Bila Anak-Anak Cakap ‘bohong’ apa kata Ilmu Psikologi?

‘kakak dah ambil wudhu’?’ ‘dah’
‘sapa yang tumpahkan air?’ ‘bukan kakak..’
‘tadi dah makan vitamin kan?’ ‘belum lagi..’
‘ye ker ni???’


Bila mak ayah tahu anak-anak tak cakap benar, atau bahasa lainnya berbohong, ia akan jadi drama yang boleh memecah keheningan rumah.

Ada yang akan naik suara, lawan hujah macam laywer, soal jawab macam penyiasat dan ada yang naik marah sampai didik anak dengan ‘tangan’. Bagi yang emosi, ada yang terluka dengan perilaku anak lantas menyalahkan diri.

anak berbohongsuararakyatindonesia.org

‘Bercakap benar’ adalah sifat/akhlak yang abstract. Kanak-kanak tidak terus memahaminya secara lahiriah. Ianya adalah konsep yang berkembang, sebagaimana perkembangan minda dan personaliti mereka.

Oleh itu, ibubapa perlu faham bahawa ianya tidak akan terjadi secara automatik, tetapi ‘develop’ sedikit demi sedikit berdasarkan pendidikan, pengalaman dan persekitaran.

Silap ibubapa yang cepat menghukum ialah LUPA bahawa anak-anak tidak semestinya memahami dunia sebagaimana kita faham. LUPA kita juga pernah kecil, pernah curi-curi minum air masa mandi di bulan ramadhan dan tak mengaku bila calarkan kereta ayah masa main basikal.

Kenapa Kanak-Kanak Berbohong?

#1 Keliru Dengan Apa Yang Betul/Salah

Kanak-kanak bertindak mengikut persekitaran dan interaksi dengan ibubapa/cikgu. Respon mereka pada sesuatu persoalan bergantung kepada reaksi kita. Sebab itu bila kita tanya soalan dalam nada marah, mereka tend untuk menjawab sesuatu yang ‘menyelamatkan’ diri.

Pada kita BOHONG, pada mereka TAK MAHU AYAH MARAH. SALAH pada kita, tetapi bagi mereka inilah yang SEPATUTNYA dilakukan. Bila kita hukum mereka tanpa menjelaskan hal sebenar, mereka jadi lebih keliru.

#2 Mana Tumpahnya Kuah

Antara teori pendidikan yang famous ialah ‘modelling theory’ – teknik belajar dari orang yang lebih besar.

‘nanti ayah belilah’, ‘kalau bising nanti polis datang’, kalau buat lagi ayah hantar dekat luar’, ‘polis tak bagi duduk depan’

Semua ini ialah ayat penyedap yang jadi zikir dan wirid ramai ibubapa.

Realitinya?

Jadi bila anak-anak kena piat telinga bila bohong, si ibu tolong piat telinga ayah juga bila ajar anak bohong. Siayah juga jangan lupa piat telinga ibu. (metafora je ni, jangan buat betul-betul!)

#3 Takut Buat Silap

Bila kita dimomokkan dengan dunia serba sempurna dalam media, kita cuba didik anak-anak kita bahawa hidup ini tiada ruang untuk silap, salah sebut, tertumpah air, terconteng dinding dan terpukul adik. Semua akan berakhir dengan mak berleter, ayah naik suara.

Apa yang lebih teruk, bila hukuman mendahului penjelasan, soal selidik dan budi bicara. Tambah pula dengan ‘perasa’ emosi dan panas baran mak ayah.

Bila Kita cipta budaya itu dalam keluarga, anak-anak akan takut ‘buat silap’, when imperfection does happen..jalan paling selamat- bohong.

#4 Pengaruh

Terutama zaman remaja, pengaruh rakan sebenarnya mendahului pengaruh ibubapa dan guru. Apatah lagi kalau anak-anak tidak nampak sinar bahagia dalam rumah. Kawan bohong dan ajar berbohong adalah sebahagian ‘ilmu’ yang mereka akan saling pelajari dan ulangkaji bersama-sama.

Sebelum menghukum, fikirkan dulu apa sebenarnya yang berlaku dan kenapa ia berlaku. Sudah tentu jalan mudah marah, tengking dan hukum. Tapi jangan harap ia akan jadi kemarahan, tengkingan dan hukuman yang terakhir anda.

Nak jadi ibubapa kena jadi macam psikologis juga, kena fikir, analisa dan cari punca, baru ubah.

Penulis: Dr Rozanizam Zakaria

Merupakan seorang doktor dalam bidang psikiatri dan motivasi minda. Merupakan penulis buku "Aku Nabi Isa!.." dan banyak berkongsi tentang ilmu psikologi anak-anak. Beliau boleh dihubungi di Facebook.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.