Wah! 10 Aktiviti Menarik Di Tasik Kenyir Bersama Keluarga

Tidak tahu hendak ke mana waktu cuti sekolah? Nah apa kata pergi membawa keluarga ke Tasik Kenyir.

Ada apa di sana? Apa yang boleh dibuat?

Ha,inilah hendak kami kongsikan.Aktiviti-aktibi menarik di sana.

Dengan keluasan 26000 hektar, Tasik Kenyir merupakan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara. Flora dan faunanya memukau pandangan sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini.

Jika anda mahu ke Tasik Kenyir, anda boleh memandu kenderaan sendiri, dengan kapal terbang atau dengan menaiki bas ke Kuala Terengganu. Ada bas dan juga teksi yang boleh anda sewa dari Kuala Terengganu ke Tasik Kenyir.

Tiba di Tasik Kenyir atau Pengkalan Gawi, bersedialah untuk aktiviti-aktiviti berikut:

1. Mandi-manda di Air Terjun

Tasik Kenyir bukan sekadar ada tasik tapi ada 14 air terjun! 5 air terjun yang paling popular di antara 14 itu ialah Air Terjun Lasir, Air Terjun Tembat, Air Terjun Saok, Air Terjun Sungai Buweh, dan Jeram Lata Terap.

Air Terjun Lasir mempunyai air terjun setinggi 500 kaki serta bertingkat-tingkat. Lantas menjadikan ia yang tercantik dan sesuai pula untuk mandi-manda. Tarikan Air Terjun Lasir ditambah dengan Menara tinjau dan jambatan gantung.

Untuk ke tempat air terjun, anda hanya perlu ke Pengkalan Gawi dan menyewa bot dari situ kecuali Air Terjun Sungai Buweh di mana pengunjung boleh pergi dengan kereta.

2. Berkayak

Harga yang perlu dibayar sangatlah murah iaitu kira-kira RM5-RM10 mengikut jenis kayak. Dengan harga semurah itu, pengunjung dapat berkayak selama mana yang mereka mahu.

Jadi, berkayaklah sepuas hati di sini sambil menghayati keindahan tasik dan sekitarnya.

3. Berkhemah di Tasik Kenyir

Tidur di dalam hutan, mandi sungai, dan makan ikan yang ditangkap dan dibakar sendiri – Bagi mereka yang suka aktiviti perkhemahan, ada banyak tapak perkhemahan disediakan di sekitar Tasik Kenyir.

Antaranya ialah Tapak Perkhemahan Gunung Lawit, Pengkalan Gai, Pulau Poh, Tanjung Bewah, Saok, Lasir dan Pulau Petang.

4. Mendaki Gunung Gagau

Mungkin keluarga anda suka berjalan di dalam hutan dan tidak akan terlepas dengan aktiviti mendaki. Gunung Gagau berketinggian 4,514 kaki dari paras laut dan kaya dengan tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan selain haiwan seperti tapir. Letaknya di sebelah Taman Negara, Pahang.

Mendakinya merupakan ujian fizikal dan mental tetapi sesuatu yang mengujakan bagi para pendaki. Namun begitu, gunung ini tidaklah terkenal sepertimana gunung yang lain di Malaysia kerana dikatakan kosnya yang tinggi menghalang minat sesetengah pendaki.

Namun, jika anda mahu mendakinya, pastikan anda mendapatkan kebenaran dari pihak berkuasa Taman Negara dan khidmat jurupandu khas terlebih dahulu.

5. Meneroka Gua Bewah dan Gua Taat

Ini gua bersejarah di mana para pengkaji arkeologi menemui barangan purba lalu menunjukkan adanya penempatan di sini suatu ketika dulu.

Gua Bewah ada banyak kelawar yang mengeluarkan najis sesuai untuk tujuan pembajaan. Jadi, anda dinasihatkan membawa penutup hidung. Pengunjung berjalan di tangga yang disediakan dengan cahaya lampu solar.

Anda juga boleh bawa lampu suluh anda sendiri. Seperti biasa, anda mungkin akan dapat melihat haiwan lain di dalamnya seperti ular putih.

