Tidak mudah untuk membina keyakinan diri kanak-kanak. Ianya memerlukan satu kemahiran yang tersusun dan berhikmah. Di sini kami kongsikan sebuah perkongsian yang cukup cantik tentang bagaimana membina keyakinan diri kanak-kanak secara Islam oleh DiariMukmin.

Membina Keyakinan Diri Kanak-Kanak

Rasulullah menggunakan beberapa kaedah dalam membina keyakinan dalam diri anak. Beliau melakukan pelbagai kaedah agar anak-anak membesar sebagai insan yang kuat dan berkeyakinan diri.Di dalam kitab Manhaj at-Tarbiyyah an-Nabawiyyah lith Thifl karangan Muhammad Nur Abdul Hafizh Suwaid, dinyatakan antara kaedah-kaedah yang diguna-pakai oleh Rasulullah dalam membina keyakinan anak-anak adalah:

 

4 Panduan Indah Membina Keyakinan Diri Kanak-Kanak

1. Menguatkan Keinginan Anak

Kanak-kanak mempunyai perasaan dan keinginan yang tinggi terhadap sesuatu perkara. Untuk membina kekuatan mengawal keinginan, anak-anak harus dibiasakan dengan dua perkara berikut:

a.) Membiasakannya menyimpan rahsia. Sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah terhadap kanak-kanak di sekelilingnya seperti Anas dan Abdullah bin Ja’afar RA. Ini kerana apabila si anak belajar untuk menjaga rahsia dan tidak membocorkannya, pada masa itu juga, keinginannya menjadi semakin kuat sehingga timbul rasa percaya yang menebal pada dirinya.

Aplikasikan pada anak anda: Beritahu sesuatu rahsia pada anak anda dan katakan padanya ia adalah suatu rahsia yang harus dijaga. Contoh: “Along, minggu depan adalah birthday Umi. Jangan beritahu Umi hadiah yang kita beli ini!”

b.) Membiasakannya berpuasa. Apabila si anak berjaya menahan lapar dan dahaga semasa berpuasa, dia akan merasakan dirinya mempunyai kekuatan untuk mengalahkan dirinya sendiri. Kesannya, keinginannya dalam menghadapi cabaran hidup semakin kuat dan tabah. Perkara ini sudah tentu dapat meningkatkan keyakinan dirinya.

Aplikasikan pada anak anda: Mengajar anak agar mengambil pengajaran dari ibadah berpuasa. Contoh: “Tahniah! Angah dah berjaya berpuasa sebulan Ramadhan. Waktu berpuasa kita sentiasa bersabar dan menahan dari dari perasaan marah. Sekarang Angah harus lebih sabar dengan karenah adik!”

 

2. Membina Keyakinan Sosial

Apabila seseorang anak berjaya menyelesaikan sesuatu tugasan di rumah atau melaksanakan perintah kedua ibu bapanya, perasaan keyakinan dirinya akan tersemai kuat di dalam dirinya. Kebolehannya berdialog dan berkomunikasi dengan orang-orang dewasa, berkumpul dah bermain bersama anak-anak lain juga boleh menumbuh dan mengukuhkan keyakinan sosial di dalam dirinya.

Aplikasikan pada anak anda: Sewaktu menziarahi teman anda, jangan lupa belikan buah tangan dan suruhlah anak anda untuk memberi buah tangan tersebut. Contoh: “Along, nanti bila kita sampai di rumah Uncle Nizam, jangan lupa bagi kerepek ubi ni. Katakan padanya Abi belikan kerepek ni special untuk Uncle Nizam tau!”

 

3. Membina Keyakinan Ilmiah

Keyakinan ilmiah dibina melalui pembelajaran Al-Quran, sunnah Rasulullah SAW dan sejarah hidup beliau. Si anak akan tumbuh membesar dengan berbekalkan pengetahuan yang cukup mendalam. Pengetahuan yang terbina dari ilmu yang pasti dan bebas dari pelbagai khurafat dan khayalan ini lebih membentuk keyakinan anak-anak berbanding komik-komik yang bersifat imaginasi dan tidak realistik.

Aplikasikan pada anak anda: Jangan lupa untuk selalu bercerita pada anak-anak anda tentang sejarah hidup Rasulullah SAW terutamanya ketika mereka hendak tidur. Anak-anak mesti tidak sabar untuk mendengar kisah-kisah menarik daripada anda. Disebalik kisah-kisah tersebut, selitkan moral cerita yang boleh menjadi pengajaran berguna buat mereka.

 

4. Membina Keyakinan Kewangan

Anak-anak yang telah dapat menguruskan dirinya hendaklah dibiasakan untuk membantu dalam urusan menguruskan wang dan berbelanja.Diriwayatkan oleh Malik dari Sulaiman bin Yasar: Makanan Sa’id bin Abi Waqqas telah habis. Dia berkata kepada pembantunya yang masih muda, “Ambillah tepung kemudian tukarkanlah dengan gandum. Timbangannya harus sama.”Rasulullah SAW melihat Abdullah bin Ja’far yang saat itu masih muda sedang melakukan transaksi jual-beli. Lalu beliau mendoakan keberkatan untuknya.

Aplikasikan pada anak anda: Ajarlah anak anda nilai wang yang diterima dan bagaimana mereka harus menjaga dan menggunakan wang tersebut dengan betul.

Demikianlah dapat kita perhatikan betapa telitinya Rasulullah SAW dalam membina peribadi anak-anak sehingga mereka berjaya menjadi generasi pewarisnya yang terbaik.

 

Kredit artikel : DiariMukmin

Penulis: Tasneem Haneem

Tasneem Haneem merupakan penulis di Bidadari.My. Minat dengan tulisan kekeluargaan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.