, ,

10 Aktiviti Merangsang Anak Jadi Bijak

Tahukah anda, pada lima tahun terawal dalam usia kanak-kanak, perkembangan otak mereka digunakan sehingga hampir 90 peratus! Dan dalam jangka masa pendek ini, sel-sel dalam otak mereka akan berhubung dalam kadar 700-1000 per saat!

Menakjubkan, bukan? Jadi disebabkan itu, adalah penting untuk kita memaksimumkan kebolehan pembelajaran anak kita setiap hari, terutamanya dalam fasa umur begini.

Di sini saya kongsikan 10 aktiviti yang mudah dan ringkas, yang boleh dilakukan setiap hari untuk membantu merangsang perkembangan minda anak anda.

Nota editor bidadari.my: Anda digalakkan untuk berkongsi artikel ini pada orang lain untuk sama-sama mendapat manfaat darinya. Namun, admin sangat berharap supaya SEBARANG PERKONGSIAN DISERTAKAN SEKALI LINK ASAL ARTIKEL. Hormatilah usaha dan masa penulis asal.

 

#1 Membaca Bersama-sama

Anak membaca

Imej:cauldronsandcupcakes.com

Penting bagi ibu bapa menanam sifat suka membaca dalam diri anak-anak sejak kecil lagi. Membaca bersama-sama setiap hari menggalakkan anak kita mengenal perkataan, bunyi dan lenggok bahasa tersebut – sekaligus membina kemahiran literasinya.

Membaca juga boleh meningkatkan daya imaginasi anak anda, lebih-lebih dengan gambar yang menarik, lagu-lagu dan karekter kegemarannya.

Anda boleh juga membacakan kisah-kisah nabi pada anak-anak. Bukan terhad hanya pada buku cerita kanak-kanak semata-mata.

 

#2 Mengajak Anak Membantu Di Dapur

Terimbau kenangan semasa zaman kanak-kanak saya. Mak saya suka mengajak saya menolongnya di dapur terutamanya apabila dia membuat kek, biskut atau kuih. Saya berpelung untuk mereka sendiri corak biskut yang saya mahukan.

Apabila siap dibakar, walaupun kuih/biskut saya tidak secantik kepunyaan mak saya, tetapi saya rasa sangat berpuas hati dan bangga dengan hasil kerja saya. Saya rasa tidak sabar untuk menolong mak dimasa hadapan.

Semasa membantu anda di dapur, anda boleh mengajar anak anda mengira, membersih, menggaul, mengenali jenis barang masakan di dapur dan macam-macam lagi! Benar, tempoh memasak akan menjadi lebih lama dan renyah. Tetapi bayangkan keseronokan dan kepuasan yang bakal anak anda dapat hasil dari aktiviti ini. Percayalah, tidak ternilai!

 

#3 Mengira Bersama-sama

Dalam usia lebih kurang dua tahun, secara umumnya anak-anak sudah boleh mengira dari 1 hingga 10. Seperti anak saya, ada kalanya beliau terkeliru kedudukan nombor 7 dan 9 apabila dikira mengikut urutan.

Jangan risau sekiranya anak anda juga begitu. Sekurang-kurangnya, dia menunjukkan perkembangan yang baik. Galakkannya menyebut serta mengenalpasti setiap nombor dengan baik.

Apabila anak anda menjangkau umur tiga hingga empat tahun, kebiasaannya dia mampu untuk mencapai konsep matematik mudah seperti menambah dan menolak.

Galakkan perkembangan anak anda dalam mengira dengan mengaplikasikan konsep tersebut dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh: Berapa banyak buah oren dalam mangkuk ni? Cuba kira ada berapa kereta warna merah di depan rumah kita? Cuba teka ada berapa banyak jari kita ada?

 

#4 Membina Blok Atau Lego

Blok dan lego merupakan antara permainan yang sangat signifikan terutamanya pada zaman kanak-kanak saya. Kami adik-beradik akan leka berimaginasi membina apa jua yang kami bayangkan – sama ada kereta, istana, rumah atau apa saja.

Sebenarnya dengan bermain lego atau blok, ia dapat membentuk koordinasi mata dan tangan serta skil motor dan spacial anak-anak selain dari mempupuk kreativiti dan kemahiran menyelesaikan masalah.

Anda juga boleh turut serta bermain bersama mereka. Dengan cara ini, anda boleh menggalakkan komunikasi dan semangat kerja berpasukan dalam diri mereka sejak awal lagi.

 

#5 Menampal Huruf Dan Nombor Disekitar Rumah

Anda boleh menampal poster atau kertas berhuruf dan bernombor di dinding rumah anda. Jika takut ia akan mengotorkan dinding rumah, apa kata tampalnya di pintu, cermin atau belikan huruf bermagnet untuk dilekatkan pada peti sejuk anda.

Cara ini memudahkan anak anda melihatnya dan mengenalpasti huruf-huruf tersebut dengan lebih mudah.

 

#6 Memperdengarkan Bacaan Suci Al-Quran Dan Lagu Kanak-kanak

Pernahkah anda terbaca perkongsian seorang ibu baru-baru ini bahawa anaknya yang baru berumur 3 tahun tetapi sudah mampu menghafal dengan baik 25 surah dalam al-Quran? Tips ibunya, dia hanya memperdengarkan bacaan ayat al-Quran 24 jam pada anaknya walaupun anaknya sedang tidur.

