Sebagai manusia biasa, kita pasti tidak akan terlepas dalam membuat kesilapan. Itu lumrah. Namun, penting bagi kita untuk bersikap lebih terbuka dan memperbaiki apa jua kelemahan kita supaya menjadi orang yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Walau apa pun, semua ibu bapa pasti mahu yang terbaik untuk anak-anak. Di sini saya senaraikan “6 Kesalahan Dan Tabiat Ibu Bapa Yang Perlu Dibaiki”.

Nota editor bidadari.my: Anda digalakkan untuk berkongsi artikel ini pada orang lain untuk sama-sama mendapat manfaat darinya. Namun, admin sangat berharap supaya SEBARANG PERKONGSIAN DISERTAKAN SEKALI LINK ASAL ARTIKEL. Hormatilah usaha dan masa penulis asal.

anak

Imej:baroness.co

 

#1 Tidak Menunjukkan Contoh Yang Baik

Tidak menunjukkan contoh yang baik pada anak-anak merupakan antara kesilapan ibu bapa yang paling utama. Walau apa cara yang anda pelajari dan gunakan untuk mendisiplinkan anak, selagi ibu bapa sendiri tidak mahu berubah, usaha anda tidak akan berjaya.

  • Mahukan anak mengambil pemakanan yang sihat, tetapi ibu tidak suka makan sayur.
  • Mahukan anak mempunyai tabiat rajin dan suka membaca buku, tetapi bapa mempunyai hobi suka menonton tv.
  • Mahukan anak menjaga tutur kata dan adab, tetapi bapa suka menengking ibu.

Jangan jadi bagaikan ketam mengajar anak berjalan.

Jika mahukan anak menjadi insan yang terbaik, mulakan dengan mengubah diri sendiri menjadi yang terbaik dahulu.

#2 Tidak Menunaikan Janji

Apabila anak menangis selepas berebut permainan di rumah sepupunya, si ibu memujuk sambil berkata “nanti balik kita singgah kedai kita beli ya? Kita beli yang lagi best dan lagi besar dari yang ni!” Si anak mengangguk tanda setuju dan kembali bermain seperti biasa.

Dalam perjalanan balik, si ibu tidak menunjukkan tanda-tanda untuk singgah ke kedai seperti yang dijanjikan. Mereka terus pulang ke rumah dan si ibu telah pun melupakan janjinya siang tadi.

Jangan sekadar berjanji sekiranya anda tidak mampu atau tidak berhasrat pun memenuhinya. Kita sering menyangka anak akan lupa. Tetapi lama kelamaan, si anak akan menetapkan dalam minda bahawa ibunya hanya menipu dan dia tidak akan termakan pujukan ibunya lagi. Keadaan ini akan menyukarkan anda memujuknya dan mendisiplinkannya di masa hadapan.

Berikan janji yang realistik. Apa yang penting, pastikan anda penuhinya! Bayangkan jika anda berada ditempatnya. Pasti anda juga akan terluka jika orang yang anda sayang kerap memungkiri janji.

#3 Tidak Mahu Meminta Maaf Jika Membuat Kesilapan

anak marah

Imej:everydayfeminism

 

Antara sifat terpuji yang patut ditanam dalam diri anak-anak adalah ringan mulut meminta maaf jika membuat kesilapan. Kita sebagai ibu bapa pasti mahukan anak yang sentiasa merendah diri dan menerima teguran dengan baik.

Namun jangan lupa! Ibu bapa mesti menunjukkan contoh yang baik pada anak-anak. Sekiranya kita mahukan anak berakhlak baik, ibu bapa juga mesti menunjukkan contoh akhlak yang baik.

Masyarakat kita sudah terbiasa dengan stigma: mak ayah selalu betul. Kita pantang ditegur oleh anak-anak, lebih-lebih lagi apabila anak-anak mereka masih kecil.

Perlu kita ingat, kita juga manusia biasa yang selalu terlupa dan sentiasa melakukan kesilapan. Sekiranya si anak menegur dengan baik, apa salahnya menurunkan sebentar ego kita dan meminta maaf padanya.

