10 Tips Berkongsi Waktu Sukar Anda Dengan Anak Anak

Isteri saya yang bekerja di unit onkologi (kanser) telah berkongsi cerita tentang pesakitnya, seorang ibu muda yang menghidap kanser meninggal dunia dalam dakapan suaminya (Sinar Harian 2.8.15).

Soalan biasa yang terkeluar dari lisan saya – ‘berapa umurnya?’.’Muda lagi, baru 35 tahun, anak kecil-kecil lagi, seorang 3 tahun, seorang 6 bulan’ jawab isteri saya.

Sambil memandu ke tempat kerja, fikiran saya tertumpu kepada anak-anak kecil yang saya tidak pernah kenal itu. Mendengarnya sahaja sudah cukup meruntun naluri. Apatah lagi bagi ibubapa yang menghadapinya sendiri.

Kisah ringkas itu telah mengilhamkan saya membaca dan menulis serba sedikit tentang tips berkongsi cerita sakit serius kita (seperti kanser) kepada anak-anak.

anak

allahcentric.com

#1 Beritahu Kepada Anak Anda

Berbual tentang topik ini memang sukar, tetapi percayalah ia adalah isu yang mesti disampaikan kepada anak-anak. Tidak ada cara betul atau salah, namun komunikasi yang baik oleh ibubapa mampu memberi kesan positif kepada anak-anak.

#2 Jangan Berahsia!

Kanak-kanak bijak mengesan sebarang perubahan dalam dinamik keluarga. Apa yang ditakuti, bila mereka bersangka-sangka tanpa maklumat yang tepat. Mereka mungkin menyangka sesuatu yang lebih buruk ataupun menyalahkan diri mereka sendiri.

#3 Cipta Suasana Perbincangan Yang Terbuka.

Galakkan mereka bertanya. Akan tetapi jangan memaksa mereka memahami sesuatu yang mereka tidak bersedia.

#4 Mulakan Perkongsian Dari Hati Ke Hati

Berkongsi secara jujur dengan bahasa yang mudah dan jelas mengikut kesesuaian umur mereka. Jangan mereka-reka cerita kerana ia akan menghakis kepercayaan mereka terhadap anda. ‘Tak tahu’ juga adalah jawapan.

#5 Beritahu Mereka Apa Yang Bakal Berlaku

Maklumkan pada mereka rawatan anda dan apa yang akan terjadi – kesan sampingan, keadaan anda pada waktu itu.

#6 Bersedia untuk mengulang maklumat berkali-kali.

Kanak-kanak memerlukan masa untuk memahami sesuatu perkara baru. Adakalanya mereka hanya perlukan ‘reassssurance’.

#7 Beri Ruang Untuk Mereka Meluahkan Perasaan Dan Emosi Mereka.

Minta pandangan mereka, berikan ruang seperti menulis dan melukis untuk mereka mempamerkan emosi dalaman mereka.

#8Pastikan Aktiviti Harian Anak Tidak Terganggu

Apa pun yang berlaku, cuba pastikan rutin anak-anak seperti sekolah, waktu bermain dan sebagainya tidak terjejas. Ini akan membantu mengelakkan masalah penyesuaian atau gangguan emosi kepada mereka.

#9 Tahu Batas Sendiri

Anda sendiri perlukan sokongan pasangan dan keluarga dalam menyelesaikan isu ini bersama anak-anak. Kenalpasti limitasi anda dan jangan bebankan anda dengan perasaan bersalah atau emosi negatif yang lain. minta bantuan sewajarnya atas perkara yang bukan dalam kemampuan anda.

#10 Pantau Emosi Anak Anda

Monitor perkembangan emosi anak anda. Jika mereka terkesan secara emosi, dapatkan bantuan yang sepatutnya untuk mereka.

Siapapun anda, jika anda merasakan apa yang tertulis ini bernilai untuk waktu sukar anda, saya doakan Allah mempermudah urusan anda dan anak-anak. Ingat, sesukar mana pun laluan hidup anda, “Allahkan ada!”.

 

Artikel Menarik Lain

Pendapat Anda?

comments

error: Content is protected !!