Sudah saya nyatakan, minda dan otak anak kita adalah sangat cekap terutamanya diawal usianya. Selain memupuk sifat baik dalam dirinya, memperdengarkan bacaan al-Quran boleh menguatkan lagi memorinya.

Anak anda juga akan digalakkan untuk menangkap cara sebutan dan bunyi yang betul – penting untuk kemahiran komunikasi dan literasinya.

Selain itu, anda juga boleh mendedahkan anak anda dengan lagu kanak-kanak yang menarik minatnya.

 

#7 Sesi Mewarna Dan Bercerita

Anak mewarna

Imej:idiva.com

Seperti di sekolah-sekolah rendah di Australia, mereka mempunyai satu sesi dinamakan “show and tell” seminggu sekali. Pada sesi itu, anak-anak digalakkan untuk bercerita apa jua aktiviti mereka di hujung minggu, atau menunjukkan karya mereka.

Kaedah ini bukan sahaja menggalakkan daya imaginasi anak, ia juga memberi peluang anak-anak melahirkan apa yang mereka fikirkan, membina keyakinan diri yang tinggi dalam diri mereka dan mengukuhkan daya ingatan mereka.

Saya berpendapat kita juga boleh menerapkan aktiviti ini di rumah. Anda boleh lakukannya dihujung minggu atau diwaktu lapang. Beri anak-anak peluang melahirkan pendapat dan buah fikiran mereka, menunjukkan hasil karya mereka, atau sekadar bercerita apa sahaja yang menarik minat mereka.

 

#8 Ceritakan Aktiviti Harian Anda

Cara ini merupakan antara cara untuk mengukuhkan hubungan anda dengan si manja anda. Selain itu, ia memupuk anak untuk memahami apa yang berlaku disekeliling mereka.

Lumrah manusia, kita pasti akan terdetik “ala, budak lagi. Dia bukan faham” atau “malasnya nak terangkan. Nanti dah besar dia tau la”. Tanggapan tersebut sebenarnya SALAH!

Berikan anak anda peluang untuk faham. Terangkan dengan bahasa mudah. Lama kelamaan anda pasti akan terkejut dengan keupayaannnya menceritakan kembali apa yang pernah anda terangkan dahulu padanya.

Sebagai contoh, semasa anda sedang melipat kain, anda boleh terangkan padanya apa yang sedang anda lipat dan kepunyaan siapa setiap pakaian tersebut. Semasa bersiar-siar di taman, anda boleh menerangkannya kejadian awan dan matahari.

 

#9 Melihat Gambar

Tidak kira apa jua usia anak anda, melihat gambar membantu menguatkan daya ingatan anak dan menggalakkannya mengenalpasti sesuatu. Gambar juga membolehkan anda mengajarnya menyebut perkataan-perkataan penting.

Sebagai contoh, tunjukkan padanya gambar ayahnya dan ulang berkali-kali “ayah”. Atau tunjuk gambar-gambar lama anak anda dan suruh beliau meneka siapa individu dalam gambar tersebut.

 

#10 Solat Bersama-sama

Umum mengetahui solat adalah tiang agama. Dengan mengajak anak solat bersama-sama sejak kecil, anda boleh menerapkan betapa pentingnya solat pada mereka. Solat bersama juga boleh mengukuhkan kasih sayang anda dan anak-anak.

Mengajar anak solat boleh menguatkan daya ingatan beliau. Jangan memaksanya mengikut sehingga habis solat. Asalkan anak anda berada berhampiran semasa solat sudah memadai. Lama kelamaan, dia akan mula mengikut sedikit demi sedikit setiap pergerakan anda.

Solat bersama juga boleh mendedahkannya dengan surah mudah dalam al-Quran. Jika dilakukan setiap waktu, inshaAllah anak anda boleh menghafal sedikit demi sedikit surah-surah tersebut.

 

Kesimpulan

Walau apa pun anda cuba terapkan pada anak anda, kunci utama adalah bermula dari diri anda sendiri. Sebagai ibu bapa, anda seharusnya menunjukkan contoh yang baik padanya – barulah anak anda mudah untuk mengikut apa yang anda mahukan.

Jangan lupa, anak anda adalah cerminan diri anda sendiri. Jika semuanya tidak bermula dari anda, usaha untuk menyuruhnya melakukan apa sahaja akan berakhir dengan kegagalan. Jadilah contoh yang terbaik untuk si manja anda.

 

Artikel Menarik Lain:

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Written by Ummu Hatim

Ummu Hatim

Ummu Hatim adalah salah seorang penulis tetap di Bidadari.My. Penulisannya banyak mengenai keibubapaan dan tips kesihatan. Menulis untuk mendidik diri sendiri disamping berkongsi ilmu pembacaan yang ada.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

Pendapat Anda?

comments

Bayi Tidur

Perkara Yang Perlu Tahu Tentang Waktu Kitaran Tidur Bayi. Baru Senang Tidurkan

Hamil Minggu 9

Trimester Pertama: Tips Kehamilan Minggu 9