Gua Taat pula berkedudukan 50% sehingga 70% di bawah paras air. Bila paras air naik, gua ini pun tenggelam. Jadi, pastikan anda mendapat maklumat di Pusat Penerangan Pelancongan atau di Pengkalan Gawi sebelum berkunjung ke gua ini.

Gua ini lebih mencabar daripada Gua Bewah. Ia lebih gelap dengan kedudukan tanah tidak sekata. Tapi di dalamnya anda akan menemui pelbagai jenis stalaktit dan akan menangkap bunyi air mengalir.

6. Memancing di Tasik Kenyir

Tasik Kenyir sememangnya dikenali sebagai syurga memancing bagi kaki pancing. Spesis ikan air tawar seperti toman dan kelisa adalah antara jenis ikan air tawar yang terdapat di sini.

Apa yang menyeronokkan adalah pemancing boleh menyewa bot rumah yang akan menyusuri sungai sampai ke air terjun. Selepas memancing, boleh mandi di air terjun dan berBBQ.

7. Memerhati Burung

Tasik Kenyir bukan sahaja syurga kaki pancing untuk mendapatkan ikan air tawar. Ia juga menjadi lokasi untuk peminat burung memerhati burung. Kira-kira 290 spesis burung ditemui di Tasik Kenyir dengan 9 spesis enggang yang sebelum ini hanya ditemui di Sarawak.

Ini menambah satu lagi tarikan kepada pelancong terutamanya yang datang dari luar negara. Dikhabarkan bahawa Pulau Terengganu Mati dipilih menjadi lokasi Taman Burung Kenyir.

8. Santuari Kelah Sungai Petang

Santuari Kelah Sungai Petang
Imej via Utusan

Cerita mengenainya sudah banyak terpampang di dada akhbar. Justeru, jika tidak singgah ke sini mungkin tidak lengkap percutian ke Tasik Kenyir. Lebih 5000 ikan kelah ada di kawasan ini. Ikan-ikan ini sangat jinak dan tidak takut untuk mengerumuni anda.

Tapi, hanya 100 orang yang dibenarkan masuk setiap hari di mana 80 orang terdiri daripada pelancong dari rumah bot. Manakala selebihnya pula yang memohon dari Kenyir Travel.

Mereka menutup santuari ini dari bulan November sehingga Februari untuk tujuan pemuliharaan dan akibat musim tengkujuh.

9. Melawat Taman Herba

15 minit perjalan dari Pengkalan Gawi akan membawa anda ke Taman Herba yang terletak di Pulau Sah Kecil. Dengan keluasan 15000 hektar, anda akan melihat sebanyak 26000 pokok herba!

10. Bermain air di Kenyir Water Park

Taman Tema Air Kenyir adalah tarikan terbaru di Tasik Kenyir. Pembinaan berfasa dengan kos lebih 7 juta ini amat sesuai bagi ibu bapa membawa anak-anak mereka beriadah.

Ada permainan air yang sesuai untuk anak kecil dan ada juga yang sesuai untuk remaja seperti Lake Playstation.

Harga Tiket: RM25 (dewasa), RM15 (Kanak-kanak),

Alamat: Jalan Bukit Merah, 34400 Semanggol, Perak.

Waktu Operasi: 1030am-530pm (Rabu-Isnin)

Ramai orang walaupun rakyat tempatan yang tidak mengetahui wujudnya aktiviti-aktiviti ini di Tasik Kenyir. Jika anda salah seorang daripada mereka, ambil peluang ini untuk mencuba aktiviti-aktiviti yang disediakan.

Kami di Bidadari.my pasti anda akan berasa seronok jika berada di sini.

Tasik Kenyir bukan sekadar sebuah tasik. Ia penuh dengan aktiviti meriangkan.

Selesai menulis sahaja artikel ini, kami tiba-tiba rasa semangat untuk ke sana pula. Jom kita pergi ke Tasik Kenyir sekarang!

Pendapat Anda?

comments

error: Content is protected !!