Perasaan anak-anak?

Apa yang kita tahu tentang perasaan anak-anak kita?

Adakah kita sudah cukup memahami perasaan mereka?

Bagaimana kita mahu didik anak-anak untuk mengurus perasaan mereka dengan baik?

Emosi

Imej via 30seconds.com

Menafikan perasaan anak adalah satu kesilapan yang sering kita terlepas pandang sebagai ibu bapa. Adakah situasi-situasi di bawah yang boleh dijadikan contoh dalam penafian perasaan anak-anak sering berlaku kepada kita juga?

    • Anak: “Abang sedih. Kawan abang tak nak main dengan abang hari ini. Mungkin dia dah tak suka berkawan dengan abang”.
    • Ibu: “Kawan abang penat sebab tu yang dia tak nak main dengan abang. Bukannya dia tak suka abang”.

 

    • Anak: “Abang benci jurulatih bola abang. Dia tak benarkan abang berlatih hari ini kerana lewat datang latihan”.
    • Ibu: “Abang tak boleh cakap macam tu dengan jurulatih. Abang yang salah tidak menepati waktu latihan”.

 

    • Anak: “Baju warna kuning ini tidak cantik. Kakak mahu baju warna merah juga!”
    • Ibu: “Kakak dah banyak baju warna merah. Ambil baju kuning pula kalau tidak tak payah beli”.

Selalukan dialog-dialog di atas kita ucapkan kepada anak-anak?. Penafian yang berterusan ini akan menyebabkan anak-anak keliru dan akhirnya akan membuatkan mereka bertambah marah kerana ibu bapa tidak percaya akan kata-kata dan tidak cuba untuk memahami mereka.

Penafian perasaan

Imej via edition.cnn.com

Sebagai ibu bapa kita perlulah meraikan perasaan anak-anak dan menjadi pendengar yang baik apabila mereka meluahkan perasaan. Beri mereka peluang meluahkan rasa hati walaupun ia sesuatu yang negatif kerana dari situ kita boleh berikan tunjuk ajar bagaimana untuk mereka menguruskan emosi dengan baik.

Merujuk kepada Adele Faber dan Elaine Mazlish dalam buku yang bertajuk “How To Talk, So Kids Will Listen”, mereka menggariskan 4 cara yang berkesan sebagai panduan kepada ibu bapa dalam membantu anak-anak menguruskan perasaan dan emosi mereka.

1. Mendengar Dengan Sepenuh Perhatian

Apakah perasaan jika kita bercakap tetapi orang melihat telefon? Hanya acuh tidak acuh mendengar. Sudah pasti sakit hati bukan? Begitu juga anak kita, pastikan kita mendengar dengan postur badan dan respons yang baik.

Halakan badan ke arah anak dan pastikan mata kita selaras dengan mereka. Dengar setiap bicara, luahan mereka dengan perasaan empati. Seolah-olah kita berada di tempat mereka.

Kadangkala,  perhatian tanpa suara itu adalah yang diperlukan anak. Hanya PERHATIAN dari ibu bapa sudah memadai.

Memberi Perhatian

Imej via www.delfi.lt

2.  Meraikan Perasaan Anak

Raikan perasaan mereka dengan perkataan “Oh”, “Mmmmm”, dan “Begitu..”.

Ekspresi seperti ini ditambah dengan sikap ambil berat daripada ibu bapa akan membuatkan anak-anak lebih menerokai fikiran dan perasaan mereka.

Akhirnya, anak mungkin menemui jalan penyelesaian mereka sendiri terhadap permasalahan yang dihadapi.

Respons yang sesuai

Imej via think.kera.org

3. Namakan Perasaan Anak

Bagaimana cara untuk menamakan perasaan anak? Mari lihat contoh di bawah:

  • Jika anak sedih (respons) ➡ “Awak nampak sedih berpisah dengan kawan awak”.
  • Jika anak gembira (respons) ➡ ” Awak berdua nampak gembira bermain bersama”.

Dengan memberikan respons begini, anak-anak akan lebih mudah ditenangkan jika dalam keadaan marah, sedih atau takut kerana merasakan ada orang yang memahami perasaan dan pengalaman mereka.

4.  Tunaikan Permintaan Anak Secara Imaginasi

Apabila anak mahukan sesuatu yang mereka tidak boleh dapatkan, selalunya ibu bapa akan memberikan alasan logik sebab mengapa anak tidak boleh dapatkan sesuatu yang diinginkan seperti “basikal itu mahal”, “mainan itu tidak berfaedah”, dan “biskut itu sudah habis”.

Sebenarnya, kita boleh menukar pernyataan di atas kepada pernyataan yang lebih mesra dan positif. Ajak mereka berimaginasi bersama-sama seolah-olah kita tetap cuba menunaikan permintaan mereka walaupun secara fantasi sahaja.

Contohnya, “Ibu harap ibu ada kuasa magis untuk keluarkan kotak biskut yang baru kepada awak” dan “Mari kita melukis basikal bersama- sama, mesti basikal yang dilukis kamu lebih cantik dari itu”.

Imaginasi

Imej via blog.readingeggs.com

Namun, sebenarnya, sikap kita memainkan peranan yang lebih penting daripada apa yang kita ucapkan. Seiringkan setiap ucapan kita dengan perasaan empati supaya anak-anak akan merasakan yang ibu bapanya memahami setiap perasaan yang diluahkan mereka. Kuncinya ialah EMPATI!

Selamat mencuba ?.

 

Sumber: Buku “How To Talk So Kids Will Listen & Listen So Kids Will Talk”

Penulis: Faz

Merupakan graduan Psikologi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan sekarang memilih untuk menjadi surirumahtangga sepenuh masa demi keluarga. Seorang ibu yang sangat mempunyai minat yang mendalam dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak dan kekeluargaan. Diharapkan dapat berkongsi ilmu seluas-luasnya dengan masyarakat melalui setiap penulisan yang ditulis. Klik sini untuk Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.