Ramai yang bertanya, bagaimanakah cara untuk membuatkan anak kita takut pada ALLAH? Kurangkan hiburan televisyen dan hal-hal hiburan lalai yang lain?

InsyaALLAH wa BiAunILLAH. Perkongsian seterusnya ada dalam artikel ini.Cara kami boleh jadi salah bagi kalian, boleh jadi tidak sesuai buat kalian, boleh jadi tidak updated dengan kalian, tapi yang penting anak-anak kami seronok dan suka dengan cara tersebut.

Didik anak

Jadi, tiada paksaan untuk ikut atau tidak mahu ikut, kerana masing-masing mempunyai perancangan sendiri yang terbaik untuk anak masing-masing.

Berbalik kepada persoalan BAGAIMANA?

Ianya mempunyai 4 fasa utama iaitu;
1) Diri pertama
2) Diri Kedua
3) Hasil
4) Penetapan

Diri pertama, merujuk kepada IBUBAPA itu sendiri. Jika ibubapa ‘kaki gajet’, ‘kaki layan FB’, ‘kaki dvd’ dan segala kaki yang ada, serba sedikit unsur jangkitan akan berlaku. Hal inilah yang diterapkan oleh sang faqir dan isteri, iaitu mengurangkan atau menghadkan penontonan televisyen, jika ingin menonton, mereka perlu menonton bersama-sama, hal ini memerlukan pengasahan.

Anak-anak perlu dibentuk dengan adab terlebih dahulu sebelum adab tersebut menjadi displin hidup mereka. Setakat ini, anak-anak jika mereka memakai jubah, perkara yang tidak akan tertinggal adalah kufiah dan serban. Kenapa? Kerana mereka ikut setiap perkara yang mereka lihat.

Gajet adalah dilarang bagi mereka, terutamanya ‘games’ baik di dalam gajet smartphone atau sebarang bentuk permainan stimulasi. Jika ada penggunaan gajet pun, hanya untuk sampingan pembelajaran, contoh jika tiada pen dan kertas (jika berada di luar rumah).

Kenapa ya? Kan itu dah macam membuatkan anak jadi jumud, konservatif dan kolot. Soalan yang sama sang faqir tanya, adakah dengan memberi gajet kepada anak, ada JAMINAN mereka akan menjadi Progresif, Inovatif, Moden dan Positif? Jika ada jaminan, sila teruskan, tiada masalah.

Cuma setakat ini pemerhatian cetek sang faqir, kebanyakan (bukan semua) ibubapa yang menyediakan gajet khas lagi khusus kepada anak-anak mereka adalah disebabkan supaya anak tersebut tidak merajuk, tidak mengganggu mereka membuat kerja dan menjadi ralit dengan gajet tersebut, ini kebanyakan, bukan semua. Maka, penggunaan gajet dalam membantu membina sahsiah diri anak-anak masih tidak relevan bagi sang faqir yang dhoif ini.

Jadi, sekarang bermaksud anak-anak sang faqir memang buta IT? InsyaALLAH tidak mudah-mudahan, mereka tidak buta IT, malahan mereka mahir menggunakan Microsoft Office dan Adobe Program (Adobe Photoshop dan Illustrator), malahan Hakimy banyak membantu sang faqir menyediakan nota kuliah.

Tidak memberi gajet, tidak bermaksud menghalang kemajuan pada diri mereka, kemodenan perlu digunakan pada hal yang sepatutnya, pendek kata anak-anak kecil tidak memerlukan gajet tetapi mereka memerlukan kasih sayang dan belaian.

Sang faqir tidak terlepas terkena teguran daripada Hafidz(3 tahun), “Papa, jangan banyak main handset, nanti lupa ALLAH tau.”

Teguran dari anak kecil yang lekat dalam fikiran dan jiwa sang faqir, amat malu.

Hakimy juga ada menegur sang faqir, “Papa, handphone tak boleh bawa masuk kubur tau.”

Malu sebenarnya, walaupun mereka tidak tahu bahawa sang faqir sibuk menjawab panggilan atau menjawab pertanyaan orang yang bermasalah. Jadi, tidak boleh marahkan mereka kerana mereka sudah diDEDAHkan dengan tidak memandang gajet. Maka, pendek kata, tidak kolot jika tidak beri gajet pada anak-anak.

Jadi, bagaimana cara hendak menarik mereka kepada Al Quran atau buku atau belajar? Maka, ini berbalik kepada fasa kedua, iaitu diri kedua. Diri kedua merujuk anak-anak itu sendiri. Ianya melibatkan PENDEDAHAN. Anak-anak perlu didedahkan dengan perkara yang mereka sepatutnya didedahkan. Perkara paling utama didedahkan adalah KENAL ALLAH atau mudahnya Ilmu Tauhid.

