Apa itu Air Selusuh? Air selusuh merupakan air untuk memudahkan dan melancarkan proses bersalin. Ianya boleh mula diminum 2 kali sehari apabila kandungan mencecah 30 minggu. Air selusuh yang terbaik ialah yang disediakan oleh suami namun dizaman serba moden ini, dah banyak air selusuh yang dijual di pasaran. Atau anda juga boleh meminta air selusuh dari mak bidan.

Sumber Gambar: Pijatc

Para doktor dan mereka yang berfikiran moden mungkin berpendapat bahawa air selusuh tidak membantu memudahkan proses bersalin. Namun, masih ramai yang meyakini bahawa air selusuh adalah salah satu ikhtiar yang berkesan. Sebenarnya air selusuh bukan sahaja berperanan untuk memudahkan proses bersalin malah ia juga  berfungsi sebagai penenang jiwa.

Pada pendapat kami, tiada salahnya jika anda berikhtiar dengan air selusuh memandangkan ianya adalah satu ikhtiar yang berpandukan Al-Quran dan Hadis. Daripada sudut pandangan Islam, air selusuh adalah harus. Asalkan ia tidak bercanggah dengan syariat Islam iaitu bacaan yang mengandungi jampi separah yang karut.

Kali ini kami ingin berkongsi 4 cara buat air selusuh untuk panduan anda.

Sumber Gambar: Nakita

1. Air selusuh cara Ustaz Don Daniyal

Nama Ustaz Don memang tak asing lagi di Malaysia. Dengan loghat utara yang pekat, Ustaz Don berjaya menambat hati penonton program 30 Minit Bersama Ustaz Don.  Berikut adalah langkah membuat air selusuh cara Ustaz Don:

  • Langkah Pertama: Al-Fatihah 1 kali
  • Langkah Kedua: Surah Al-Hasyr Ayat 21 hingga 24

Terjemahan Ayat 21:

Kalau sekiranya Kami turunkan AL-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnyatunduk terpecah belah di sebabkan ketakutannya kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.

Terjemahan Ayat 22:

Dialah Allah tiada Tuhan selain Dia, yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Dialah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Terjemahan Ayat 23:

Dialah Allah yang tiada Tuhan selain Dia, Raja yang Maha Suci, yang Maha Sejahtera, yang Mengurniakan Keamanan, yang Maha Memelihara, yang Maha Perkasa, yang Maha Kuasa, yang memiliki Segala Keagungan, Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.

Terjemahan Ayat 24:

Dialah Allah yang Menciptakan, yang Mengadakan, yang Membentuk Rupa, yang Mempunyai Asmaul Husna, Bertasbihlah kepadaNya apa yang di langit dan Bumi. Dan dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

  • Langkah Ketiga: Selawat Syifa’
  • Langkah Keempat: Doa Selusuh

Terjemahannya:

” Ya Allah, dengan hak Maryam, juga hak hamba yang diturunkan kepadanya Surah Maryam, ringankanlah daripadanya (NAMA ISTERI) penderitaan bersalin, dengan rahmatmu wahai Tuhan yang amat mengasihani dari segala-galanya.

  • Langkah Kelima: Doa Pemudah

Terjemahannya:

“Ya Allah, permudahkanlah dan jangan Kau sukarkan kerana Engkaulah yang Maha Memudahkan, segala yang susah adalah mudah bagiMu. Ya Allah, sempurnakanlah dengan kebaikan, dengan rahmatMu, Ya Arhamar Rahimin.

Alhamdulillah. Berkat doa seorang suami segalanya dipermudahkan. Redha suami datang bersama redha Allah. Sama-sama kita doakan agar kandungan anda selamat dan dipermudahkan proses bersalin nanti.

Sumber Gambar: Ohgebang

2. Air selusuh dengan Doa Selusuh

Air selusuh ini boleh dibuat oleh suami sebaik sahaja kandungan mencecah 30 minggu. Ianya lebih pendek daripada air selusuh cara Ustaz Don. Caranya:

  1. Al-Fatihah.
  2. Surah al-Hasyr ayat 21.
  3. Selawat syifa’ : “Ya Allah berikan rahmat ke atas penghulu kami nabi Muhammad S.A.W yang menjadi penawar kepada hati-hati, penawarnya dan kesejahteraan badan, kesembuhan juga cahaya penglihatan dan berilah rahmat keberkatan dan kesejahteraan atas keluarga dan sahabatnya”
  4. Doa Selusuh: “Ya Allah dengan hak Maryam dan dengan mereka yang diturunkan kepadanya surah Maryam, ringankanlah daripadanya (sebut nama ibu yang hamil berbintikan nama ibunya) sakit bersalin dengan rahmat Engkau wahai Tuhan yang Maha Pemberi Rahmat”. Kemudian tiup pada air atau minyak
  5. Sapukan air atau minyak di perut ibu dari atas ke bawah dengan selawat tujuh kali.
  6. Minyak selusuh perlu diminum sebanyak satu sudu apabila sakit hendak bersalin.

3. Air selusuh dengan Surah Al-Insyirah

Ini adalah cara ketiga untuk membuat air selusuh. Caranya:

  1. Beristighfar tiga kali.
  2. Menghadiahkan bacaan selawat kepada Nabi Muhammad S.A.W, para sahabat dan para pengikutnya.
  3. Al-Fatihah satu kali.
  4. Selawat 11 kali.
  5. Al-Insyirah tujuh kali.
  6. Al-Ikhlas tiga kali.
  7. Al-Falaq tiga kali.
  8. An-Nas tiga kali.
  9. Al-Fatihah satu kali.
  10. Kemudian doa apa yang dihajati. Tiup pada air atau minyak.

 4. Air selusuh dengan Surah Al-Hasyr

Ini adalah cara terakhir untuk membuat air selusuh. Caranya:

  1. Al-Fatihah. Apabila sampai di ayat lima, lintaskan di dalam hati memohon memudahkan bersalin sebanyak tiga kali.
  2. Selawat Syifa tujuh kali.
  3. Surah al-Hasyr ayat 21, tiga kali.
  4. Surah Al-A’raa ayat 54, tiga kali.
  5. Hembus pada air, minyak atau kurma.

Sumber Gambar: Mamapeduli

Itulah dia 4 cara membuat air selusuh sebagai panduan untuk anda. Terpulang kepada anda untuk memilih mana-mana cara yang paling mudah bagi anda. Semoga perkongsian kami kali ini bermanfaat buat anda suami isteri. Kami doakan semoga proses bersalin anda berjalan dengan lancar dan mudah.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.