Nak tahu khasiat buah tin?

Pengenalan

Buah tin atau nama saintifiknya Ficus carica adalah dari keluarga mulberi yang banyak tumbuh dan mudah didapati di wilayah Asia Barat. Buah ini juga disebut ‘fig’ dalam bahasa Inggeris, atau lebih dikenali sebagai buah tin di negara kita.

Nama buah tin juga ada disebut dalam al-Quran menerusi surah at-Tin, yang berbunyi;

“Demi (buah) Tin dan (buah) Zaitun.”

(at-Tin: 1)

Ada pelbagai tafsir mengenai ayat ini, termasuklah khasiat dan kebaikannya kepada kesihatan. Kemanisan buah tin dan kelembutannya seringkali digunakan sebagai pengganti gula. Buah tin yang telah diproses dijadikan pai, puding, kek, jem, jeli, jeruk, dan pelbagai lagi.

Selain mudah hidup dan senang dijaga, buah tin yang dikeringkan banyak ditemui di merata tempat sepanjang tahun.

Imej via Bidadari

1001 Khasiat Buah Tin Yang Istimewa

Buah tin adalah antara buah sunnah yang sangat sesuai untuk dijadikan amalan serta  makanan seharian. Kebaikan dan khasiat buah ini terbukti dengan pelbagai kajian yang dilakukan ke atasnya.

Berikut adalah beberapa fakta menarik mengenai buah tin ini. Kelebihan khasiat buah tin ini adalah berdasarkan laporan kajian lepas yang telah banyak diterbitkan secara saintifik.

Penyelidik dari Argentina pada tahun 2014 mengulas mengenai pengambilan buah tin yang digalakkan dalam bentuk buah yang sudah masak ranum yang mengandungi banyak nutrien. Malah, kulit buah tin dilaporkan mengandungi sumber antioksidan yang paling banyak.

Sementara itu, para penyelidik dari Fakulti Farmasi, UKM, pada tahun 2013 mengulas bahawa buah tin sudah lama diamalkan dalam petua pemakanan masyarakat seluruh dunia untuk merawat masalah kesihatan seperti masalah penghadaman, diarrhea, masalah pernafasan, keradangan dan penyakit berkaitan kardiovaskular.

1. Kandungan nutrien yang tinggi dan baik untuk tubuh

Buah tin mempunyai banyak mineral, vitamin dan serat yang biasa ditemui dalam buah-buahan lain. Ia juga mempunyai vitamin A, vitamin B1, vitamin B2, kalsium, zat besi, fosforus, mangan, sodium, potassium dan klorin.

Buah tin yang dikeringkan juga didapati masih mengekalkan nutrien yang mengandungi serat serta sebatian antioksidan yang tinggi dalam bentuk polifenol, masing-masing sebanyak 1230 dan 360 mg/100 gram.

2. Tinggi kandungan serat baik untuk penghadaman

Terdapat 5 gram serat dalam setiap 3 hidangan buah tin. Ketinggian kandungan seratnya membantu terutama pada bahagian usus iaitu mengelakkan masalah sembelit dan juga cirit-birit.

Kandungan serat ini juga membantu mengurangkan berat badan.

Justeru, ia selalu dicadangkan kepada mereka yang mengalami obesiti. Namun, awas kandungan kalorinya yang tinggi jika dimakan dengan terlalu banyak boleh menyebabkan peningkatan berat badan terutama sekiranya dimakan bersama susu.

3. Menurunkan kandungan kolesterol

Buah tin mengandungi pektin, iaitu sejenis serat boleh larut. Ia membantu mengurangkan tahap kolesterol berlebihan dari dalam badan.

Berdasarkan analisis makmal, buah tin didapati mengandungi 0% kolesterol dan sodium yang ternyata tidak akan menyebabkan pertambahan kolesterol sekiranya dimakan.

4. Mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular

Buah tin yang dikeringkan mengandungi phenol, omega 3, dan omega 6. Asid-asid lemak ini berfungsi mengurangkan risiko penyakit jantung.

Kandungan potassium yang tinggi dan sodium yang rendah dalam buah tin merupakan pertahanan terbaik untuk kesan hipertensi. Jadi, ia bagus untuk mengawal tekanan darah individu yang memakannya.

5. Petua alternatif masalah seksual atau kesuburan

Masyarakat India menggunakan buah tin sebagai salap bagi penyakit kelamin. Sejak beratus tahun lamanya, buah tin digunakan untuk mengubati atau mengurangkan masalah disfungi seksual.

Mitos dan budaya menerimanya sebagai makanan tambahan untuk kesuburan. Ini mungkin disebabkan oleh vitamin dan mineral di dalamnya yang menggalakkan tenaga dan stamina.

6. Melawan pertumbuhan bakteria

Kajian penyelidik UKM turut menjumpai kesan aktiviti antimikrob buah tin khususnya dalam melawan pertumbuhan bakteri dalam mulut.

Menariknya, getah pada pokok buah tin juga berperanan sebagai agen antibakteria dan antikulat yang sangat baik.

Tidak hairanlah, petua orang zaman dahulu ada menggunakan getah pokok tin yang disapu pada ketuat mahupun kulit bagi mengurangkan kegatalan. Pes buah tin juga disapu pada permukaan kulit yang merah atau kesakitan bagi memberikan kelegaan.

Imej via Bidadari

Keburukan Jika Diambil Berlebihan

Seperti makanan lain yang jika dimakan secara berlebihan akan memberikan kesan buruk kepada tubuh, begitu juga dengan buah tin; ada beberapa keburukannya jika diambil berlebihan, iaitu;

  1. Makan buah tin secara berlebihan boleh menyebabkan cirit-birit.
  2. Buah tin yang dikeringkan dan diambil pada kadar yang berlebihan pula boleh menyebabkan kerosakan gigi kerana kandungan gulanya yang tinggi (49.0 gram dalam setiap 100 gram hidangan).
  3. Anda juga dinasihatkan agar tidak memakan buah tin beberapa minggu sebelum pembedahan kerana ia boleh menyebabkan pendarahan. Terdapat juga individu yang alergi dengan buah tin.
  4. Bagi sesetengah orang yang alah atau  alergik  dengan buah ini, dapatkanlah nasihat doktor terlebih dahulu.

Kesimpulan

Oleh itu, kenalah pada tempatnya dengan gelaran buah tin ini sebagai ‘buah syurga’, lantaran banyak keistimewaan yang terkandung dalamnya yang masih ramai belum ketahui. Walaupun kecil tetapi khasiatnya melimpah ruah.

Kajian berterusan juga terus giat dijalankan bagi merungkai keistimewaan buah tin ini.

Jadi, ayuhlah kita sama-sama menjadikan buah ini sebagai satu lagi makanan harian yang menyihatkan tubuh badan kita seperti yang disarankan oleh Rasulullah SAW. Selamat mencuba!

Imej via Bidadari

Rujukan

  1. Organicfacts
  2. Barolo, M. I., Mostacero, N. R., & López, S. N. (2014). Ficus carica L.(Moraceae): An ancient source of food and health. Food chemistry164, 119-127. (link)
  3. Mawa, S., Husain, K., & Jantan, I. (2013). Ficus carica L.(Moraceae): Phytochemistry, traditional uses and biological activities. Evidence-Based Complementary and Alternative Medicine2013. (link)

Artikel ini telah dikemas kini oleh Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof.

Penulis: Tasneem Haneem

Tasneem Haneem merupakan penulis di Bidadari.My. Minat dengan tulisan kekeluargaan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.