Mereka bukan sahaja perlu dididik menghafal sifat 20 malahan perlu diberi faham akan hal tersebut. Kenal mereka kepada PENCIPTA mereka, maka kenallah diri mereka adalah lemah dan perlu taat, jadi hal ini secara tidak langsung menimbulkan rasa khauf(takut) dan raja’(harap) pada ALLAH.

Sebagai contoh, Hakimy pernah diuji semasa di kedai makan, sang faqir sengaja berkata, “Papa tertinggal duit, tak boleh bayar, Hakimy tunggu sini boleh tak? Papa gi ambil duit.”

Jawapan dari Hakimy (6tahun) agak mengejutkan, “papa, ALLAH kan ada, kita bukan buat jahat, ALLAH mesti tolong, biar Hakimy cakap dengan abang (cashier) tu.”

Hakimy terus ke kaunter dan berkata, “ Abang, papa saya tertinggal duit, tapi kami dah makan, boleh tak kami balik ambil duit, nanti datang balik, ALLAH kan ada, kami bukan orang jahat.” Cashier tersebut senyum malu-malu dengan percakapan daripada budak berusia 6 tahun.

Pendek kata, asas penting adalah perkenalkan ALLAH dan RasulNYA kepada anak-anak dalam bentuk Ilmu dan Amal. Itulah cara menarik mereka kepada ilmu bukan hiburan. Baik sangatkah anak-anak sang faqir? Tidak, bukan bermaksud baik sangat, tetapi sang faqir berharapan mereka menjadi Hamba ALLAH yang beriman, sebelum sang faqir atau isteri memejamkan mata meninggalkan dunia ini, itu sahaja, tidak lebih dari itu. Dan sang faqir yakin semua ibubapa di luar sana juga inginkan perkara yang sama.

Antara pendedahan yang lain adalah cara isteri sang faqir terapkan pada anak-anak, adalah berkongsi dengan mereka akan kesusahan dan keperitan mencari rezeki. Anak-anak sang faqir akan membantu isteri dalam menyusun produk, membungkus dan mengira produk.

Malahan antara tugas utama Hakimy adalah memandikan serta memakaikan adiknya Hafidz dan Khadijah (jika sang faqir berada di luar kawasan), mengumpul pakaian kering, melipat pakaian, mengemaskan tempat tidur dan rumah. Jadi, jangan terkejut atau pelik jika ke rumah sang faqir dan kalian melihat anak muda ini berpeluh-peluh menyapu di luar rumah. Ini adalah cara menarik mereka dari alam kelalaian dan keseronokan tanpa faedah.

Satu perkara lagi, elakkan bentuk perjanjian memberi hadiah jika boleh buat itu ini, kerana secara tidak langsung, moral mereka akan jatuh kerana mereka melakukan sesuatu untuk sesuatu, bukan kerana ALLAH dan kasih sayang kepada ibubapa.

Susahnya? Tidak susah jika cuba dan terus mencuba. Ibubapa perlu bersungguh-sungguh dan tiada istilah putus asa dalam mendidik anak-anak, mereka adalah pembawa payung kita di padang masyar kelak, mereka juga pembimbing kita ke telaga Kautsar untuk bersama Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam.

Kelak di akhirat, ALLAH tidak akan tanya kita, apakah pekerjaan anakmu dahulu di dunia? Tetapi ALLAH akan tanya, bagaimanakah kamu menjaga anak-anakmu dan keluargamu? Mampukah kita menjawab akan persoalan itu jika kita tidak membuatnya.

APAKAH TIDAK BERGETAR HATI KITA MEMBACA DAN MENDENGAR Firman ALLAH Jalla Wa Ala yang berbunyi:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

‘Hai orang-orang yang beriman, PELIHARALAH DIRIMU DAN KELUARGAMU DARI API NERAKA yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai ALLAH terhadap apa yang diperintahkanNYA kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.’

ALLAHu ALLAH. AstaghfirULLAH. Gerun memikirkannya.

InsyaALLAH, sampai di sini dahulu perkongsiannya. Jika berkesempatan lain masa, sang faqir akan kongsikan lagi.

Penulis: Wan Asrul Al-Kalantani

Wan Asrul Al-Kalatani merupakan salah seorang hamba Allah yang banyak memberi tips kekeluargaan dari sudut Islamik. Beliau boleh dihubungi di Facebooknya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.