Bagaimana Mengatasi Pertengkaran dalam Perkahwinan- Ketahui Punca Masalah Sebenar!

Konflik atau masalah kadang-kala baik untuk hubungan anda. Apabila anda bertengkar dengan pasangan anda, itu menunjukkan bahawa anda selesa dengan diri anda sendiri dan anda tidak takut untuk menunjukkan sikap  sebenar anda. Walau bagaimanapun, pertengkaran yang terlalu banyak  atau kerap berlaku ialah keadaan dan cerita yang berbeza. Apabila setiap kesalahan kecil atau apabila isu remeh-temeh sering diperbesar-besarkan dan dibiarkan berlarutan, perkahwinan anda mungkin akan berada dalam keadaan huru-hara.

Untuk menyelesaikan sebarang konflik, selidiklah masalah sebenar yang terjadi dan ketahui punca atau sebab berlakunya masalah tersebut. Jika tidak, anda seperti seorang pakar bedah yang memotong daging pesakit tanpa melakukan diagnosis terlebih dahulu. Berikut antara sebab dan punca yang menyumbang kepada pertengkaran dalam perkahwinan.

 tips gaduh

Perbezaan Personaliti dan Perangai Pasangan

Semua orang pasti memiliki keistimewaan tersendiri. Maka, setiap orang juga pasti berbeza di antara satu sama lain. Ini membawa kepada perbezaan tafsiran dalam keutamaan, perspektif dan keputusan. Anda akan menemui dan mengetahui perihal yang berlainan tentang pasangan anda apabila anda mula hidup di bawah satu bumbung yang sama. Si isteri pasti tidak suka pabila suaminya menyelerakkan barang-barang setelah si isteri baru sahaja mengemas rumah, manakala si suami pula tidak suka isterinya balik lewat dari kerja dan tidak memasak untuknya di rumahnya.

Itu antara contoh perbezaan sikap dan personaliti yang menjadi punca pertelingkahan dalam perkahwinan. Walau bagaimanapun, selagi anda menghormati dan saling melengkapi antara satu sama lain, perbezaan personaliti dan sikap pasti tidak akan menjadi masalah besar dalam perkahwinan anda.

 

Masalah Kewangan

Kelangsungan hidup adalah amat penting untuk semua orang. Mempunyai sumber kewangan yang cukup dan stabil akan memberikan rasa selamat apabila seseorang jatuh sakit, apabila peti sejuk kehabisan makanan dan apabila bil-bil bulanan datang menjengah. Itulah sebabnya apabila anda menghadapi kesukaran untuk meneruskan hidup, anda akan berasa tertekan.

Tekanan disebabkan masalah kewangan ini akan menjadi dua kali ganda bebannya apabila anda mempunyai anak-anak kecil yang perlu anda tanggung dan jaga. Oleh sebab itu, penting untuk setiap pasangan untuk mengawal perbelanjaan semasa dan sentiasalah hidup bersederhana dan mengikut kemampuan.

 

Kecurangan

Kekal setia kepada pasangan anda ialah cabaran yang paling besar bagi orang-orang yang sudah berkahwin. Janji yang terungkap di hari bahagia suatu masa dahulu untuk sentiasa bersama perlu tersemat dalam fikiran setiap pasangan dan mestilah sentiasa dipelihara janji tersebut. Walau bagaimanapun, pasti akan ada pasangan yang terlupa akan janji-janji tersebut akibat perangai dan sikap mereka sendiri.

Apabila ini berlaku, perkahwinan anda akan bergelora, kemudiannya pertelingkahan dan pergaduhan pasti akan berlaku. Malah keadaan yang lebih buruk seperti perceraian mungkin akan terjadi. Oleh itu, peliharalah janji-janji anda untuk kekal bersama selamanya.

 

Salah faham antara pasangan

Kurang komunikasi ialah punca utama salah faham. Anda mungkin telah mengenali antara satu sama lain untuk jangka masa yang panjang tetapi ia tidak bermakna anda boleh melemparkan kata-kata cemuhan, dan menganggap pasangan anda membaca fikiran anda sepanjang masa atau tidak mengendahkan kata-kata pasangan anda. Untuk mengekalkan komunikasi yang berkesan dalam keluarga, sentiasalah memberi perhatian kepada apa sahaja yang pasangan anda katakan. Saling bertukar-tukar pendapat atau idea tentang perihal pasangan pasti akan menambahkan persefahaman antara satu sama lain.

Jarang berlaku masalah atau pertelingkahan bukanlah suatu tanda aras yang sahih dalam menentukan kebahagian sesuatu perkahwinan. Kematangan pasangan boleh diukur berdasarkan sejauh mana mereka boleh mengatasi masalah mereka, bagaimana mereka mengukuhkan hubungan mereka dan bagaimana mereka menjadi bertambah baik melalui sokongan antara satu sama lain. Berjuanglah untuk terus mengekalkan perkahwinan anda selama-lamanya!

Penulis: Tasneem Haneem

Tasneem Haneem merupakan penulis di Bidadari.My. Minat dengan tulisan kekeluargaan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.