seperti FB, IG dan berbalas ‘Whatsapp’ juga sebenarnya menyibukkan kita.
  • “Put the first things first”. Utamakan perkara yang lebih penting. Tangguhkan dahulu perkara yang boleh ditangguhkan.
  • Sekurang-kurangnya, pilih aktiviti ‘simple’ seperti ‘story telling’ yang boleh dibuat dalam tempoh 5 hingga 10 minit sahaja.

TIPS 5 : SEDIAKAN FAIL KHAS ‘HOMESCHOOLING’

  • Fail khas projek ‘homeschooling’ diwujudkan untuk 3 tujuan utama :
    – Merekod ‘progress’ anak-anak terutamanya dari segi pengajian membaca Al-Quran, hafazan surah-surah pilihan dan amali solat.
    – Menyimpan hasil kerja anak-anak selepas di‘laminate’ sebagai tanda penghargaan.
    – Menjadi pembakar semangat untuk anak melakukan lebih banyak aktiviti lagi.
  • Secara tidak langsung, fail ini akan menjadi ‘benchmark’ untuk ibu terus mendidik anak-anak walaupun tidak dipantau oleh orang lain dan hanya dipantau oleh Allah.
  • Wujudkan juga sebuah lagi fail khas lain milik ibu untuk menyimpan apa sahaja bahan-bahan pembelajaran yang dirasakan akan digunakan lagi untuk anak-anak seterusnya.

TIPS 6 : SEDIAKAN ‘HOMESCHOOLING TOOL BOX’

  • Sebenarnya, terdapat banyak bahan-bahan yang boleh digunakan berulang kali untuk beraktiviti bersama anak-anak.
  • Cara praktikal yang dapat menjimatkan masa dan wang adalah dengan menyediakan satu bekas atau kotak khas untuk menyimpan segala peralatan dan bahan-bahan untuk beraktiviti bersama anak. Labelkan bekas atau kotak tersebut.
  • Kos yang paling tinggi untuk melakukan aktiviti dengan efektif ialah dengan memiliki sebuah ‘laptop’, ‘printer’ dan mesin ‘laminator’ di rumah (3 item ini boleh dibeli mengikut kemampuan).
  • ‘Homeschooling Tool Box’ juga merupakan salah satu cara berkesan untuk memudahkan dan memotivasikan para ibu sebagai pendidik di rumah.

TIPS 7 : DISIPLIN DAN KASIH SAYANG

  • Hidup ini perlu ada peraturan. Islam sendiri telah menetapkan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan.
  • Begitu juga dalam didikan anak-anak. Disiplinkan anak sejak kecil antara waktu bermain, beribadah, belajar dan berehat (tidur).
  • Lakukan aktiviti secara bertahap mengikut umur dengan elemen kasih sayang tanpa paksaan.
  • Kenali ‘characteristics’, minat dan kebolehan setiap anak tanpa membandingkan.
  • Apabila anak-anak berasa seronok beraktiviti dengan ‘sweet memories’ yang terpahat di mindanya, mereka sendiri akan ‘request’ untuk melakukan aktiviti bersama walaupun pada ketika itu ibu-ibu tiada ‘mood’ atau ketandusan idea.

Foto Kredit : vinz-prasetyo.org

CIPTA MEMORI INDAH MELALUI ‘BONDING TIME’ YANG BERKUALITI

Ayuh fikirkan sejenak. Jika tiada ruang waktu istimewa kita bersama anak-anak ketika mereka kecil, kelak apabila mereka dewasa, mungkinkah ada ruang waktu istimewa mereka untuk bersama dengan kita?

Luangkan masa untuk mendidik anak-anak dengan melakukan aktiviti bersama mereka setiap hari. Walaupun hanya sebentar, ianya cukup bermakna buat mereka. Semoga tips-tips ini membantu dan dapat dimanfaatkan oleh kita dengan sebaik-baiknya.

Mari sama-sama kita cipta memori indah bersama anak-anak melalui ‘bonding time’ yang berkualiti dengan mereka!

 

*Sumber asal perkongsian ini adalah daripada Puan Nurkhomsiah Bakrim melalui laman Facebook peribadinya dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.

Eyza Faizah

Graduan dalam bidang psikologi di salah sebuah universiti tempatan. Berpengalaman dalam bidang pengurusan dan professional serta pengacaraan majlis. Kini bergelar ‘work at home mom’ (WAHM) – berkhidmat untuk keluarga dan menulis artikel online. Beliau boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Pendapat Anda?

comments

Add Comment

error: Content is protected !!