Contoh situasi: Anda mengingatkan satu keluarga bahawa esoknya, mesti bergerak dari rumah pukul 10 pagi untuk pulang ke kampung untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas. Tepat jam 10 pagi, anak-anak dan isteri sudah lama menunggu dengan sabar di dalam kereta. Anda masih mencari dompet yang anda sendiri sudah terlupa dimana kali terakhir anda meletakkannya. Menjelang pukul 11 pagi, baru anda masuk ke dalam kereta. Anak sulung yang berusia 4 tahun menegur, “abah lambat. Semalam abah dah kata nak keluar rumah awal”. Apakah respon anda?

Respon 1: “Diamlah! Tak nampak ke abah kelam kabut ni?”, respon anda dengan nada separa menjerit.

Respon 2: “Abah minta maaf sayang. Abah tahu abah lambat. Lain kali abah akan cuba awal ya? Mana yang tak elok dari abah, along jangan ikut ya”, respon anda dengan nada lembut.

Antara kedua-dua respon, yang mana satu anda rasa boleh menunjukkan contoh yang baik pada anak-anak?

Antara kedua-dua respon, yang mana satukah respon yang sering kita berikan pada anak-anak?

#4 Terlalu Beralah Dalam Hal Penting Dengan Anak

Anak anda meraung-raung di pagi hari kerana tidak mahu ke sekolah. Puas memujuk, masih berdegil. Anda putus asa dan biarkannya tidak ke sekolah.

Di tengah-tengah majlis sambutan hari jadi anak rakan, anak anda mula membuat perangai. Dia mahukan hadiah-hadiah yang diperoleh birthday boy tersebut. Anda memujuk dan bercakap dengan nada tenang bahawa hadiah tersebut adalah milik orang lain, bukan miliknya. Dia tidak berpuas hati dan mengamuk. Anda membuat keputusan untuk terus pulang kerana tidak mampu lagi mengawalnya.

Di kedai semasa membeli barangan dapur bulanan, anak anda ternampak alat permainan dan mahukannya. Anda menolak. Dia baru sahaja membeli permainan semalam. Lagipun, anda tahu dia hanya berminat untuk bermain dengan permainan tersebut sekejap sahaja. Dia mula membuat drama. Berguling dan menjerit di kedai. Anda tidak mampu lagi mengawalnya. Anda membelikan juga apa yang dipinta.

Pernahkah anda mengalami situasi sebegini? Atau melihat orang terdekat mengalami situasi ini?

Antara kesilapan utama ibu bapa adalah mudah beralah dengan anak terutamanya atas perkara yang penting.

Ibu bapa harus tegas dengan anak-anak, tetapi dengan cara berlembut. Ingat, jangan biarkan anda dikuasai anak anda. Apabila anak-anak sudah tahu kelemahan anda, mereka akan menggunakan cara tersebut untuk mendapatkan apa yang dia mahukan di masa hadapan.

Menurut Dr Suriyakhatun, tip berguna untuk anak yang tantrum adalah jangan marah, jangan pukul tetapi jangan berikan perhatian. Layan anak tersebut hanya apabila tantrumnya selesai. Gunakan teknik ini pada anak seawall usia 1 tahun. InshaAllah dia akan lebih mendengar kata dan tidak mudah meragam terutamanya di tempat awam.

Apabila anda menolak untuk memenuhi permintaan anak, pastikan anda beritahunya sebab disebalik keputusan anda. Jangan dimarah apatah lagi menengking.

Sebelum di bawa keluar kemana-mana, mesti beritahu nak kemana, apa yang patut dia jangka, apa yang boleh dia lakukan dan apa yang tak boleh dia lakukan. Dengan cara ini, anak mudah faham dan tidak mudah meragam.

Ingat, ibu bapa adalah ketua di rumah dalam membuat keputusan – bukan anak-anak.

