Apa Itu Kanser Hati?

Kanser hati adalah kanser yang terdiri daripada tumor hepatik malignan pada atau dalam hati.

Terdapat beberapa kanser yang boleh terbentuk dalam organ hati.

Jenis kanser hati yang sering ditemui adalah ‘hepatocellular carcinoma’ yang terbentuk bermula pada sel hepatosit.

Kanser hati yang jarang berlaku pula adalah ‘intrahepatic cholangiocarcinoma’ dan hepatoblastoma.

Bukan semua kanser yang menjangkiti hati adalah kanser hati.

Ada juga kanser di bahagian lain seperti kanser usus, jantung dan payudara yang boleh merebak sehingga ke bahagian hati.

Kanser yang merebak ke Kawasan lain ini dipanggil kanser metastatik.

Kanser yang merebak hingga ke hati lebih biasa ditemui berbanding kanser hati.

 

Tanda-tanda Kanser Hati

Hanya segelintir sahaja pesakit kanser hati yang mempunyai peluang untuk sembuh.

Hal ini kerana, kanser ini sukar dikenalpasti dan kebanyakan penderita kanser ini tidak menunjukkan simptom-simptom awal.

Dalam kebanyakan kes, kanser ini hanya dikenalpasti selepas kanser berada pada tahap yang membimbangkan.

Justeru itu, perhatikan gejala-gejala ini sebelum terlambat:

1. Kehilangan berat badan yang abnormal

2. Kehilangan selera makan

3. Sakit pada abdomen bahagian atas

4. Rasa kenyang walaupun hanya makan sedikit

5. Hati membesar, rasa ada sesuatu di bawah tulang rusuk di sebelah kanan

6. Limpa membesar, rasa ada sesuatu di bawah tulang rusuk di sebelah kiri

7. Sakit di bahagian abdomen atau berhampiran bahu kanan

8. Pembengkakan pada abdomen disebabkan cecair berkumpul di dalam perut

9. Mabuk dan muntah-muntah

10. Rasa lemah dan kepenatan

11. Perubahan warna kuning pada kulit dan pada mata putih (penyakit kuning)

12. Najis putih

13. Sakit belakang

14. Gatal-gatal

15. Demam

 

Punca Kanser Hati

KANSER HATI

IMAGE VIA MEDICAL EXPRESS

Sehingga kini, belum ada punca yang benar-benar tepat dan jelas bagi kanser ini.

Walabagaimanapun, dalam sesetengah kes, puncanya dapat dikenalpasti.

Contohnya, jangkitan virus hepatitis yang kronik boleh menyebabkan kanser hati.

Kanser hati berlaku apabila berlaku perubahan pada DNA sel hati (mutasi).

Mutasi DNA menyebabkan sel-sel mungkin membahagi tanpa kawalan dan akhirnya membentuk tumor.

 

Faktor Risiko Kanser Hati

Terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko menghidap kanser hati. Antara faktor yang anda perlu beri perhatian adalah:

 

1. Jangkitan hepatitis B virus (HBV) atau hepatitis C yang kronik

Menurut Persatuan Kanser Amerika, hepatitis C adalah punca utama kanser hati di A.S.

Individu yang mempunyai kedua-dua hepatitis B atau C berisiko tinggi untuk menghidap kanser hati berbanding individu yang sihat, kerana kedua-dua bentuk penyakit ini boleh menyebabkan ‘Cirrhosis’ (parut pada hati).

 

2. ‘Cirrhosis’.

cirrhosis

IMAGE VIA JONBARRON.ORG

Kebanyakan kes kanser hati berkait dengan parut pada hati.

Keadaan yang progresif dan tidak dapat dipulihkan ini menyebabkan tisu hati berparut dan meningkatkan peluang anda untuk menghidap kanser hati.

Alkohol dan virus hepatitis adalah punca utama penyakit ‘Cirrhosis’.

 

3. Penyakit hati yang diwarisi.

Penyakit hati yang dapat meningkatkan risiko kanser hati termasuklah ‘hemochromatosis’ dan penyakit Wilson.

Jika ibu, bapa, abang, atau kakak seseorang mempunyai kanser hati, individu ini mempunyai risiko yang lebih tinggi menghidap kanser hati.

 

4. Diabetes.

Orang yang menghidap diabetes yang minum alkohol dalam kadar yang berlebihan mempunyai risiko kanser hati yang tinggi.

 

5. Penyakit hati berlemak

Pengumpulan lemak dalam hati meningkatkan risiko kanser hati.

 

6. Terdedah kepada aflatoxins dalam jangka masa lama.

Aflaksin adalah racun yang dihasilkan oleh kulat yang sering terjadi pada tanaman yang tidak disimpan dengan cara yang betul.

