5 Tips Menjadi Isteri Solehah, Bahagia Dunia Bahagia Akhirat

 

Seorang isteri sudah pasti mempunyai impian untuk menjadi yang terbaik dan solehah di suami tersayang. Bahagia seorang suami terletak di tangan seorang isteri, begitu juga sebaliknya. Di sini kami kongsikan tips menjadi isteri solehah

Bagaimana untuk menjadi isteri solehah? Ini caranya:

  • Jangan melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh suami
  • Berlembutlah dengan suami dan jangan membantah suruhannya
  • Menguruskan hal ehwal rumah tangga dengan sempurna dan baik
  • Sentiasalah memelihara diri, keluarga dan kehormatannya
  • Simpan segala rahsianya dengan baik

 

Elakkan diri daripada melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh suami

Sebagai ketua keluarga, seorang suami sudah pasti berharap agar isterinya sentiasa menurut katanya. Isteri yang solehah ialah seorang isteri yang sentiasa patuh dan taat kepada suaminya. Jika suami inginkan isteri tidak bekerja di luar, cubalah untuk menuruti perintahnya itu. Ada baiknya untuk anda selaku isteri kerana isteri adalah pencorak zuriat keluarga. Begitu jua dengan hal-hal lain. Jangan lakukan perkara-perkara yang tidak disukai suami. Pasti anda akan menjadi isteri yang solehah di matanya. Kasih sayang daripadanya juga pasti akan bertambah-tambah.

 

Sentiasa berlembut dengan suami dan jangan membantah suruhannya

Sudah menjadi fitrah seorang wanita untuk menjadi seorang yang penuh sopan-santun dan lemah-lembut. Perwatakan sebegini bukan sahaja membuatkan suami berasa bahagia, malah membuatkan hatinya sentiasa berasa senang ketika berada bersama anda. Jika ada sebarang perselisihan, cubalah bertolak-ansur dan menjaga tutur kata. Jangan terlalu berkeras dengan suami. Setiap lelaki pasti akan ada egonya yang tersendiri. Jika anda berkeras, sudah pasti mereka akan menjadi lebih keras dengan anda. Jadi, gunakanlah kelembutan untuk menawan hati suami, pasti bahagia kehidupan anda nanti.

 

Menguruskan rumah tangga dengan sempurna dan teratur

Jika seorang suami kerjanya adalah mencari nafkah di luar, maka seorang isteri sudah pasti menjadi pencorak kehidupan di dalam rumah. Tugas seorang isteri adalah untuk memastikan segala keperluan suami sentiasa terjaga. Jika sudah mempunyai zuriat pula, seorang isteri pasti akan menjadi ibu yang akan melihat setiap detik perkembangan anak di rumah. Dari sudut kewangan keluarga pula, seorang isteri perlu bertindak mengawal keluar masuk wang setiap bulan. Wang yang diberikan suami perlulah dikawal perbelanjaannya. Dengan adanya sikap sebegini, suami akan berasa isterinya sebagai pelengkap hidupnya.

tips menjadi isteri solehah

Sentiasalah menjaga maruah diri, keluarga dan kehormatannya

Seorang isteri sudah pasti akan menjadi cerminan suaminya. Jika seorang isteri baik tingkah-lakunya, maka baiklah pandangan masyarakat terhadap suaminya. Begitulah juga dengan keadaan sebaliknya. Jika suami tiada di rumah, elakkan daripada keluar atau bersosial tanpa keizinan daripadanya. Ingatlah bahawa maruah suami, terletak di tangan isteri. Jika anda sentiasa menjaga meruah diri, maka akan terjagalah maruah suami.

 

Simpan segala rahsianya dengan baik

Rahsia dan keburukan si suami perlulah dijaga. Elakkan daripada berkongsinya dengan orang lain, walaupun kepada ibu bapa atau saudara-mara anda sendiri. Suami anda pasti akan kecewa jika anda bertindak menyebarkan keburukannya kepada orang lain. Anggaplah rahsia suami sebagai rahsia anda sendiri. Suami pasti akan berasa anda seorang yang dipercayai dan amanah.

Penulis: Tasneem Haneem

Tasneem Haneem merupakan penulis di Bidadari.My. Minat dengan tulisan kekeluargaan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.