#5 Tiada Sepakat Antara Bapa Dan Ibu

Si ibu sering memarahi anak perempuan bongsunya kerana malas dan tidak mahu menggosok gigi hingga giginya banyak rosak. Si bapa membela anak kesayangan dan memarahi si ibu. Menurutnya, anak mereka pasti akan tahu apabila besar nanti.

Ibu dan bapa mesti bekerja dalam satu pasukan – terutamanya dalam mendidik anak. Ibu bapa mestilah selari. Tidak boleh sebaliknya. Jika tidak, anak akan terkeliru mana satu yang harus dia ikuti.

Ibu dan bapa mesti selalu berbincang. Jika ada antara tindakan atau keputusan ibu/bapa yang tidak dipersetujui pasangan, mereka mesti berbincang dan berkomunikasi. Jangan tunjukkan dihadapan anak, anda tiada kesepakatan. Barulah anak mudah untuk menerima arahan dan mengikuti ibu bapanya.

#6 Menganggap Anak Tidak Faham Dan Masih Kecil Lagi

Kita sering menganggap anak-anak tidak faham dan masih kecil lagi. Sedangkan kita tidak tahu, pada lima tahun terawal dalam usia kanak-kanak, perkembangan otak mereka digunakan sehingga hampir 90 peratus!

Apabila anak bertanyakan sesuatu yang agak kompleks, anda membalas “nanti dah besar awak tahu la” dengan alasan, anak masih kecil lagi. Dia takkan faham. Sedangkan, kita sendiri yang malas untuk berfikir bagaimana untuk menerangkan dengan ayat yang mudah.

Anak saudara saya sejak seawal umur setahun sudah petah berbicara. Dia kerap bertanyakan soalan kompleks seperti “mengapa cawan berpeluh bila ada ais dalam minuman tersebut”.

Kalau diikutkan, saya malas untuk melayan pertanyaan sebegitu kerana tidak tahu bagaimana untuk menerangkannya. Sebaliknya, bapanya tidak kisah menerangkan proses kondensasi padanya.

Awalnya saya skeptikal. Faham ke budak ni? Suatu hari, saya sendiri terkejut apabila anak saudara saya sambil bermain lego bersama saya menerangkan proses kondensasi pada saya. Saya tidak menyangka dia masih ingat! Sedangkan kejadian tersebut sudah berlalu berbulan lamanya.

Jangan pandang rendah dengan kebolehan anak-anak mengingat dan memahami sesuatu perkara. Mereka sebenarnya lebih hebat daripada kita.

Tugas kita adalah mendidik mereka tanpa mengenal erti putus asa. Apabila mahu mendisiplinkan atau mendidik mereka, kita kena ulang perkara tersebut berulang kali. Jangan marah apabila dia kelihatan tidak memahami. Paling penting, puji setelah dia menunjukkan pencapaian yang lebih baik.

Selain itu, kita sering menggunakan alasan “biarlah. Budak tu kecil lagi” apabila anak menunjukkan tabiat atau perbuatan yang tidak elok seperti suka menjerit, mencarut dan bergaduh.

Walaupun dia masih kecil, perbuatan tersebut harus ditegah sejak awal lagi. Apabila ibu bapa hanya menutup mata atas salah laku seperti itu, kelak apabila dewasa anak ini lebih sukar untuk dibentuk.

Kesimpulan

Tiada ibu bapa yang sempurna. Dan perlu diingatkan, tiada cara didikan ibu bapa yang lebih baik berbanding cara didikan ibu bapa lain.

Tidak semestinya cara tersebut baik untuk anak anda, baik juga untuk anak orang lain. Walau apa pun, terima nasihat dan teguran orang lain dengan hati terbuka.

Apa yang penting, kita sentiasa berusaha menjadi orang yang lebih baik hari demi hari. Itu pun sudah cukup membuktikan anda adalah ibu bapa yang hebat!

Penulis: Ummu Hatim

Ummu Hatim adalah salah seorang penulis tetap di Bidadari.My. Penulisannya banyak mengenai keibubapaan dan tips kesihatan. Menulis untuk mendidik diri sendiri disamping berkongsi ilmu pembacaan yang ada.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.