Ini Sebab Bermain Penting Untuk Kanak-Kanak Wahai Ibu

“Anak saya suka main!!! Malas belajar!!!”

Fitrah kanak-kanak itu bermain. Dan bila saya katakan ‘kanak-kanak’, ia merujuk kepada kanak-kanak sehingga usia 10 tahun.

Cuma, pola permainan kanak-kanak akan berbeza mengikut usia. (Saya akan kongsikan tentang pola dan jenis bermain dalam posting yang seterusnya).

 

Apa Pentingnya Mengetahui Pola Permainan Kanak-Kanak?

Kanak-kanak main
Imej via cleberaraujo182 / Pixabay

Pola permainan berubah mengikut usia kanak-kanak. Jika kanak-kanak masih ‘stuck’ pada pola permainan usia yang lebih rendah, kanak-kanak mungkin berisiko kelewatan dalam mana-mana aspek perkembangan.

 

Mengapa Penting Membenarkan Kanak-Kanak Bermain?

1. Pekerjaan Bagi Kanak-kanak

Occupational Therapist berpegang kepada prinsip bahawa Pekerjaan merupakan aspek penting untuk seseorang mempunyai kualiti hidup yang baik. Tanpa kualiti hidup yang baik, seseorang individu akan sukar sekali untuk mendapat kebahagiaan hidup.

Bagi kanak-kanak, main merupakan pekerjaan produktif mereka. Implikasi bermain terhadap kesejahteraan kualiti hidup kanak-kanak adalah besar.

Mengapa bermain itu produktif bagi kanak-kanak? Bermain akan memberikan kepuasan sosial, kepuasan eksperimentasi pelbagai kemahiran, serta kepuasan dan novelti terhadap outcome akhir permainan mereka.

 

2. Membantu Perkembangan Pelbagai Kemahiran

Semasa bermain, kanak-kanak akan menggunakan segala kemahiran yang mereka ada. Bermain bersama rakan dan adik-beradik hampir sebaya juga akan memberikan kanak-kanak pengalaman baru yang tidak akan mereka dapati dari interaksi bersama orang dewasa.

Pelbagai kemahiran akan diperkayakan: kemahiran sosial, kemahiran motor kasar, kemahiran motor halus, kemahiran kognitif, kemahiran berkomunikasi dan banyak lagi bergantung kepada jenis permainan yang dimainkan oleh anak-anak itu.

 

3. Membantu Pembelajaran Kendiri

Pembelajaran kendiri merujuk kepada pembelajaran kemahiran yang diperolehi dari pengalaman persekitaran. Pembelajaran kendiri tidak didapati dari sesuatu yang formal dan spesifik. Ianya sering didapati semasa kanak-kanak bermain, belajar sebab dan akibat dari keputusannya.

Pembelajaran kendiri adalah amat penting bagi memastikan kanak-kanak mempunyai keyakinan diri untuk membuat keputusan sendiri. Ini akan menggalakkan kanak-kanak berkembang menjadi seorang yang yakin diri, berani dan tahu timbang tara antara keputusan yang baik dan buruk.

 

4. Tugas Utama Kanak-kanak

Tugas atau ‘role’ merupakan antara perkara yang amat sering ditekankan oleh Occupational Therapist.

Kanak-kanak akan lebih mudah belajar melakukan sesuatu perkara semasa bermain. Terdapat satu jenis bermain yang dinamakan “pretend play” di mana kanak-kanak akan bermain olok-olok meniru persekitaran mereka.

Pada ketika ini kanak-kanak akan belajar siapa mereka, apa pentingnya mereka dalam persekitaran mereka dan perkaitan antara diri mereka dan persekitaran mereka.

 

5. Meningkatkan Keyakinan Diri

Keyakinan diri
Imej via Bessi

Apabila kanak-kanak dibenarkan bermain secukupnya, kanak-kanak akan dapat menggunakan sepenuhnya kemahiran mereka. Ini akan membina jati diri, keyakinan diri dan personaliti positif dalam diri kanak-kanak.

 

6. Menggalakkan Perkembangan Sosial & Komunikasi.

Semasa bermain, terutamanya kanak-kanak 2 tahun dan ke atas, interaksi sosial dan komunikasi pasti berlaku. Itu adalah lumrah semulajadi bermain yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada kanak-kanak.

 

Q-15: Untuk Ibu Bapa Pantau Perkembangan Anak-Anak

Saya sering galakkan ibu bapa untuk luangkan sekurang-kurangnya 15 minit setiap hari untuk bermain bersama anak-anak.

Kenapa hanya 15 minit? Kerana waktu-waktu yang lainnya, kanak-kanak harus dibenarkan untuk eksplorasi sendiri, bermain bersama kawan-kawan.

Namun, pastikan anda pantau perkembangan bermain anak-anak anda. Anak-anak yang masih dalam solitary play (bermain sendiri dan tidak minat bermain bersama rakan) bila sudah melebih usia 2 tahun adalah berisiko mempunyai kelewatan perkembangan.

Semoga bermanfaat!

Pendapat Anda?

comments

error: Content is protected !!