, , ,

11 Perbuatan Kecil Boleh Mengekalkan Kebahagiaan Rumahtangga

Kunci kebahagiaan rumahtangga bukan hanya pada hadiah cincin berlian dan kereta mewah seperti yang dipaparkan golongan elite atau artis. Bukan juga pada kepuasan di bilik tidur seperti yang diiklankan perniagaan ubat kuat.

Rumah tangga yang bahagia boleh dikekalkan dengan memberi perhatian pada beberapa perkara kecil yang sebenarnya penting dalam menjaga perhubungan sesama pasangan. Hentikan berharap pasangan anda berubah menjadi seperti yang anda harapkan. Mulakan perubahan tersebut dengan diri anda sendiri, hari ini.

#1. Menjaga Solat

Semua sudah maklum, solat merupakan tiang agama. Kukuhnya agama, kukuhlah rumah tangga anda, inshaAllah. Tidak kira sesibuk mana anda dan pasangan, pastikan anda menjaga solat anda bersama-sama.

keluarga bahagia

Imej viawritingawesomeness

Saling mengingati sekiranya salah seorang daripada anda terleka. Paling baik sekiranya suami berjemaah di surau dan isteri menjaga solat diawal waktu. InshaAllah sekiranya anda dan pasangan menjaga suruhan utama Allah, Allah pasti akan menjaga hubungan anda.

#2. Ucap Terima Kasih Sekurang-kurangnya Sehari Sekali

Anda sering mengucapkan terima kasih pada orang lain walaupun sorang tersebut sekadar memberi anda laluan di kedai runcit yang sempit.

Bagaimana pula pada pasangan anda? Tunjukkan penghargaan pada pasangan anda sekurang-kurangnya sehari sekali – walaupun anda merasakan perbuatan tersebut adalah tanggungjawabnya.

Ucapkan terima kasih pada isteri anda atas hidangan makan malam yang disediakan beliau. Ucapkan terima kasih pada suami anda kerana menghantar anak-anak ke sekolah. Ucapkan terima kasih pada pasangan kerana membasuh sendiri pinggannya sebaik lepas makan.

Kata-kata penghargaan boleh mengingatkan pasangan anda betapa anda menyayanginya dan dengan mengetahui beliau dikasihi, si dia akan berusaha menjadi yang lebih baik untuk anda.

#3. Berikan Layanan Pada Si Dia Dengan Penuh Hormat Dihadapan Orang Lain

Tidak kira anda menghadiri kenduri, temujanji bersama kawan rapat, menghabiskan masa bersama keluarga di kampung atau menemaninya membeli barang di pasar, layanlah pasangan anda dengan penuh hormat. Pimpin tangannya sewaktu berjalan. Berikan senyuman manis padanya. Letakkan tangan anda di atas bahunya.

Dan JANGAN sesekali merendahkan atau memperlekehkan dia walaupun dengan niat untuk bergurau.

#4. Belajar Untuk Meminta Sesuatu Dengan Lembut Dan Baik

Anda harap suami anda tidak lupa memasukkan baju kotor dalam bakul? Anda kempunan suatu makanan dan berharap isteri anda memasaknya? Anda mahu suami sama-sama membantu anda didapur?

Pastikan anda bertanya, berbanding menyuruh. Sebagai manusia biasa, kita pasti tidak suka disuruh. Begitu juga pasangan anda. Sebagai contoh, daripada berkata “Maknye, saya nak kopi”

Adalah lebih manis sekiranya anda berkata “Sayang, boleh awak buatkan kopi untuk saya?” Dua ayat yang membawa pada maksud dan hasil yang sama, tetapi ayat kedua kedengaran lebih mudah untuk dipenuhi. Lebih-lebih lagi disaat isteri anda baru lepas pulang dari kerja, penat dan terkial-kial menyediakan makan malam untuk keluarga.

Sebagai contoh lain, daripada berkata “Abang, sidaikan kain”. Adalah lebih manis sekiranya diganti dengan “Abang, boleh saya minta tolong awak sidaikan kain?” Sekiranya anda menjadi orang yang disuruh, mana antara dua ayat ini menjadi pilihan anda untuk melaksanakannya segera?

