Anak Saya Suka Sangat Gigi Sampai Rosak Baju, Pensel!

Menggigit dan memasukkan barang ke dalam mulut merupakan perkembangan NORMAL untuk anak-anak sehingga usia 2 tahun. Ada anak-anak yang masih menggigit sehingga 3 tahun. Itu pun masih tidak mengapa. Hanya perlu ingatkan mereka untuk ‘tangan turun bawah’ berulang-kali sehingga mereka faham.

Anak gigit
Imej via polya3020

Namun, jika perkara ini berlarutan dan kelihatan seperti habit yang juga seterusnya mengganggu kefungsian anak dan merosakkan harta bendanya (baju berlubang, pensel patah) serta dilihat memudaratkan kesihatan mereka, anak-anak ini perlu dibantu.

Ada anak-anak yang PERLU menggigit. Jika tidak, mereka akan berasa tidak keruan dan tidak tenang.

Ada anak-anak yang menggigit pada ketika emosi mereka sedang celaru: takut, panik, risau.

Dari sudut pandang seorang OT yang mempraktikkan teori integrasi sensori, perilaku menggigit yang berterusan ini dilihat sebagai perilaku “mencari sensori” (sensory seeking). Anak-anak ini keinginan (craving) input sensori proprioseptif terutama di bahagian oralnya.

Berikut merupakan antara aktiviti yang anda boleh lakukan untuk anak anda yang boleh anda praktikkan:

 

1. Perbanyakkan Aktiviti Bersifat Proprioseptif Dalam Rutin Harian Anak

Aktiviti bersifat proprioseptif adalah aktiviti-aktiviti yang memberikan bebanan kepada sendi tubuh seperti mengayuh basikal, mengangkat bekas pakaian kotor, menolak troli membeli-belah, menendang bola dan melompat pada trampoline.

Aktiviti ini merangsang sistem proprioseptif seluruh tubuh anak dan akan mengurangkan keinginan untuk melakukan perilaku mencari sensori seperti menggigit.

 

2. Berikan Snek Yang Bersifat Liat Atau Keras

Snek yang bersifat liat atau keras akan merangsang sensori proprioseptif dalam kawasan mulut anak-anak.

Anda boleh menyediakan makanan seperti kekacang, keropok, keropok lekor (bagus sekali untuk memberikan rasa liat), buah-buahan rangup seperti epal, kerepek-kerepek, biskut seperti kraker untuk snek anak anda.

 

3. Berikan Peluang Anak Untuk Menghisap

Di pasaran terdapat pelbagai jenis straw (pelbagai bentuk, saiz) yang boleh digunakan oleh anak-anak. Pelbagaikan juga kelikatan air yang anak anda minum (air masak lebih ringan, smoothies buah-buahan lebih berat untuk dihisap).

Sekali-sekala, buatkan ais buah (puri buah-buahan yang dibekukan dalam bekas ais kecil-kecil) untuk dihisap oleh anak anda.

 

4. Beri Anak Main Alat Tiupan Pelbagai

Meniup akan memberikan input proprioseptif dan mengajar kepelbagaian pergerakan oral. Berikan anak anda main alat tiupan yang pelbagai untuk merangsang input proprioseptif bahagian oralnya.

Wisel, rekorder adalah lebih mudah untuk anak-anak usia 2 tahun ke atas. Anak-anak yang lebih besar, boleh berikan mereka tiup belon, tiup buih sabun.

Jika anak anda kesukaran meniup belon, ikatkan muncung belon pada potongan straw untuk membantu anak anda belajar meniup belon.

 

5. Gunakan Berus gigi Elektronik(Bergetar)

Memberikan berus gigi elektronik kepada anak-anak yang gemar menggigit juga merupakan ‘diet sensori’ yang akan membantu mereka untuk mengurangkan perilaku menggigit. Memberikan berus gigi elektronik yang bergetar (vibrating toothbrush) semasa memberus gigi akan memberikan input proprioseptif yang ‘intense’ pada anak-anak ini.

**Jika anak anda punya masalah untuk memberus gigi dengan berus gigi biasa, elakkan memberi berus gigi elektronik kerana ianya akan meningkatkan ‘anxiety’ anak anda pada aktiviti memberus gigi**

Semoga Bermanfaat

Penulis: Siti 'Aisyah Rozalli

Merupa seorang Occupational Therapist. Bertanggungjawab melakukan penilaian perkembangan bagi mengenal pasti jika anak anda ada kelewatan dalam kefungsian hariannya. Rajin berkongsi tentang perkembangan awal kanak-kanak. Boleh dihubungi Facebooknya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.