13 Aktiviti Taman Negara Pahang Bersama Keluarga Wajib Buat

130 juta tahun. Itulah usia Taman Negara Pahang. Bagi mereka yang tidak pernah melawat Taman Negara, inilah masa terbaik untuk meneroka khazanah alam semulajadi Malaysia.

Taman Negara Pahang
Imej via Wikipedia

Berikut adalah aktiviti menarik yang sukar dilepaskan di Taman Negara Pahang:

#1 Berjalan di Titian Kanopi

Taman Negara Pahang Aktiviti
Imej via TamanNegara.Asia

Nikmati keindahan flora dan fauna dari paras ketinggian 40m dari tanah. Asalnya titian sepanjang 530m ini dibina bagi tujuan kajian tetapi akhirnya menjadi tarikan utama pelancong yang datang ke Taman Negara Pahang.

#2 Merentas Hutan

Bukit Terasek, Lubok Simpon, Gua Telinga, Bumbun Kumbang, Lata Berkoh, Tenor dan Gunung Tahan adalah denai-denai yang digunakan dalam aktiviti merentas hutan. Rentasan mengambil masa sependek 20 minit sehingga 7 hari.

Denai Bukit Terasek merupakan denai paling terkenal dan mengambil masa 30 sehingga 45 minit untuk ditamatkan. Denai ke Gunung Tahan pastinya yang memakan masa paling lama iaitu 7 hari manakala denai Tenor dikatakan denai yang paling mencabar.

#3 Merentas Hutan pada Waktu Malam

Dengan dipandu oleh Pegawai Perhutanan, anda akan memulakan perjalanan dari Pejabat Perhutanan sehingga ke Bumbun Tahan. Pengunjung dikehendaki senyap bagi mengelakkan haiwan-haiwan yang berjaga malam berasa takut dan melarikan diri.

Jika bernasib baik, anda dapat melihat haiwan-haiwan yang sedang mencari makan seperti tapir dan babi hutan.

#4 Melawat Perkampungan Orang Asli

2 etnik Orang Asli di Taman Negara ialah Batek dan Semokberi. Menariknya di sini ialah mereka tidak akan lokek berkongsi dengan anda bagaimana menggunakan buluh untuk memburu dan membuat api.

Walaupun mereka bertutur di dalam bahasa mereka dan tidak tahu berbahasa Inggeris, namun mereka mesra dan amat menghormati tetamu.

#5 Rapid Shooting

Ini merupakan antara aktiviti paling menarik di Taman Negara iaitu menyusuri Sungai Tembeling yang deras dengan menaiki bot kayu. Ia bermula dari Kuala Tahan sampai ke Kuala Terengganu dan kembali ke Kuala Tahan.

Pengunjung dinasihatkan agar tidak membawa peralatan elektronik atau memasukkannya ke dalam beg kalis air. Ini kerana anda pasti basah kuyup usai aktiviti.

#6 Menaiki bot ke Lata Berkoh

Berbanding rapid shooting, perjalanan di dalam bot ke Lata Berkoh ini lebih aman. Tujuannya supaya anda dapat menikmati keindahan flora dan fauna di lokasi-lokasi sesuai untuk pelancong. Gunakan waktu ini untuk merakamkan banyak gambar-gambar sebagai kenangan.

#7 Memberi Makan kepada Ikan Kelah

Dalam perjalanan ke Lata Berkoh, bot akan singgah di santuari kelah. Apa yang menarik di sini ialah ikan-ikan yang jinak ini tidak takut jika anda memberi makanan kepadanya.

#8 Memerhati Haiwan

Taman Negara Pahang
Imej via TamanNegara.Asia

Anda tidak akan bersembunyi di sebalik pokok untuk memerhatikan haiwan. Ada tempat-tempat persembunyian lebih selamat dibina pihak Taman Negara untuk anda. Jika bernasib baik, dari situ anda akan dapat melihat haiwan-haiwan liar yang tinggal di Taman Negara ini.

#9 Memancing

Syurga bagi kaki pancing. Kelah, patin, baung, lampam, dan tapah adalah di antara ikan-ikan yang boleh didapati di sini. Sungai Keniam merupakan lokasi pilihan pemancing tegar. Manakala bagi pemancing amatur, Sungai Tembeling boleh menjadi pilihan awal.

Waktu terbaik? Februari sehingga September. Jadi, kepada kaki pancing, sila masukkan tarikh ini dalam kalendar anda.

#10 Eksplorasi Gua

Ular, kelawar, dan pelbagai jenis serangga pasti menaikkan bulu roma sesetengah orang. Tapi bagi si kuat semangat, ia adalah pengalaman mengujakan untuk berjalan, merangkak, dan memanjat gua bersama semua itu.

Namun, yang lebih utama adalah menikmati keindahan keadaan di dalam gua.

#11 Mendaki Gunung Tahan

Gunung setinggi 2187m ini merupakan gunung tertinggi di semenanjung Malaysia. Hanya yang kuat mental dan fizikal sahaja digalakkan mengikuti aktiviti ini. Ini kerana denainya dikenali amat mencabar. Laluannya panjang dan anda perlu menyeberang sungai-sungai dan gunung.

Oleh itu, anda semestinya perlu bermalam di dalam hutan. Perjalanan selama 7 hari pada awalnya, telah disingkatkan kepada 4 hari melalui laluan baru. Perjalanan selama 4 hari 3 malam itu akan menjadi satu kepuasan apabila anda tiba di puncaknya.

#12 Eksplorasi Air Terjun

Ia dinamakan Four Step Waterfall. Walaupun tidak sepopular aktiviti yang lain, ia masih aktviti yang berbaloi untuk dilakukan terutama jika anda mahu lebih relaks.

#13 Memerhati Burung

Para peminat burung, sila bersedia dengan kira-kira 380 spesis burung di Taman Negara ini. Mei sehingga Ogos adalah masa terbaik. Ada kawasan-kawasan tertentu di Taman Negara sesuai bagi memerhatikan burung-burung tertentu.

Namun, secara umumnya, mana-mana kawasan di sekitar Taman Negara Pahang ini bagus untuk tujuan pemerhatian burung.

Kesimpulan

Inilah semua aktiviti yang mendapat pujian rata-rata pengunjung dan pelancong yang datang. Banyak yang boleh dilakukan walaupun anda berada di dalam satu tempat sahaja. Ia percutian yang berbaloi terutama bagi mereka yang sukakan hutan.

Artikel Tempat Menarik Lain

Tempat Menarik Di Melaka

Tempat Menarik Di Langkawi

Pendapat Anda?

comments

Add Comment

error: Content is protected !!