Sang faqir seringkali diajukan oleh sahabat-sahabat, kebanyakannya dalam bentuk gurauan, dengan soalan.

“Bila hendak tambah cawangan lagi? Kalau ada 2 mudah uruskan urusan.”

Lazimnya sang faqir akan tersenyum sahaja.

Adakala ada dari kalangan sahabat begitu bersungguh untuk berpoligami dan kalimat yang sering mereka garistebalkan adalah Sunnah, sang faqir akan soalkan semula,

“Berapa banyak sunnah Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam yang antum dah istiqomah setakat ini?”

Ada yang tersenyum siput, ada yang menjawab dengan yakin dan ada yang hanya terdiam.

Adakah sang faqir tidak berminat untuk berpoligami?

Jawapan persoalan itu sebenarnya harus hadir dalam bentuk Iman dan Empati (bukan simpati). Apabila jawapan sang faqir berikan, ada juga yang berbunyi,

“Ala, jenis takut bini ni. Tidak mahu mengaku.”

Sang faqir hanya boleh tersenyum.

Izinkan sang faqir berkongsi sebuah cerita benar kisah seorang wanita hebat di sisi sang faqir, tatkala susah, tatkala senang.

tips poligami

Sang faqir bernikah dengan isteri sang faqir yang tiada meminta sebarang hantaran dan dengan mas kahwin sebanyak rm88.80 sahaja serta sebentuk cincin belah rotan berharga rm90.

Seawal pernikahan kami, kami diuji dengan kesusahan yang tiada tergambar bagi pasangan yang baharu menikah.

Seawal pernikahan, yang waktu itu masih belajar, diuji akan kami dengan masalah kewangan, sehinggakan 10 sen yang bergolek masuk ke longkang dari poket, kami kejar, dek kerana tiada wang yang cukup untuk membeli makan. Dan ketika itu, sang faqir hanya mampu menahan air mata melihat isteri sewaktu itu ALLAH hadirkan benih ke dalam rahimnya.

Saat itu, wanita ini bersuara,

“Abang, jangan risau, Nur ok, kita susah sama-sama. Nur selalu dengan abang. ALLAH selalu dengan kita.”

Kata-kata semangat ini masih segar sehingga saat ini yang diucapkan ketika sebulan sang faqir sakit terbaring sakit, tidak mampu bangun dan bekerja, malahan wanita inilah yang bekerja dan dalam masa yang sama menjaga kebajikan sang faqir yang terbaring lemah. Apatahlagi dalam keadaan membawa benih di dalam rahim.

Kami diuji ALLAH dengan jiran langsung tidak mengambil tahu hal ehwal kami. Kami dipandang seumpama kucing kurap. Ketika sang faqir dalam keadaan yang lemah dengan keadaan ini, wanita ini bersuara,

“Takpe abang, biarlah orang tidak pandang kita, asal kita tidak buat pun benda salah, kita buat yang betul saja.”

Ketika sang faqir diuji ALLAH dengan hal keadaan semua majikan tidak mahu menerima sang faqir bekerja, wanita ini bersuara,

“Macam ni, abang jaga anak di rumah, biar Nur yang kerja, kita makan apa yang ada saja. Nanti ada rezeki, abang pula kerja. Abang sabar ya.”

Sewaktu sahabat lain sedang gembira menyambut majlis konvokesyen meraikan tamat zaman pengajian, wanita ini sedang sibuk di rumah menjaga suami yang terbaring sakit walaupun pada hakikatnya dia sepatutnya berada di majlis tersebut kerana kecemerlangannya, apabila ditanya, kenapa tak pergi ikut rombongan konvo, jawab wanita ini,

“Abang lebih penting bagi Nur, lebih penting dari segalanya. Nur nak duduk di sisi abang.”

Sewaktu sedang sarat hamil membawa Hafidz Nuruddin di dalam kandungan, dek kerana ingin mengumpul wang sendiri supaya tidak menyusahkan sang faqir apabila dirinya dalam pantang kelak, wanita ini sanggup mengambil upah membuat urutan dan bekam sehingga beberapa kali hampir pitam.

Apabila dilarang, wanita ini bersuara,

“Nur kerja untuk kita semua, kita sama-sama susah, kita sama-sama senang. Apa-apa jadi kat Nur, abang guna duit Nur, jaga anak-anak kita.”

Jadi, dengan pengorbanan demi pengorbanan ini, adakah suatu yang baik dan elok untuk sang faqir merasakan poligami itu baik untuk sang faqir?

Sebagaimana keadaannya Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam tidak menduakan Sayyiditina Khadijah At Thohirah sewaktu dalam hayat beliau, kerana pengorbanan dan kesetiaan Sayyiditina Khadijah RadhiyALLAHu Anha, seperti itulah keadaannya sang faqir kepada isteri tersayang.

Maka, tidak berpoligami bukan bermaksud tidak menyokong sunnah dan berpoligami juga bukan bermaksud hidup dalam sunnah.

Imbangilah sesuatu keadaan dengan waras, empati dan kasih sayang.

Sunnah Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam bukan poligami semata-mata.

Penulis: Wan Asrul Al-Kalantani

Wan Asrul Al-Kalatani merupakan salah seorang hamba Allah yang banyak memberi tips kekeluargaan dari sudut Islamik. Beliau boleh dihubungi di Facebooknya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.