Sambil-sambil jari ligat menari-nari di papan kekunci menaip buku. Terperasan satu mesej pesanan peribadi, soalannya agak menarik dan rasanya perlu dijawab untuk perhatian dan penerangan kepada semua.

Soalan berbunyi ;

“Assalam Ustaz, saya tertarik dengan posting ustaz berkaitan nikah awal iaitu semasa belajar dan tentang kehidupan selepas berkahwin awal. Buat pengetahuan ustaz, saya masih belajar dan mempunyai kawan wanita.

Kami serius ingin hidup bersama, cuma bagaimana untuk meyakinkan keluarga yang kami perlu berkahwin awal dan apakah sebenarnya yang perlu ada untuk kahwin awal? Minta pandangan ustaz. Dari insan yang ingin tahu.”

*************************************************************************************
Soalannya kelihatan pendek, ringkas. Tetapi jawapannya panjang dan tidak seringkas soalannya. Maka, jawapannya perlu dikongsi di sini untuk tatapan ramai.

kahwin awal

2 syarat ilmu untuk kahwin awal [Rose Day]

Waalaikummussalaam WarahmatULLAHi Wabarakaatuh, semoga Tuan yang bertanya dan sekaliannya berada di dalam rahmat dan Hidayah ALLAH sentiasa.

Adapun berkaitan soalan yang diajukan, pertama sekali suka untuk sang faqir kongsikan kisah yang berusia lebih kurang 16 tahun lepas, sewaktu sang faqir dalam tarbiyyah ALLAHyarham guru tersayang.

Sang faqir bertanya kepada guru,

“Boleh saya tahu, umuq berapa Tok Su masa menikah?”

Guru tersayang mengangkat matanya yang sedang menunduk menelaah kitab-kitab untuk disyarah pada malam yang bakal menjelma. Menjawab.

“Awat hang nak tau? Galaq nak menikah dah ka?”

Tersimpul-simpul malu yang menanya,

“ Bukan galaq, saja nak tau.”

“Umuq 17 tahun aku menikah dah”

Jawab guru tersayang.

“Tu dia, mudanya, lagu mana tu Tok Su menikah muda?” Berminat hendak tahu.

“Hang ingat menikah nie nak seronok saja ka? Menikah nie nak latih diri jadi khalifah, bukan benda main-main.”

“Orang dulu menikah tak pakai duit kot-kot mana, lagi-lagi kalau nak menikah dengan anak tok guru, depa nak ilmu, tara mana ilmu hang ada, tara tu lah hang layak menikah.”

“Ilmu apa yang kena ada Tok Su, kalau nak menikah awal?”

Bersungguh-sungguh hendak tahu.

“Mudah ja, nyatakan kesemua 68 aqaidul Iman beserta syarahnya, nyatakan rukun syahadah beserta sifatnya, nyatakan rukun-rukun solat beserta sifat solat,

nyatakan keseluruhan hukum tajwid dalam surah Al Fatihah, hang ada jawapan untuk soalan nie, hang layak jadi suami kepada seorang wanita.”

Terkedu bicara sewaktu itu. Dan setelah bertahun-tahun ‘pulun’ mengaji dan ditarbiyyah oleh Allahyarham guru-guru . Tersedar akan sang faqir bahawa, ilmu adalah kunci segala-galanya.

Ilmu yang paling utama adalah AQIDAH, seterusnya IBADAH dan selanjutnya ilmu-ilmu lain. 2 perkara ini kunci kepada pasangan muda yang ingin memulakan masjid dalam usia muda.

Soal kerja, harta atau pangkat, itu bukan perkara wajib dalam sesuatu struktur perkahwinan yang ingin mencapai rahmat dan redha Allah s.w.t.

Setelah ada jawapan bagi 4 soalan tersebut beserta faham dan tahqiq, baharulah sang faqir mengambil keputusan untuk menikah. Jika Allahyarham Guru tersayang menikah dalam usia seawal 17 tahun, sang faqir terlajak lebih sedikit, iaitu menikah dalam usia 20 tahun.

Maka, ketahuilah bahawa perkahwinan bukan semata-mata untuk keseronokan hidup bersama pasangan, tetapi ianya adalah suatu jambatan menuju kepada rahmat dan redha Allah.

Jadi, kepada orang muda yang memasang niat ingin berkahwin awal. Cuba lengkapkan diri dengan jawapan kepada 4 soalan tersebut, insyaAllah akan bahagia rumahtangga.

Kepada yang sudah berkahwin, tetapi tidak mempunyai jawapan kepada soalan-soalan tersebut, maka, sudah tiba masa mengorak langkah mencari jalan kebahagiaan.

Dengan cara tersebut, bukan kita akan yakinkan keluarga, malahan Allah s.w.t yang akan hantarkan keyakinan ke dalam jiwa sanubari keluarga bahawa kita mampu menikah awal.

Yakinlah, apabila dengan ilmu yang diamalkan dengan faham dan tahqiq, ianya akan membantu keseluruhan proses kehidupan menuju akhirat.

Menikah dengan ilmu dan faham bukan dengan nafsu dan keinginan semata, insyaAllah bahagia rumahtangga.

Pesan Allahyarhamuha Moyang tersayang,

“Long, hidup kena ado ilmu. Ado ilmu boleh hidup, takdok ilmu, hidup pun tok guno.”

Mulakan dengan Allah, hidup dengan Allah, berakhir juga dengan Allah. InsyaALLAH, selamat dunia akhirat.

Wassalam.

Artikel Menarik Lain

Jom baca panduan yang telah kami kongsikan di dalam Bidadari.my. Semoga panduan ini membantu. Jangan lupa untuk share dan like juga. Manlah tahu oanduan ini berguna untuk amsa hadapan.

Penulis: Wan Asrul Al-Kalantani

Wan Asrul Al-Kalantani

Wan Asrul Al-Kalatani merupakan salah seorang hamba Allah yang banyak memberi tips kekeluargaan dari sudut Islamik. Beliau boleh dihubungi di Facebooknya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.