#5. Lakukan Sesuatu Untuk Si Dia Sama Seperti Yang Pernah Anda Lakukan Diawal Perkahwinan

Hantar bunga padanya ditempat kerja. Selitkan nota dalam beg kerjanya. Dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, singgah ke kedai dan belikan coklat kegemarannya. Peluk si dia sekuatnya semasa dia merajuk. Puji ketampanannya dan penat lelahnya mencari rezeki untuk keluarga. Hantarkan mesej mengucapkan kata-kata rindu sewaktu di pejabat.

Sekali sekala, pergilah “berbulan madu” untuk mengeratkan hubungan. Perbuatan kecil ini bukan sahaja menggembirakan hati pasangan, ia juga boleh mengimbau balik kenangan manis bersama yang menautkan kasih anda padanya.

#6. Berusaha Memperbaiki Diri Menjadi Yang Lebih Baik Setiap Hari

Buktikan cinta anda dengan berusaha memperbaiki tabiat yang biasa anda lakukan, tetapi tidak disenangi pasangan. Sebagai contoh, sekiranya dia mahu anda kekal sihat dan mengempiskan perut, berusaha pergi ke gym atau mengayuh basikal setiap hari. Lebih bagus sekiranya anda melakukan aktiviti tersebut bersamanya.

Sekiranya pasangan anda seorang yang pembersih, hentikan membiarkan stokin kotor bersepah diatas lantai atau lupa memberus gigi setiap malam. Mengucapkan kata-kata sayang selalu ada baiknya, tetapi lebih baik sekiranya kasih sayang itu turut diluahkan dengan perbuatan.

#7. Belajar Untuk Mengabaikan Dan Tidak Terlalu Berkira

Suami terlupa menyidai tuala selepas mandi dan membiarkannya di atas katil? Isteri kelihatan selekeh dirumah? Rumah bersepah? Suami terlupa hari lahir anda? Kopi yang disediakan isteri terlalu pahit?

Benar ia sangat menyakitkan hati, lebih-lebih lagi ia berlaku hampir setiap hari. Tapi! Tahan dahulu keinginan anda untuk merungut. Sebaliknya, cuba mengingatkan diri anda, “saya terima perkara yang tidak boleh saya ubah, dan saya terima seadanya kekurangan pasangan saya”

Sekiranya anda berlapang dada, anda pasti akan berasa lebih tenang menghadapi situasi ini. Jangan putus asa mengingatkan si dia. Pasangan anda akan lebih senang dan gembira memperbaiki dirinya demi anda.

#8. Setiap Hari, Bertanya “Bagaimana Hari Awak Harini?”

Pasangan anda mempunyai mesyurat penting yang perlu dia hadiri harini? Dia keluar makan tengah hari dengan rakan baik yang sudah 10 tahun tidak ditemui? Dia menghadiri temuduga kerja?

Berbual tentang perkara penting yang berlaku setiap hari adalah sama seperti berkongsi harapan dan impian bersama-sama. Anda membina persefahaman sesama pasangan dan hubungan yang baik. Anda turut membuatkan pasangan rasa diambil berat dan disayangi.

Tunjukkan padanya, setiap yang berlaku padanya adalah penting untuk anda.

#9. Lakukan Aktiviti Menarik Bersama-sama

Melakukan aktiviti menarik bersama-sama boleh mengeratkan lagi hubungan sesama pasangan. Anda juga boleh mencari dan mencipta aktiviti yang sama-sama diminati.

Berbanding asik mengeluh suami anda gemar berlingkar dihadapan televisyen dihujung minggu, apa kata anda mengajak suami anda sama-sama berbasikal di taman tasik di Putrajaya atau berjoging sambil menikmati matahari terbit sekiranya rumah anda berdekatan dengan pantai?

keluarga bahagia

Imej via lowyat.net

Sekiranya pasangan anda jenis gemar menghidangkan pelbagai alasan untuk menolak, anda perlu menjadi lebih kreatif untuk mengajaknya turut serta. Katakan padanya tiba-tiba ada rakan memberi tiket wayang secara percuma dan berharap si dia menemani.

Pasangan anda pasti tidak kisah menghabiskan masa dengan anda walaupun perkara tersebut kurang dia gemari. Tetapi ingat! Anda juga perlu melakukan perkara yang sama. Meskipun anda tidak berminat ke stadium menonton perlawanan bola yang si dia gemari, sekali sekala tawarkan lah diri anda untuk menemani beliau.