Tanaman seperti jagung dan kacang boleh tercemar dengan aflatoxins.

Pencemaran Aflatoxin biasa terjadi di Afrika dan Asia.

 

7. Pengambilan alkohol yang berlebihan.

Mengambil alkohol berlebihan setiap hari selama bertahun-tahun boleh mengakibatkan kerosakan hati dan meningkatkan risiko kanser hati.

 

8. Imuniti rendah

Orang yang mempunyai sistem imun yang lemah, seperti pesakit HIV / AIDS mempunyai risiko kanser hati yang lima kali lebih besar daripada individu yang sihat.

 

9. Jantina

Peratusan lelaki yang menghidap kanser hati lebih tinggi berbanding wanita.

Hal ini berkemungkinan besar disebabkan oleh gaya hidup kaum lelaki.

Lelaki cenderung merokok dan minum alkohol lebih banyak daripada wanita.

 

10. Arsenik

Individu yang bergantung kepada penggunaan air telaga yang mengandungi toksin arsenik semulajadi mungkin mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat beberapa penyakit, termasuk kanser hati.

 

Rawatan kanser hati

1. Pembedahan

Hepatektomi separa dijalankan untuk membuang bahagian hati yang mempunyai tumor bersaiz kecil.

Pembedahan ini boleh menyebabkan pendarahan yang berlebihan dan masalah pembekuan darah, jangkitan dan radang paru-paru.

 

2. Pemindahan hati

Pesakit yang menjalani pemindahan hati tidak boleh mempunyai tumor yang lebih besar daripada 5 cm atau beberapa tumor yang lebih besar daripada 3 cm.

Risiko untuk kanser berulang terlalu jika pesakit yang mempunyai tumor lebih besar daripada ini menjalani pemindahan hati.

Jika pemindahan berjaya, risiko untuk kanser berulang akan berkurangan, dan fungsi normal organ juga dapat dipulihkan.

Dalam sestengah kes, sistem kekebalan tubuh boleh ‘menolak’ organ baru.

Sistem kekebalan tubuh akan menyerang organ baru kerana ia dianggap sebagai benda asing.

Hal ini menyebabkan peluang untuk melaksanakan pemindahan menjadi sukar.

Ubat-ubatan yang menekan sistem imun untuk menerima organ baru juga boleh membawa kepada jangkitan serius dan perebakan tumor metastasis.

 

3. Rawatan untuk tumor yang tidak boleh diubati

Kanser hati yang di tahap kritikal, mempunyai kadar kelangsungan hidup yang sangat rendah.

Walau bagaimanapun, terdapat langkah-langkah yang boleh diambil oleh pakar perubatan untuk merawat gejala kanser dan melambatkan pertumbuhan tumor.

 

a. Terapi ablatif

Bahan seperti alkohol disuntik terus ke dalam tumor.

Laser dan gelombang radio juga boleh digunakan.

b. Terapi radiasi

Radiasi diarahkan pada tumor dan akan membunuh sel kanser.

Pesakit mungkin mengalami loya, muntah-muntah, dan keletihan.

c. Kemoterapi

Ubat-ubatan tertentu disuntik ke dalam hati untuk membunuh sel kanser.

Dalam ‘chemoembolization’, bekalan darah ke tumor disekat secara pembedahan atau mekanikal.

Seterusnya, ubat-ubatan anti-kanser terus masuk ke dalam tumor.

 

Cara rawatan kanser hati dilakukan berdasarkan jenis kanser hati.

 

Sebelum terlambat…

Anda perlu mengambil langkah-langkah pencegahan ini untuk mengelakkan penyakit kanser hati:

1. Mengelakkan pengambilan alkohol

2. Mengurangkan penggunaan tembakau

3. Pengambilan vaksin hepatitis B terutama bagi golongan seperti di bawah;

a. Pengguna dadah yang berkongsi jarum.

b. Individu yang melakukan seks dengan pasangan yang mempunyai jangkitan hepatitis B

c. Jururawat, doktor, doktor gigi dan individu yang bekerja dalam bidang perubatan yang terdedah kepada jangkitan

d. Pelancong yang melawat negara yang mempunyai kes hepatitis B

4. Mengawal berat badan

5. Merawat penyakit yang boleh membawa kepada kanser seperti ’hemochromatosis’

 

Rujukan

medicalnewstoday.com

cancer.org

mayoclinic.org

Penulis: Meedanadira

Graduan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang bioteknologi tumbuhan. Sedang berkhidmat dalam bidang farmasi dan mempunyai minat yang mendalam dalam bidang biosains dan biomedik. Saya juga percaya tiada pengakhiran dalam menuntut ilmu selagi kita bernyawa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.