Sekiranya suami anda sudi menemani anda membeli belah, anda harus bertimbang rasa dan membelek barangan yang perlu sahaja supaya dia tidak serik lagi untuk menemani anda. Asalkan anda dan pasangan gembira menghabiskan bersama, walau apa jua aktiviti tidak begitu penting.

Selain itu, melakukan projek bersama-sama juga antara cara efektif anda boleh menghabiskan masa bersama pasangan. Merancang parti hari jadi anak, melakukan bisnes online bersama-sama, berbincang interior design rumah baru anda, atau sekadar merangka perancangan masa depan anda.

#10. Peruntukkan Masa Untuk Diri Sendiri

Tidak semestinya apabila sudah berkahwin, masa anda mesti dihabiskan 100% bersama pasangan. Anda berhak untuk mempunyai masa untuk diri sendiri juga. Secara peribadi, saya percaya jika kita mempunyai masa untuk diri sendiri dan juga memberi ruang pada pasangan anda untuk dirinya, ia akan lebih mengeratkan lagi hubungan sesama suami isteri.

Memanjat gunung, mengait, mempelajari alat muzik, memancing mahupun melakukan aktiviti lasak – tidak semua hobi boleh dikongsi bersama pasangan anda. Hobi anda itu membuatkan anda lebih unik dimata pasangan dan orang lain.

Peruntukkan sedikit masa untuk melakukan apa yang anda suka lakukan. Sesekali, keluarlah bersama rakan-rakan atau ahli keluarga tanpa pasangan.

#11. Utamakan Rumahtangga Anda

Perkara paling utama yang patut anda berikan perhatian: Tidak kira apa jua hubungan anda dengan orang lain, pasangan anda mesti menjadi nombor satu dalam apa jua perkara. Dalam Islam juga, isteri mesti meletakkan suami sebagai orang paling penting dalam hidupnya, melebihi ibu bapanya dan ahli keluarganya sendiri.

Suami pula, mesti menzahirkan kasih sayangnya pada isteri, melebihi pada anak-anak. Selain daripada mengeratkan lagi kasih sayang, meletakkan pasangan kita ditempat teratas dalam hidup kita boleh memberi contoh yang baik pada anak-anak dan membolehkan anak-anak menghormati kita dan pasangan kita.

Sekiranya anda sudah berjanji untuk menemani isteri membeli belah, jangan membatalkannya semata-mata kerana rakan-rakan anda mengajak bermain tenis di saat akhir. Jika anda kerap melakukannya, isteri anda pasti akan sentiasa rasa tertipu dan tidak teruja dengan janji-janji anda lagi di masa hadapan sekaligus merenggangkan hubungan anda.

Walau apa pun kesibukan anda, utamakan masa berdua bersama pasangan. Bawa isteri ke candle light dinner di KL Tower, menonton wayang berdua, mengikut suami menonton perlawanan kriket yang diminatinya atau apa jua aktiviti asalkan masa anda diluangkan sedikit untuk pasangan anda.

Kesimpulan

Setiap insan yang berumahtangga pasti berharap semoga jodoh yang dikurniakan Allah kekal hingga ke hujung hayat. Kunci utama kebahagiaan anda dan pasangan adalah menjaga hubungan dengan Allah, inshaAllah Allah akan menjaga hubungan anda.

Namun, berdoa sahaja tidak memadai. Contohilah Sunnah Rasulullah dan para isteri dalam cara mereka menghidupkan kasih sayang sesama mereka. InshaAllah bahtera yang dilayari dapat diharungi bersama walau apa pun badai yang melanda hingga ke destinasi yang abadi – syurga.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Written by Ummu Hatim

Ummu Hatim

Ummu Hatim adalah salah seorang penulis tetap di Bidadari.My. Penulisannya banyak mengenai keibubapaan dan tips kesihatan. Menulis untuk mendidik diri sendiri disamping berkongsi ilmu pembacaan yang ada.

Comments

Leave a Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

Pendapat Anda?

comments

potty training

10 Tips Potty Training Si Manja Untuk Ibu Yang Sibuk

suami tolong

Tips Supaya Suami Rajin Membantu Di Rumah